- Iklan -
Berita

Kenyataan ‘gelombang hijau’ Guan Eng berniat pecah belah perpaduan di Pulau Pinang

Kepimpinan Bersatu Pulau Pinang menyelar tuduhan Lim, kononnya PAS ialah sebuah parti rasis dan Pulau Pinang akan lenyap jika PN berkuasa.

Rasman Farish Shamsuddin
2 minit bacaan
Kongsi

Merujuk kenyataan bekas ketua menteri Pulau Pinang baru-baru ini yang mendakwa “gelombang hijau” bakal memusnahkan tokong serta menafikan hak agama di Pulau Pinang adalah sangat rasis, dangkal bukan sahaja tidak berasas, malah sengaja berniat memecahbelahkan perpaduan rakyat berbilang kaum di Negeri Pulau Pinang.

Ungkapan "gelombang hijau", iaitu merujuk kepada tema hijau PAS, kerap digunakan pemimpin DAP untuk menggambarkan pencapaian Perikatan Nasional (PN) dan parti Islam itu dalam pilihan raya umum tahun lalu.

Kepimpinan Bersatu Pulau Pinang menyelar tuduhan sesat lagi menyesatkan Lim, kononnya PAS sebagai komponen Perikatan Nasional (PN) ialah parti rasis dan Pulau Pinang akan lenyap jika PN berkuasa, cukup membuktikan betapa dangkalnya parti cauvinis berkenaan.

Guan Eng sebelum ini kerap memetik nama Umar Abdul Aziz sebagai panduan buatnya dalam mentadbir Pulau Pinang hanyalah bermuka-muka untuk menambat hati pengundi melayu.

Sekarang sudah terbukti bahawa kenyataan terbarunya yang menyentuh agama Islam adalah berkait-rapat dengan 3R yang dilarang oleh kerajaan sekarang. Islam tidak pernah mengajar penganutnya menindas agama lain.

Bersatu Pulau Pinang mendesak tindakan diambil terhadap Guan Eng atas kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan mengganggu gugat keharmonian agama Islam di negara kita.

Telah terbukti empat negeri ketika ini iaitu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pemerintahan pemimpin Melayu yang beragama Islam dari PN/PAS sangat prihatin terhadap penduduk berbilang bangsa dan dapat menjaga keharmonian semua kaum dan agama tanpa sebarang diskriminasi.

Sebagai rujukan di Kelantan masih tersergam patung Buddha yang terbesar sampai sekarang dan tidak dirobohkan.

Kenyataan Lim ini merupakan satu tindakan yang amat terdesak dikala PRN yang akan berlangsung tidak lama lagi. Kini semua rakyat Malaysia khususnya rakyat Pulau Pinang dapat menilai dan bangkit untuk membuat pemilihan yang sewajarnya pada PRN yang akan berlaku tidak lama lagi.

Rakyat Malaysia haruslah menolak pemimpin dan parti yang mengganggu gugat keharmonian kaum dan agama di negara kita. Bersatu Pulau Pinang percaya rakyat sudah muak dan bosan dengan sandiwara pemimpin-pemimpin yang hanya pandai bercakap tapi hasil sampah.

Insya-Allah PN akan buktikan apa yang dinyatakan oleh Lim adalah bersifat perkauman dan anti Islam jika PN diberi peluang untuk mentadbir enam negeri yang terlibat dengan PRN nanti.

Bersatu berharap warga Pulau Pinang dapat menolak pemimpin dan parti yang sangat terdesak ini serta cuba mengganggu gugat keharmonian kaum dan agama di negara kita.

Akhir kata, Bersatu Pulau Pinang menyatakan pendirian bahawa hanya PN sajalah yang dapat menjaga hak orang melayu islam disamping mengharmonikan semua bangsa di negeri ini.

Kami percaya bahawa calon-calon yang akan diketengahkan dalam PRN nanti akan menjaga kemaslahatan rakyat pelbagai kaum di negeri ini tanpa ada diskriminasi dan tidak extremis dan tidak rasis.

Tidak seperti yang digembar-gemburkan oleh pemimpin parti cauvinis tersebut. Kami menggesa semua ahli akar umbi bangkit berjuang habis-habisan untuk merampas dan memberikan saingan atau tentangan kepada PH & BN pada PRN yang akan datang.

Semoga Allah melindungi serta memudahkan usaha murni parti kita.

Rasman Farish Shamsuddin ialah ketua penerangan Bersatu Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.