- Iklan -
Kolum

Pelajaran daripada ‘senjata makan tuan’ di Rusia

Malah mereka menduga bahawa Putin akan tumbang atas desakan rakyat dan digantikan dengan pemimpin lain yang boleh berbaik dengan Barat.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kisah senjata makan tuan sudah banyak kali berlaku dalam sejarah manusia.

Pada waktu ini, senjata makan tuan berlaku di dua tempat iaitu di Rusia dan Sudan. 

Kumpulan tentera upahan Rusia yang bernama Wagner menghalakan senjata mereka kepada tuannya, Presiden Vladimir Putin dalam suatu percubaan rampasan kuasa pada hari Ahad minggu lalu.

Di Sudan, perang saudara yang sedang berlaku adalah antara tentera kerajaan dengan kumpulan separa tentera atau paramilitary dikenali sebagai Rapid Support Force (RSF) yang memberontak, dan asalnya ditubuhkan oleh pihak tentera untuk operasi khusus. 

Operasi khusus itu termasuklah terlibat dengan perang saudara Yaman.

Wagner yang dipimpin oleh Yevgeny Prigovny merupakan pertubuhan separa tentera yang diurus sebagai sebuah syarikat perniagaan. 

Nama penuhnya  ChVK «Vagner» yang bermaksud Syarikat Tentera Persendirian Wagner (Wagner Private Military Company).

Ia dibiayai oleh kerajaan Rusia dan dianggotai oleh askar upahan. Ia dianggap sebagai tentera persendirian Putin.

Askar upahan atau mercenary berbeza dengan tentera biasa. Kesetiaan askar nasional adalah pada negaranya, dan ia dibayar gaji daripada belanjawan kerajaan. 

Mereka tertakluk kepada peraturan dan undang-undang negaranya, serta konvensyen-konvensyen yang disertai oleh kerajaannya. 

Askar upahan hanya meletakkan kesetiaannya kepada kontrak dengan syarikat. 

Mereka mungkin menerima ganjaran berbentuk gaji, ataupun bayaran mengikut operasi. 

Selalunya mereka memperoleh pendapatan lebih tinggi daripada askar biasa. Antara mereka juga adalah bekas anggota tentera nasional yang terlatih.

Oleh kerana ia sebuah syarikat, anggota tenteranya tidak tertakluk kepada peraturan dan undang-undang serta mana-mana perjanjian atau konvensyen antarabangsa. 

Walaupun Wagner memperoleh dana dan bekalan senjata dari kerajaan Rusia juga tetapi ia beroperasi secara autonomi dengan hanya ketuanya yang berhubung terus dengan Putin. 

Sebab itu Wagner disebut sebagai angkatan tentera peribadi Putin dengan Privgorny merupakan bukan saja seorang sahabat karib atau sekutu tetapi adalah juga proksi dan kroni. 

Sebelum ini, dengan restu Putin, Wagner pergi ke negara-negara Afrika untuk membantu mana-mana pihak yang bertelagah bagi menjaga apa yang disebut sebagai kepentingan Rusia. 

Oleh kerana tentera Rusia tidak boleh terlibat, maka Wagner memainkan peranan. 

Apabila berhasil dan pihak yang dibantunya terus menjadi kerajaan, maka Privgony turut mendapat ganjaran berupa konsesi minyak atau habuan yang lain. 

Maka beliau menjadi kaya dan muncul sebagai salah seorang anggota oligarki Rusia. 

Oligarki bermaksud pemerintahan oleh sekumpulan elit kaya yang beroperasi untuk kepentingan diri sendiri.

Akibat peranan Wagner ini, pemimpin-pemimpin korup di Afrika dapat bertahan dan demokrasi tidak dapat diwujudkan. 

Perkara ini pernah dikeluhkan oleh Presiden Perancis Emmanuel Macron. Beliau mendapati pengaruh Perancis di Afrika diancam oleh pihak Rusia melalui Wagner.

Putin juga menggunakan Wagner untuk memastikan Georgia yang merupakan sebuah negara bekas Soviet Union untuk terus menjadi sekutu Moscow. 

Apabila berlaku perang saudara di situ, Wagner datang untuk membantu pihak yang pro-Moscow.

Dalam Perang Saudara di Syria, Rusia juga aktif tetapi mereka tidak boleh mengirim tentera. 

Maka Wagner menainkan peranan supaya Presiden Bashar Al-Assad terus berkuasa. 

Tanpa Wagner dan Hezbollah, Assad boleh tumbang diasak oleh kumpulan-kumpulan Islamis dan pro-Barat. 

Hezbollah adalah pertubuhan bersenjata dari Lubnan yang didokong oleh Iran.

Maka tidak hairanlah dalam perang antara Ukraine dengan Rusia, Putin mengarahkan Wagner untuk turut membantunya. Ada laporan menyatakan bahawa Wagner berjaya menguasai banyak kawasan. 

Ia dilihat sebagai lebih berkesan daripada tentera Rusia. Wagner menjadi "senjata" dan Putin adalah "tuan" baginya.

Namun pada Ahad minggu lalu, Wagner menggemparkan dunia apabil ia mengalihkan senjatanya daripada Kyiv, iaitu ibu kota Ukraine kepada Moscow, ibu negara Rusia.

Pada pagi hari itu, sebahagian daripada kereta-kereta kebal Wagner keluar dari Ukraine dan bergerak masuk ke Rusia, ia menawan bandar Rostov yang menempatkan markas tentera dan bergerak terus ke Kremlin, iaitu pusat pemerintahan negara itu.

Kelihatannya, Prigovny melancarkan rampasan kuasa atau kudeta untuk menggulingkan Putin. Senjata makan tuan.

Walaupun kemudiannya Prigovny membatalkan usahanya itu dengan angkatan Wagner berundur ke Ukraine, tetapi wibawa Rusia dan Putin sudah tercalar. 

Putin gagal mengawal tentera upahannya. Operasi Khusus, iaitu nama tindakan penaklukan oleh tentera Rusia ke atas Ukraine ternyata mengalami tamparan hebat. 

Maka Putin yang amat marah menjanjikan hukuman ke atas mereka yang terlibat dengan percubaan kudeta itu, khususnya Prigovny, iaitu kawan yang sudah menjadi musuh. 

Lebih-lebih lagi Prigovny kata, presiden Rusia akan digantikan tidak lama lagi.

Peristiwa ini tentu menggembirakan pihak Ukraine, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah. 

Ramai pihak di Barat mengharapkan peristiwa ini akan mendorong Rusia menamatkan perang di Ukraine dan tentera mereka diundurkan. 

Malah mereka menduga bahawa Putin akan tumbang atas desakan rakyat dan digantikan dengan pemimpin lain yang boleh berbaik dengan Barat.

Namun begitu, dalam mesyuarat pemimpin Kesatuan Eropah (EU) ketika perustiwa itu; timbul perasaan bahawa adalah lebih baik Rusia terus dipimpin Putin kerana beliau memberikan kepastian terhadap keadaan di negara itu berbanding jika berlaku pergolakan berupa rebutan kuasa yang mendatangkan suasana ketidakstabilan. 

Ini kerana Rusia memiliki senjata nuklear. Pada hari Jumaat, keadaan politik di Rusia masih tidak jelas. 

Putin dipercayai berada di St Petersburg dan bukannya di Moscow. 

Prigovny pula berada di Minsk, ibu kota Belarus dengan Presiden Aleksandr Lukashenko yang berusaha untuk menjadi orang tengah.

Beliau adalah sekutu Putin dan juga merupakan sahabat Prigovny. Putin enggan bertemu dengan Prigovny.

Bagi ramai pemerhati, mereka tertanya-tanya mengapakah Putin menubuhkan Wagner dan membiarkan ia menjadi begitu kuat hingga mampu mencabar Putin. 

Sebagai pemimpin yang berpengalaman pastinya beliau amat sedar tentang gejala "senjata makan tuan."

Tetapi itulah yang hendak diatasi oleh Putin hingga menimbulkan kemarahan Prigovny. 

Beliau mahu askar Wagner diserapkan ke dalam angkatan tentera Rusia. 

Wagner dibubarkan dan Prigovny kembali menjadi oligarki biasa, iaitu ahli perniagaan tanpa memiliki pasukan bersenjata.

Ternyata langkah beliau itu sudah terlambat. Kini beliau perlu mencari jalan lain untuk mengatasinya. 

Walaupun Putin masih dilihat kuat dengan semua ketua-ketua tentera dan kerajaan memberikan sokongan padanya tetapi dalam kalangan rakyat terdapat tanda-tanda bahawa ada yang menyokong Prigovny. 

Bukan kerana mereka sukakan ketua Wagner itu tetapi kerana mereka menolak Putin dan peperangan di Ukraine.

Apakah pelajaran daripada peristiwa ini? Dalam membuat "senjata", jangan membiarkannya menjadi terlalu kuat hingga mampu "makan tuan."

Semasa zaman Soviet Union dahulu, pada tahun 1989, satu usaha rampasan kuasa dilakukan oleh sekumpulan tentera untuk menggulingkan Presiden Mikhail Gorbachev. 

Cubaan itu dapat dipatahkan oleh rakyat yang dipimpin oleh Presiden Boris Yeltsin. 

Walaupun begitu, akibatnya Gorbachev hilang kuasa, Soviet Union pun runtuh dengan Ukraine memperoleh kemerdekaan. 

Akibatnya, peristiwa itu membawa kesusahan berpanjangan pada Rusia dan Ukraine.