British yang tidak pernah melaksanakan sistem demokrasi di tanah-tanah jajahannya berazam mewujudkan negara-negara demokratik di bawah sistem Komanwel.
United Kingdom (UK) tidak mempunyai Perlembagaan bertulis. Tetapi kebebasan bersuara atau ekspresi diwujudkan dengan tegas.
Akhbar bebas diterbitkan tanpa perlu kelulusan kerajaan. Sesiapa sahaja boleh menulis sama ada dalam akhbar, risalah dan buku. Tiada larangan dan ugutan.
Sebarang fitnah ditangani dengan akta fitnah dan bukannya pengharaman sesuatu penerbitan, atau campur tangan politik.
Radio dan televisyen yang dibiayai kerajaan, BBC dianggap sebagai media awam yang hanya menjaga kepentingan awam dan negara menurut kaca mata pengendali BBC.
Sementara sesiapapun bebas berucap di sudut pidato di Hyde Park.
Maka pakar-pakar undang-undang kolonial mahu mewujudkan tanah jajahannya yang terbesar iaitu India sebagai sebuah negara demokrasi terbesar dunia.
Perlembagaannya menggariskan cara pilihan raya umum dilaksanakan. Parti-parti politik bebas dibentuk.
Kalau di UK, Parti Komunis Britain dibenarkan, maka begitu juga di India. Parti Komunis India dibenarkan.
Malah dalam pilihan raya negeri, Parti Komunis dapat membentuk kerajaan negeri di Benggala Barat (West Bengal) dan Kerala.
Tetapi menggubal Perlembagaan Malaya menemui cabarannya tersendiri.
Tidak seperti Britain dan India, Malaya pada tahun 1948 sedang menghadapi kebangkitan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM).
Dalam rundingan Baling pada tahun 1955, PKM menuntut supaya mereka dibenarkan menyertai pilihan raya seperti mana yang dinikmati oleh Parti Komunis Britain dan Parti Komunis India.
Tetapi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura menolak tuntutan itu.
Mereka mahu PKM dibubarkan dan mengambil bahagian dalan pilihan raya dengan menyertai parti sedia ada.
Tetapi PKM menolak dan rundingan Baling gagal dengan perang diteruskan. Untuk mewjudkan demokrasi dalam waktu peperangan amat sukar.
Jika ia dilaksanakan, kebebasan demokratik tidak dapat diwujudkan. Namun bagi British, demokrasi patut diwujudkan juga di Malaya.
Untuk melawan PKM yang tidak demokratik, maka alternatifnya adalah sistem bebas yang lebih baik daripada komunis.
Tetapi demokrasi di Malaya tidak boleh diwujudkan seperti India dan UK. Dengan adanya ancaman komunis, keselamatan perlu diutamakan.
Ini bermakna kebebasan bersuara dikawal dengan penerbit dan pencetak akhbar perlu mendapatkan permit.
Maknanya pada masa itu pihak yang boleh bersuara secara meluas hanyalah kerajaan dan penyokong-penyokongnya.
Media massa terdiri daripada akhbar, majalah, buku, radio dan filem adalah dikawal ketat supaya tidak ada ruang bagi sebarang tulisan atau kata-kata yang mengancam keselamatan.
Dari segi amalan pula, ia meliputi perkara-perkara yang menjejaskan kedudukan pemilik kuasa.
Pada tahun 1960, Darurat diisytiharkan tamat tetapi media massa masih dikawal.
Begitu juga dengan perhimpunan, perarakan dan demonstrasi.
Pihak pembangkang yang terdiri daripada PAS, Front Sosialis, Malayan Democratic Union (MDU) dan Parti Progresif Perak (PPP) tentunya mempersoalkan kerajaan.
Adakah kerajaan sengaja mengawal kebebasan bukan kerana keselamatan tetapi untuk kelangsungan parti mereka sendiri iaitu Umno, MCA dan MIC?
Kawalan terhadap media massa dan sekatan kebebasan bersuara tidak dapat menghalang berlakunya peristiwa 13 Mei 1969.
Selepas peristiwa itu, kawalan lebih ketat dikenakan terhadap kebebasan bersuara. Perhimpunan politik dilarang dan hanya ceramah tertutup dibenarkan.
Umno melalui proksi mengambil alih akhbar Straits Times Malaysia, Malay Mail dan Berita Harian.
Akhbar Utusan Melayu sudah lebih awal diambil alih oleh Umno pada tahun 1955 dari segi saham, dan pada tahun 1960 dari segi editorial yang mencetuskan mogok bagi mempertahankan kebebasan akhbar.
Tentulah pada tahun 1974, pihak pembangkang yang terdiri daripasa Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM) dan DAP membantah apa yang mereka lihat sebagai sekatan kebebasan akhbar.
Pada masa itu, PAS berada dalam Barisan Nasional (BN). Selepas PAS menjadi pembangkang, mereka juga menuntut supaya ruang suara rakyat dibuka.
Tetapi semasa pentadbiran Dr Mahathir Mohamad ruang kebebasan bersuara bertambah sempit.
Dengan adanya TV3, BN mempunyai alat yang lebih kuat untuk melawan pembangkang.
Apa yang tidak dapat dilakukan okeh RTM boleh dilakukan oleh TV3.
Media massa yang dikuasai oleh parti pemerintah bukan sahaja digunakan untuk menentang pihak pembangkang tetapi dijadikan alat bagi menentang pesaing politik dalam parti sesama sendiri.
Siapa yang mengawal media mempunyai kuasa besar. Itu berlaku ketika Musa Hitam melawan Tengku Razaleigh Hamzah.
Ia juga berlaku apabila Anwar Ibrahim dapat menguasai media massa untuk melawan pesaing-pesaingnya dalam parti.
Apabila Tengku Razaleigh menjadi pembangkang, partinya Semangat 46 menyertai PAS, PSRM dan DAP dalam perjuangan menuntut supaya diwujudkan amalan demokrasi yang sihat dengan melaksanakan kebebasan bersuara yang lebih luas.
Tetapi Mahathir melancarkan Operasi Lalang yang menyaksikan penutupan akhbar Watan, The Star dan Sin Chew Jit Poh.
Setelah Tengku Razaleigh bubarkan Semangat 46 dan menyertai Umno Baru, soal kebebasan bersuara dan media tidak timbul lagi daripada pihaknya.
Pada tahun 1998, apabila Anwar disingkirkan dari Umno, giliran pihaknya pula menuntut kebebasan bersuara.
Gerakan reformasi memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara serta media adalah perkara penting yang dituntut oleh Parti Keadilan Nasional dan sekutu-sekutunya iaitu PAS, PRM dan DAP.
Pada masa itu, zaman internet baru bermula. Maklumat boleh tersebar tanpa melalui media massa.
Ia boleh menggunakan laman sesawang. Antara yang terkenal ialah laman Mahafiraun. Dari internet, ia dicetak dan difotostat.
Selepas itu, sekatan terhadap kebebasan bersuara semakin sukar hendak dilakukan.
Jalur lebar, telefon pintar dan media sosial meruntuhkan lagi sebarang sekatan.
Ia menjadi antara penyumbang kepada kemenangan Pakatan Rakyat (PR) di lima negeri pada tahun 2008.
Selanjutnya ia juga menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada tahun 2018.
Ia memberi harapan bahawa akhirnya Malaysia akan dapat menikmati kebebasan bersuara.
Dengan semangat reformasi, maka diharapkan kebebasan bersuara ini akan menjadi penyemak dan imbang kepada apa yang kerajaan hendak lakukan.
Harapan itu berterusan apabila PH membentuk kerajaan dengan BN pada tahun 2022.
Tetapi ternyata ia tidak berlaku seperti yang diharapkan.
Apabila memperoleh kuasa, kritikan-kritikan kepada kerajaan dilihat sebagai ancaman kepada kedudukan pemerintahan.
Apa yang dilaungkan mengenai kebebasan bersuara dan demokrasi ketika menjadi pembangkang terhenti apabila berdepan dengan realiti bahawa kuasa mereka dirasakan tercabar dengan kritikan-kritikan.
Maka toleransi berganti dengan sikap defensif dengan seolah-olah berasa tidak selamat dari segi politik (political insecurity).
Maka lantaran itu, pihak yang mempunyai kuasa bertindak seperti kerajaan-kerajaan dahulu dengan mencari jalan supaya kritikan-kritikan tidak dikemukakan.
Portal berita disekat dengan menggunakan kaedah teknologi. Nilai kebebasan bersuara dalam demokrasi sudah dilupakan.
Tetapi keadaan sekarang tidak seperti dahulu. Cara menyekat kebebasan bersuara seperti zaman BN dahulu tidak lagi boleh digunakan.
Teknologi maklumat sudah begitu berkembang hinggakan tindakan seperti menyekat siaran berita portal tidak akan berkesan.
Fitnah dan hasutan masih tetap perlu disekat. Tetapi kritikan-kritikan sihat perlu dijawab secara bijak dan berdepan kerana ia tidak boleh disekat.
Atau adakah kebebasan bersuara dan demokrasi ini hanya suatu impian yang tidak boleh dicapai.
Ia hanya merupakan umpan untuk memancing undi dengan memberikan harapan tetapi apabila memiliki kuasa, realitinya ia tidak dapat diwujudkan?
Namun di Barat, kebebasan bersuara sudah berkembang matang dan memberi sumbangan kepada kemajuan dan kemakmuran negara.
Isu yang dihadapi mereka kini pula adalah tindakan-tindakan provokasi bernada Islamofobia.