- Iklan -
Wacana

Perjalanan blok ketiga dalam konteks parti Muda

Jika Muda menganggap mereka adalah berbeza, tunjukkan di mana perbezaan mereka dengan dua blok utama.

Muhammad Andzarwir Zakaria
3 minit bacaan
Kongsi
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.
Bendera Muda tergantung di latar belakang menjelang Pilihan Raya Negeri Johor pada Mac 2022.

Istilah blok ketiga kembali berkumandang baru-baru ini apabila Muda mengumumkan akan menyertai Pilihan Raya Negeri akan datang.

Bagaimanapun, penyertaan parti itu kali ini adalah sebagai blok ketiga yakni tidak berafiliasi dengan Blok Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) mahupun Perikatan Nasional (PN). 

Atas kertas, Muda merupakan sekutu yang menyokong kepimpinan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri di peringkat pusat.

Ini bermakna, di peringkat pusat, mereka adalah sekutu PH-BN. 

Dalam kenyataan media parti tersebut, setiausaha agung Muda menyebut bahawa langkah ini bertujuan untuk memberi tawaran politik baharu kepada pengundi di negeri yang akan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) seperti Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. 

Selain tawaran politik baharu, Muda juga beranggapan mereka dapat menjadi alternatif kepada pengundi jikalau ada pengundi yang muak dengan dua gabungan utama iaitu PH-BN atau PN.

Jika diimbas kembali, ini adalah alasan yang sama dilontarkan oleh Gerakan Tanah Air (GTA) yang diketuai Parti Pejuang Tanah Air sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu. 

Bagaimanapun, inisiatif blok ketiga yang diketuai Pejuang ini gagal untuk menjadi alternatif kerana tidak mendapat walau satu kerusi di Dewan Rakyat malahan kesemua calon mereka telah hilang deposit. 

Tidak ketinggalan, pengerusi GTA yang merupakan bekas perdana menteri sebanyak dua kali juga kehilangan deposit dan kalah di Parlimen yang pernah menjadi kawasan emas beliau sewaktu berkuasa dulu. 

Oleh sebab itu, kebanyakan penganalisis memberi ramalan awal bahawa Muda akan menerima nasib yang sama dengan GTA-Pejuang di mana mereka akan kalah dan kehilangan deposit.

Sekiranya kita menelusuri sejarah perjalanan demokrasi di Malaysia sejak kemerdekaan, parti atau gabungan yang menjadi blok ketiga memang tidak pernah ada. 

Bukan bermaksud gerakan itu tidak ada, sebaliknya gerakan besar-besaran peringkat nasional dan aktif tidak konsisten dan akhirnya terpadam dalam perjalanan politik negara.

Hanya ada sebelum dan semasa pilihan raya umum 1969 di mana pada waktu itu negara mempunyai Parti Negara yang mempunyai satu kerusi di Terengganu melalui wakil tunggal, Onn Jaafar. 

Kemudian, melalui Parti Gerakan Rakyat Malaysia yang merupakan satu-satunya parti tunggal yang berjaya menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membentuk kerajaan secara solo tanpa melalui gabungan.

Selepas tragedi 1969, dan terbentuknya Barisan Nasional, Malaysia tidak lagi mempunyai parti politik ketiga yang kuat untuk berjaya di satu kerusi baik di Parlimen atau di dewan negeri. 

Sehinggalah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (2018) PAS cuba untuk menjadi blok ketiga dengan terbentuknya Gagasan Sejahtera melalui gabungan PAS, Parti Ikatan, dan Berjasa.

Namun, hanya mampu menang di 18 kerusi parlimen sahaja. PAS kemudiannya menjadi pembangkang dan membentuk gabungan baharu melalui Muafakat Nasional dengan Umno dan PN dengan parti Bersatu selepas Langkah Sheraton 2020. 

Adakah dengan adanya blok ketiga ini salah di sisi demokrasi? Jawapannya tidak, kerana adanya blok ketiga ini bermakna demokrasi itu semakin diraikan dan semakin meriah. 

Cuma, pemimpin politik blok utama agak skeptikal dengan kewujudan blok ketiga ini kerana ia mampu memecahkan undi rakyat kepada mereka. 

Sekiranya perlawanan dua penjuru, mereka boleh mengira berapa undi yang boleh mereka dapat. 

Tetapi, dengan tiga penjuru, undi yang sepatutnya mereka dapat mungkin akan berpindah kepada blok ketiga. 

Lebih teruk, dengan undi yang dipindah kepada blok ketiga menyebabkan mereka kalah kepada pihak lawan dan hilang kerusi. 

Selepas pilihan raya, disalahnya pihak blok ketiga sehingga seolah-olah kehadiran blok ketiga ini sebagai pengacau dan "berdosa besar".

Berbalik kepada hasrat Muda untuk menjadi blok ketiga di Malaysia, ada beberapa perkara yang perlu dititik beratkan oleh parti itu dalam membawa naratif politik baharu di Malaysia.

Pertama, mereka perlu jelas siapa sasaran mereka. Kedua, manifesto dan hala tuju mesti konsisten dan jelas supaya pengundi dapat diyakinkan bahawa mereka adalah pengganti kepada dua blok utama yang ada. 

Ketiga, politik di Malaysia masih lagi bukan politik berasaskan nilai sebaliknya berasaskan sentimen. 

Sekiranya Muda pandai bermain sentimen berasaskan setempat dan lokal, mereka mungkin ada peluang untuk menang.

Jika Muda menganggap mereka adalah berbeza, tunjukkan di mana perbezaan mereka dengan dua blok utama. 

Tidak usah takut dan gentar untuk memperkenalkan ideologi baharu kerana akhirnya rakyat akan menilai keikhlasan Muda dalam berjuang.

Keempat, faktor calon yang berwajah baharu, bersih dan berbilang bangsa mungkin menjadi faktor tarikan rakyat Malaysia untuk memilih Muda. 

Kelima, Muda boleh menunjukkan imej ketelusan dengan mengisytiharkan jumlah dana yang mereka dapat untuk pilihan raya dan bagaimana ia dibelanjakan.

Akhir sekali, terpulang kepada Muda dan pimpinannya untuk menentukan dasar yang bagaimana mereka hendak membawa parti itu dalam arena politik Malaysia.

Sebagai rakyat Malaysia, kewujudan Muda dilihat mempunyai perjalanan yang masih jauh untuk menggapai Putrajaya dengan jayanya, namun sekiranya pemimpinnya konsisten, bersifat realistik, dan strategis...tidak mustahil untuk mereka.

Lihat sahaja Parti Move Forward di Thailand, dalam masa setahun penubuhannya, telah berjaya memperoleh kerusi terbanyak di Parlimen. 

Muda mungkin boleh belajar sesuatu dengan mereka.

Muhammad Andzarwir Zakaria adalah koordinator penulisan Pertubuhan Literasi Demokrasi (Ajar Demokrasi).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.