- Iklan -
Kolum

Zaman berubah, idealisme berubah

Dalam zaman TikTok dan kecerdasan buatan (AI), serta dengan menghadapi era perubahan iklim tentulah idealisme mereka berbeza daripada generasi sebelum ini.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila disebut generasi baru, ia merujuk pada anak-anak muda berusia 20 hingga 40 tahun, lebih kurang begitulah.

Generasi baru global pula merujuk kepada anak-anak muda di peringkat seluruh dunia, dan bukan sahaja dikaitkan pada peringkat nasional. 

Sementara sistem kehidupan ideal merujuk pada aturan bagi menjalankan kehidupan secara ideal.

Adalah suatu yang semula jadi atau natural bagi sebahagian generasi baru untuk bersifat dan bersikap idealistik terhadap dunia. 

Apa yang dimaksudkan dengan idealistik adalah mempunyai pandangan yang menganggap dunia ini patut diubah kerana apa yang ada ini adalah buruk dan wajib diperbaiki.

Mungkin sifat dan sikap mendukung idealisme tertanam dalam minda generasi baru kerana dengannya spesies manusia boleh sentiasa memperbaiki masyarakat. 

Sifat dan sikap itu menjadikan manusia maju seperti yang terpapar dalam sejarah besar spesies homo sapien ini. 

Namun idealisme ini datang dengan kenaifan anak-anak muda, yang seharusnya diimbangkan dengan sifat dan sikap realistik.

Ada idealisme yang berbentuk politik, tetapi tidak semestinya. Terdapat idealisme yang berbentuk kehidupan yang lain seperti ekonomi, sosial, budaya, seni, sains, teknologi dan agama. 

Ada pula merupakan campuran antara politik dan agama, atau politik dan ekonomi. 

Tidak kurang pula ada yang berbentuk politik dan teknologi. Sememangnya terdapat pelbagai keragaman idealisme walaupun seringkali perhatian hanya tertumpu pada idealisme politik.

Walaupun apa yang disebut sebagai generasi baru merupakan lingkungan 20 hingga 40 tetapi umur itu adalah suaru penandaan anggaran. 

Kini kerana ada anak muda yang mempunyai kesedaran atau kematangan lebih awal, umpamanya 15 dan 18 tahun.

Sementara ada yang belum cecah 40, mereka sudah hilang atau bersikap tawar terhadap idealisme. 

Para pakar keselamatan negara tentu sudah lama mengkaji perkara ini kerana dalam tempoh umur itu, muncul kecenderungan kepada radikalisme.

Terdapat banyak jenis radikalisme, ada yang positif, negatif, sederhana dan ekstrem.

Apa yang menjadi perhatian pihak keselamatan ialah kecenderungan ekstrem yang boleh membawa kepada keganasan dan terorisme, tidak kiralahlah apapun idealisme mereka.

Pada zaman media sosial, adalah mudah untuk sesiapa meninjau idealisme anak-anak muda ini. 

Kalau dahulu, pihak keselamatan perlu menggunakan agensi perisikan untuk meneliti pelajar-pelajar sekolah dari usia 15 tahun hinggalah kepada mahasiswa universiti dan seterusnya pada pekerja-pekerja baru. 

Seringkali anak-anak muda idealis ini aktif dalam kesatuan-kesatuan pelajar; rajin menulis dalam akhbar dan majalah serta tampil dalam demonstrasi-demonstrasi. 

Kalau menyertai politik, mereka akan menganggotai sayap-sayap pemuda dan pemudi.

Selepas usia 40, mereka dianggap sebagai generasi lama. Maka generasi lebih baru pula akan muncul untuk menggantikan mereka bagi menyegarkan semula masyarakat. 

Proses ini berlaku di semua negara di dunia dan ia juga bersifat global. 

Lebih-lebih lagi pada zaman media sosial ini di mana adalah mudah bagi anak-anak muda menerima dan bertukar-tukar maklumat yang mengakibatkan generasi baru pada peringkat global melalui pengalaman serupa.

Tetapi ketika mana era pra-internet pun terdapat pertukaran maklumat yang walaupun jauh lebih perlahan daripada hari ini, generasi baru pada peringkat global menerima pengaruh serupa. 

Sebagai contoh, ada seorang kanak-kanak yang membesar di sebuah kampung yang tidak jauh dari bandar tetapi tiada bekalan elektrik dan tentunya tiada televisyen pada awal tahun 1970-an. 

Maklumat hanya sampai melalui radio, filem,  akhbar, majalah dan buku. Pada masa itu dia melihat generasi baru di kampungnya itu turut terpengaruh dengan perkembangan anak-anak muda global. 

Mereka meminati muzik pop seperti nyanyian Elvis Presley dan kumpulan The Beatles. Dari situ, muncul era Pop Yeh-Yeh di negara ini.  

Pelajar-pelajar Institut Teknologi Mara (ITM) pulang ke kampung itu dengan membawa pengaruh fahaman-fahaman pemberontakan anak muda yang melanda dunia di Eropah Barat dengan demonstrasi pelajar di Paris pada tahun 1968 dan gerakan anti-perang oleh generasi baru Amerika Syarikat (AS).

Remaja berkenaan itu mempunyai kesedaran politik pada usia lebih awal iaitu pada tahun 1973 ketika berada di tingkatan dua. 

Maklumat yang diterimanya hanya melalui radio dan media cetak itu mempengaruhinya dengan idealisme kiri yang dibawa oleh fahaman sosialisme. 

Dengan mudah dia menjadi pengikut Kassim Ahmad dan Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). 

Remaja itu merupakan sebahagian daripada golongan kecil dan terpencil dalam negara ini. 

Kebanyakan anak muda pada zaman itu tetap bersama dengan perjuangan nasionalisme berhaluan kanan. 

Namun anak muda yang berpegang pada idealisme kiri itu lebih komited dan berpengetahuan daripada golongan majoriti. 

Tetapi di peringkat global, terutama di Barat, fahaman sosialisme dengan istilah “New Left” untuk membezakannya dengan "old left" menarik minat anak-anak muda dengan beranggapan ia merupakan idealisme yang mampu dijadikan realiti.

Namun apabila dia menjadi generasi baru pada lewat tahun-tahun 1970, iaitu berusia 20-an, fahaman sosialisme sudah merosot dan popularitinya terutama di negara-negara Islam. 

Dunia sedang berubah dan pendorong kepada perubahan ini adalah anak-anak mudanya. 

Pada awal tahun 1980-an, ia merupakan era kebangkitan Islam dan dengan mudah anak muda itu beralih dari kiri ke kanan. 

Walaupun dia sudah meninggalkan sosialisme tetapi idealisme yang dipegangnya turut berbentuk revolusioner kerana menjadi pengikut fahaman yang diajukan oleh Ali Shariati dan Ayatollah Khomeini. 

Namun tentunya majoriti generasi baru tetap mendukung fahaman negara sedia ada. 

Tempoh sesuatu fahaman idealisme berubah sedikit demi sedikit. 

Umpamanya apabila fahaman sosialisme dilihat tidak praktikal apabi1la idealisme bertembung dengan realiti, generasi baru yang sudah menjadi generasi lama kerana sudah berusia 40 tahun akan meninggalkan idealisme mudanya. 

Mereka menjadi realistik dan skeptikal terhadap pegangan lamanya. 

Ataupun ia disebut sebagai pematangan dan meninggalkan kenaifan mudanya.

Begitu jugalah apa yang dilalui oleh anak muda itu pada tahun 2000-an. 

Idealisme bertunjangkan perjuangan Islam tahun 1980-an bukan saja dilihat tidak tercapai tetapi tidak praktikal apabila bertembung dengan realiti. 

Revolusi Islam dan "negara Islam" dilihat sebagai anggapan atau utopia yang sesuai hanya pada peringkat harapan ideal. 

Realitinya, sifat atau nature manusia tidak dapat melahirkan suatu idealisme. Realisme mengatasi idealisme. 

Kejayaan sesebuah negara bergantung pada keupayaan kepimpinan dan di atas segalanya ialah nasib sesebuah bangsa dan negara ditentukan oleh banyak faktor yang berada di luar kawalan manusia.

Selepas usia 40-an, tentulah seseorang itu lebih matang dan bersifat kritikal dan skeptikal terhadap apa jua gagasan politik. 

Mereka tidak mudah terpengaruh. Tentulah perkara ini tidak dilalui oleh kebanyakan orang. 

Mungkin kebanyakan orang sama ada malas berfikir atau tidak mampu berbuat demikian mengambil jalan lebih mudah dengan berpegang pada sifat dan sikap konservatif dalam menghadapi apa jua keadaan.

Tetapi bagi generasi baru pula, giliran mereka pula untuk bersikap dan bersifat idealistik. 

Dalam zaman TikTok dan kecerdasan buatan (AI), serta dengan menghadapi era perubahan iklim tentulah idealisme mereka berbeza daripada generasi sebelum ini.  

Perkara ini berlaku bukan sahaja di negara ini tetapi adalah meliputi seluruh dunia. 

Bagi yang berkepentingan dan berminat, perhatikanlah bentuk idealisme mereka dan perubahan apa yang bakal dialami oleh dunia. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.