- Iklan -
Editorial

Jawapan kepada Lim Guan Eng

MalaysiaNow pertahankan laporannya mengenai ucapan pengerusi DAP itu baru-baru ini.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Ahli politik memang terkenal sebagai pembohong, bukan sahaja di Malaysia, tetapi di mana saja mereka berada. 

Menuduh mereka berdusta umpama menuduh seorang agamawan berdakwah. 

Sesungguhnya pembohongan adalah barang dagangan orang politik. 

Lihat sahaja pencapaian beberapa ahli politik kita hari ini, sekurang-kurangnya buat masa ini.

Berlainan pula apabila media dituduh berbohong. 

Memanglah media turut membawa ketidakbenaran dan propaganda.

Malah sesebuah media yang kelihatan kuat mengambil pendirian sepertimana Fox di Amerika Syarikat, perlu memastikan apa sahaja yang mereka bawa bersandarkan fakta. 

Jika tidak, mereka harus menarik balik laporan itu, dan meminta maaf, bagi menebus kredibiliti mereka. 

Maka fakta menjadi barang dagangan media. 

Ini bermakna sesuatu laporan perlu dibuat dengan tepat dan berfakta, termasuk tidak mengada-adakan sesuatu percakapan yang tidak diucapkan.

Jadi apabila Pengerusi DAP Lim Guan Eng menuduh MalaysiaNow salah lapor dan memutar belit ucapannya yang memomokkan kebebasan beragama dan penafian hak asasi orang bukan Islam sekiranya "gelombang hijau" berkuasa di Pulau Pinang, ia mendapat perhatian serius daripada kami.

Mana-mana wartawan akan mengatakan laporan kami adalah penulisan semula berdasarkan laporan berita oleh sebuah media lain, yang kami percaya turut berpegang kepada prinsip melaporkan fakta sahaja. (Baca laporan pertama kami di sini).

Penulisan semula bermaksud mengangkat sesebuah laporan daripada saluran media lain, dan menyampaikannya dengan sudut berita yang berbeza, disokong oleh petikan-petikan sama yang diterbitkan dalam laporan asal. 

Selalunya amalan ini melibatkan dua penerbitan dengan bahasa pengantar yang berbeza. 

Mengapa kami mengambil laporan daripada sumber media lain?

Kerana berita penting sebegitu perlu mendapat liputan lebih besar melangkau pembaca bahasa Mandarin.

Lim tidak menunggu lama untuk membuat tuduhan, dengan mengatakan beliau disalah petik. 

Menariknya, pada masa sama, beliau tidak pula menafikan ucapannya yang mendakwa kebebasan beragama akan hilang. 

Beliau sekadar berkata tidak pernah merujuk kepada tokong Buddha.

Walaupun ia tidak menjejaskan keseriusan ramalannya bahawa rumah ibadah akan dimusnahkan dan rakyat memakai baju ketika mandi, Lim tetap berhak mendapat pembetulan jika benar beliau disalah petik, waima satu perkataan. 

Berikutan itu, China Press mengakui mereka ada membuat kesilapan, dan selepas "mendengar semula" rakaman ucapan Lim, akhbar itu meminda perkataan “tokong Buddha” kepada "kuil India". 

Ia juga menerbitkan ucapan penuh Lim. 

Dan sudah tentu MalaysiaNow menyusuli dengan melaporkan tentang pindaan itu. 

Demi fakta dan kebenaran, kami juga menerbitkan terjemahan ucapan penuh Lim itu. (Baca laporan mengenai pindaan China Press di sini).

Semua ini masih tidak menghalang Lim untuk melemparkan tuduhan kononnya MalaysiaNow memutar belit ucapannya. 

Bukan itu sahaja, beliau juga menuntut permohonan maaf.

Kami menafikan sekeras-kerasnya tuduhan Lim bahawa kami salah terjemah ucapannya seperti disiarkan di China Press, sama ada sebelum atau selepas pindaan akhbar itu. 

Pendirian serupa juga disampaikan kepada polis Bukit Aman yang mengambil keterangan saksi kami dalam siasatan terhadap ucapan Lim, yang pertama kali dilaporkan oleh China Press, dan kemudiannya kami sampaikan kepada pembaca yang lebih ramai. 

Akhirnya, tanggungjawab terletak pada China Press untuk membuktikan sama ada ia melaporkan kebenaran atau tidak.

Setakat ini, akhbar itu tidak menarik balik apa-apa selain perkataan "Buddha" dan "kuil".

Pada masa sama, adalah menjadi tanggungjawab Lim untuk membuktikan bahawa MalaysiaNow melakukan pembohongan. 

Jika tidak, kami tahu pilihan yang ada pada kami.