- Iklan -
Kolum

Naratif 13 Mei Lim Kit Siang tempang?

Mengapa yang bangun melawan di Kuala Lumpur dituduh perkauman?

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada bulan Mei 1969, saya berada di Kuala Kangsar. Pada bulan Mei 1969, Lim Kit Siang berada di Sabah. 

Pada 13 Mei 1969, saya masih berada di Kuala Kangsar. Pada 13 Mei 1969, Lim Kit Siang masih lagi berada di Sabah.

Pada 13 Mei 1969, warga miskin kota mengamuk di Kuala Lumpur. Pada 28 Jun 2023, warga miskin kota mengamuk di Paris.

Pada 19 Julai 2023 Lim Kit Siang dilaporkan berkata suasana negara seperti suasana sebelum 13 Mei 1969.  

Pada 19 Julai 2023 Hishamuddin Rais  membaca berita tentang Lim Kit Siang yang merasa risau kerana hubungan harmoni kaum di Malaysia makin merosot.

Malah Lim Kit Siang menggambarkan  "ambiance" politik hari ini sama seperti  pra 13 Mei.

Justeru pada Khamis 20 Julai 2023, Hishamuddin Rais menyambung kembali tulisan mengenai “Kesedaran Melayu”.

Kita wajib tahu di mana kita berdiri, di mana kita duduk. 

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Dari situlah lahirnya DNA sejarah diri kita.

Justeru saya tahu di mana saya berada pada pagi Rabu, 4 April 1979.

Pada pagi Rabu itu saya berada di Empress Market, pasar besar kota Karachi, Pakistan. 

Ketika itu saya menjadi pendatang haram di Pakistan. 

Saya yang tidak mempunyai pasport berjaya lari daripada kezaliman kerajaan yang di kepalai oleh United Malays National Organisation (Umno).

Di pagi itu, saya ingat lagi di gerai mana saya berada dalam pasar ketika saya melihat pemilik gerai menghadiahkan gula-gula kepada pelanggan dengan penuh keriangan.

Pada pagi itu Zulfikar Ali Bhutto bekas perdana menteri Pakistan, digantung mati di waktu Subuh di Penjara Besar Rawalpindi, Pakistan.

Berita tersebar ke Karachi hampir jam 10 pagi.

Sebelum digantung mati, Bhutto dibicarakan. 

Saya mengikuti perbicaraan ini dengan membeli “rejoinder” yang difotokopi dan dijual di kedai buku oleh penyokong Bhutto.

Rejoinder adalah terma guaman, yang memberi makna jawapan orang dituduh terhadap dakwaan yang dihadapkan.

Menjawab Lim Kit Siang

Rejoinder Bhutto yang dicetak adalah hasil fikrah peguam lulusan University of California, Berkeley dan Oxford University.

Apa hubungan rejoinder Bhutto dengan Kesedaran Melayu.

Bhutto menulis rejoinder ketika dituduh di mahkamah. 

Hishamuddin Rais juga menulis rejoinder untuk menjawab surah Lim Kit Siang.

Rejoinder saya ini bukan kerana saya berhadapan dengan tali gantung.  

Malah lebih daripada tali gantung.  

Rejoinder yang saya tulis ini digarap kerana Bani Melayu bukan saja berhadapan dengan tali gantung malah sedang diberi dedak.

Dedak yang ditabur sedang memandulkan fikrah Melayu.  

Dedak untuk memandulkan kecergasan fikrah Bani Melayu.  

Rejoinder Hishamuddin Rais bukan melalui Harvard atau Oxford tetapi melalui pengalaman dan pandangan empirikal yang kritikal tentang DNA politik Tanah Melayu.

Tahun 1980, George Lucas dari Hollywood menggarap filem The Empire Strikes Back.  

Tahun 2023 Hishamuddin Rais menggarap Malay Empire Strikes Back.

Apa yang saya garap ini bertujuan untuk meluruskan benang kusut milik anak semua bangsa dan bangsa semua agama di Tanah Melayu. 

Saya ingin memberi pencerahan tentang apa yang berlaku satu ketika dulu. 

Membuka DNA sejarah Tanah Melayu hingga kita berhadapan dengan DNA politik yang kita hadapi sekarang.

Rejoinder  saya ini adalah usaha untuk merungkai “suasana kusut” yang dikatakan oleh Lim Kit Siang, suasana pra 13 Mei.

Apa berlaku di Paris?

Untuk membuka pencerahan ini saya bawa pembaca ke Paris.

Pada 28 Jun 2023, warga miskin kota mengamuk dalam kota Paris. 

Punca disebabkan seorang anak muda yang bukan berkulit putih ditembak mati oleh polis berkulit putih.

Pembunuhan oleh anggota polis di anggap sebagai racist atau perkauman. 

Polis berkulit putih yang memiliki senjata membunuh anak muda yang tidak berkulit putih. 

Anak muda ini tidak bersenjata. Malah kesalahan hanya melanggar lampu trafik dan tidak memiliki lesen memandu.

Mengikut Mao Zedong, pemimpin Parti Komunis China, kuasa muncul dari laras senapang. 

Polis berkulit putih ada pistol atau pun disamakan dengan kuasa. 

Manakala yang ditembak mati, Nahel Merzouk anak keturunan Arab Algeria yang baru berumur 17 tahun tidak mempunyai senjata.

Bukan sahaja Nahel tidak bersenjata. 

Nahel, kaum keluarga Nahel, suku-sakat Nahel dan mereka yang sewaktu dengan Nahel tidak memiliki kuasa, zero, nil et rien. 

Mereka mewakili warga miskin kota Paris.

Si Nahel anak muda berketurunan Arab ini mewakili simbol dan memanifestasikan semua pendatang yang tidak berkulit putih di Perancis.

Nahel tinggal di wilayah Nanterre.  

Warga di wilayah Nanterre ini rata-ratanya miskin. 

Justeru mereka tinggal di flat milik bandar raya di pinggir kota.  

Mereka bukan duduk di wilayah Nueilly atau Saint Maurice yang lumayan.  

Flat di Nanterre  sempit, cikai lagi cokia. Rumah-rumah flat mereka kotor lagi bobrok.

Pada masa yang sama, diri merekalah penyumbang statistik penggangur yang tinggi.  

Mereka miskin merempat tanpa pekerjaan yang bergaji lumayan.

Kawasan perumahan Si Nahel ini menjadi wilayah dadah. Menjadi sarang samseng. 

Menjadi tempat jual beli barang curi. Malah rompak dan samun adalah babak harian mereka.

Heroin, ganja, hashish dan syabu menjadi budaya yang mengelilingi Nahel. 

Polis yang tidak berkulit hitam enggan masuk ke wilayah perkampungan Nahel.

Justeru sudah ada keterpendaman lama yang menunggu masa untuk meledak. 

Anak Karakatoa sudah lama terpendam. Gunung Agong sudah lama memendam rasa. 

Suasana sudah lama menghangat dan bila-bila masa sahaja akan memuntahkan lava yang panas membakar.

Ada apa dengan Paris? Apa sangkut paut Paris dengan DNA politik Tanah Melayu yang kita hadapi sekarang?

Mengapa tak dituduh perkauman?

Warga Perancis mengamuk di beberapa wilayah di Paris. 

Kedai dibakar, barang dalam kedai dicuri. 

Kereta milik polis dibakar, bas awam dibakar, bangunan kerajaan dibakar, ini gambaran amukan keganasan yang mula berlaku di Paris pada 28 Jun 2023. 

Hampir satu minggu suasana tegang di seluruh Perancis.

Pada 13 Mei 1969, ketika saya di Kuala Kangsar ada kereta dibakar, ada rumah dibakar, ada orang mati dibunuh di Kuala Lumpur. 

Apa yang berlaku di Paris tidak ada bezanya dari 13 Mei 1969 seperti yang disurahkan oleh Lim Kit Siang.

Di Paris yang mengamuk warga miskin kota. 

Di Kuala Lumpur yang mengamuk juga adalah warga miskin kota.

Di Paris yang keluar membakar kereta adalah anak-anak muda yang tidak berkulit putih. 

Di Kuala Lumpur yang membakar kereta adalah mereka yang datang dari pinggir kota, dari kampung setinggan Selayang, Kampung Kerinchi atau Kampung Baru.

Justeru Hishamuddin Rais bertanya, mengapa yang bangun melawan di Paris tidak dituduh perkauman?

Mengapa yang bangun melawan di Kuala Lumpur dituduh perkauman?

Walhal dua-dua di Paris dan di Kuala Lumpur adalah perlawanan dan pemberontakan warga miskin kota.

Justeru saya mentakrifkan “ambiance” dan suasana 13 Mei yang diceritakan oleh Lim Kit Siang adalah tidak lengkap.

Sebelum Paris meledak terbakar pada 28 Jun lalu, sudah wujud kemarahan warga yang tidak berkulit putih. 

Mereka merasa diri mereka ditinggalkan dan diketepikan daripada punca ekonomi.

Sebelum Kuala Lumpur meledak terbakar pada 13 Mei, sudah wujud kemarahan orang-orang Melayu.

Seperti Red Indian 

Mereka merasa “di Red Indiankan” di tanah air mereka sendiri.  

Mereka merasa harta kekayaan bumi Tanah Melayu bukan lagi milik mereka. 

Mereka melihat pendatang asing yang membolot harta kekayaan di bumi datuk nenek moyang mereka.

Kelas yang kaya di Perancis adalah kelas yang berkulit putih. 

Kelas yang miskin tertindas di Perancis adalah yang tidak berkulit putih.

Kelas yang kaya di Tanah Melayu adalah pendatang dari China. 

Kelas miskin tertindas adalah orang-orang Melayu.

Justeru 28 Jun di kota Paris adalah pemberontakan kelas tertindas.

Justeru 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur adalah pemberontakan kelas tertindas.

Jika di Paris pada 28 Jun ditakrif sebagai kemarahan kaum miskin, maka saya Hishamuddin Rais mahu mengubah naratif 13 Mei di Kuala Lumpur dari pergaduhan kaum ke pergaduhan kelas.

Pertentangan kelas ini adalah kontradiksi utama. 

Kelas ada manifestasi ekonomi. 

Saya sedar amat mudah untuk mentakrif 13 Mei 1969 sebagai pergaduhan kaum.

Singkap kain kaum itu dan lihat ada apa di dalamnya. 

Pasti akan tertonjol kelas. 

Umat manusia sama ada di Perancis atau di Tanah Melayu semuanya memiliki latar belakang kelas. 

Sama ada mereka berkulit putih, berkulit hitam, berkulit kuning, berkulit sawo matang semuanya akan terikat dengan kelas.

Surah Lim Kit Siang tentang 13 Mei 1969 jika tidak memasukkan unsur kelas sebagai unsur induk maka ianya pasti akan tempang.

Malah jika DNA politik hari ini dicampur gaulkan dengan ABR (agama, bangsa dan raja), maka ianya pasti tunggang terbalik.

Malah pada hemat saya DNA politik yang berlaku sekarang akan mengulangi sejarah pembelotan Umno bersama kuasa kolonial  Inggeris.  

Ulangi pembelotan seperti apa? Sila tunggu minggu hadapan untuk pencerahan.