Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Tarikh yang ditetapkan adalah pada 12 Ogos.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain memberikan amaran kepada semua pihak politik untuk tidak memainkan isu-isu sensitif yang melibatkan 3R iaitu bangsa, agama, dan raja dalam tempoh berkempen menjelang PRN.
Amaran ini dikeluarkan dengan tujuan mencegah timbulnya ketidakharmonian dalam kalangan rakyat, terutamanya berkaitan dengan institusi diraja, agama, dan hubungan antara kaum sepanjang proses PRN tersebut.
Saranan yang diberikan oleh Razarudinini adalah baik dan perlu diambil perhatian oleh semua pihak.
Namun begitu, dalam usaha untuk memantau dan menangani isu-isu berkaitan 3R sempena PRN adalah amat penting untuk memperkuatkan penguasaan pelbagai bahasa oleh pasukan pemantau polis, pengarang, dan wartawan.
Penguasaan pelbagai bahasa oleh pasukan pemantau polis, pengarang dan wartawan adalah penting dalam memastikan keberkesanan dan keadilan dalam proses PRN.
Dalam usaha untuk mewujudkan persekitaran yang harmoni dan bersepadu, kolaborasi antara semua pihak adalah sangat penting.
Contohnya, wartawan yang memiliki kemahiran dalam pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, dan Cina memiliki kelebihan dalam menterjemahkan berita dari satu bahasa ke bahasa lain dengan lebih mudah berbanding wartawan yang hanya menguasai dua bahasa.
Ini akan memudahkan proses penyebaran maklumat secara tepat dan menyeluruh kepada masyarakat berbilang kaum.
Oleh itu, penting untuk melibatkan wartawan, pengarang dan anggota polis yang menguasai pelbagai bahasa di dalam liputan acara-acara yang diadakan dalam Bahasa Cina dan Tamil.
Hal ini akan memastikan liputan yang efektif dan menyeluruh, serta memastikan bahawa berita yang disampaikan adalah tepat dan sesuai dengan keperluan masyarakat majmuk.
Selain itu, dengan memperkuatkan penguasaan pelbagai bahasa, ia juga akan mengurangkan ruang bagi pihak-pihak yang cuba mengambil kesempatan untuk memainkan isu 3R dalam bahasa yang kurang difahami oleh majoriti masyarakat.
Ini akan membantu masyarakat memahami isu-isu tersebut dengan lebih jelas dan memastikan kesedaran yang sama terhadap nilai-nilai harmoni dan kesepaduan.
Dengan melakukan pemantauan yang efektif dan memperkuatkan penguasaan pelbagai bahasa, penguatkuasaan terhadap kesalahan yang berkaitan dengan 3R akan lebih adil dan memberikan kesempatan kepada semua pihak untuk mendapatkan maklumat yang tepat.
Ini akan memupuk iklim politik yang sihat, di mana warga negara dapat membuat keputusan yang bijak dan berasaskan fakta semasa menjalani proses pilihanraya.
Kelestarian keharmonian dan kesepaduan adalah tanggungjawab bersama dan melibatkan semua pihak dalam usaha ini akan membawa manfaat yang besar kepada negara.
Dalam mencapai matlamat ini, kolaborasi dan kerjasama yang erat antara SPR, polis, wartawan, dan masyarakat adalah sangat penting.