- Iklan -
Kolum

‘Menggigil hendak undi BN’, kata seorang penyokong PH

Bagi orang Melayu, PAS bukanlah suatu 'momok' yang perlu ditakuti.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pilihan raya di enam negeri pada 12 Ogos 2023 adalah bersejarah kerana sebelum ini keadaan seumpamanya tidak pernah berlaku. 

Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kerana penggal kekuasaan mereka belum berakhir setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2018 diadakan serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Semasa PRU15 tahun lalu, hanya Pahang, Perlis dan Perak yang mengadakan PRN. 

Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor sudah mengadakan PRN masing-masing sebelum itu.

Ketika Parlimen dibubarkan tahun lalu, kerajaan yang memerintah diketuai oleh Barisan Nasional (BN) dengan disertai oleh Bersatu, PAS dan parti-parti Sarawak dan Sabah. 

Walaupun PAS adalah sebahagian daripada kerajaan pusat, tetapi kerajaan negeri yang diketuai mereka iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah enggan membubarkan DUN mereka supaya PRN dapat diadakan serentak dengan PRU15 dan menjimatkan perbelanjaan negara.

Kerajaan negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan sememangnya ditadbir Pakatan Harapan (PH) yang merupakan pembangkang di peringkat pusat tentulah enggan membubarkan DUN. 

Ini kerana selain daripada menunjukkan sikap "membangkang" terhadap kerajaan pusat, ada juga elemen rasa tidak yakin untuk menang pada tahun lalu. 

Ini kerana ketika itu sudah tiada Bersatu dalam PH. 

Ditambah pula, sebahagian daripada pendukung PKR juga beralih kepada Bersatu. 

Sementara PAS pula seharusnya mempunyai keyakinan kuat untuk memenangi Kelantan, Terengganu dan Kedah jika PRN diadakan serentak dengan PRU tahun lalu. 

Sebagai anggota kerajaan pimpinan BN jetika itu, ia juga tidak perlu bersikap "membangkang." 

Ternyata keputusan PRU15 menunjukkan berlakunya "gelombang hijau" yang mana PAS muncul sebagai parti paling banyak meraih kerusi. 

Kelebihan PH hanya kerana dikira gabungan tiga parti, PKR, DAP dan Amanah. 

Mungkin terdapat kekesalan kerana tidak membubarkan DUN mereka pada tahun lalu. 

Jika tidak, PAS sudah selesa menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Jika itu yang berlaku, tenaga dan sumber yang ada pada hari ini boleh dipusatkan untuk membantu jentera parti bagi menghadapi PRN Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Namun kekesalan ini patut juga dirasakan oleh pihak PH. 

Ini kerana jika PRN diadakan di negeri-negeri PH pada tahun lalu, maka mereka tidak perlulah berbahagi kawasan dengan BN yang menuntut banyak kerusi. 

Ternyata BN yang tersudut dalam PRU15 tahun lalu dapat peluang untuk bangkit dengan dibantu oleh PH melalui kerajaan campuran.

Di Selangor, BN yang sudah kehilangan tempat sejak tamparan ketat yang diterimanya pada PRU tahun 2008 dan terus gagal untuk bangkit pada tahun 2013 dan 2018 memperoleh peluang bernafas kembali dalam PRN dengan adanya pembahagian kerusi bersama PH.

Ia berupa suatu ironi sejarah politik negara. 

Walaupun PH mula menentang BN sejak tahun 2015 apabila ia ditubuhkan di atas pembubaran Pakatan Rakyat tetapi perlawanan yang dilakukan oleh parti-parti anggotanya adalah lebih lama lagi. 

PKR sebagai Parti Keadilan Nasional (PKN) melawan BN sejak penubuhannya pada tahun 1999. 

Tetapi jika hendak dikirakan pada Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang bergabung dengan PKN untuk menjadi PKR, maka perlawanan itu adalah lebih lama lagi.  

PRM menentang BN sejak ia ditubuhkan pada tahun 1974. 

Ketika itu, ia bernama Parti Sosialis Rakyat Malaya (PSRM). 

Tetapi penentangannya adalah lebih awal lagi iaitu semasa BN belum tertubuh lagi, dan bergerak sebagai Perikatan. 

PRM sejak ia ditubuhkan pada tahun 1955 melawan Perikatan.

DAP pula mula menentang Perikatan sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1966 oleh bekas ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Ini ekoran PAP tidak lagi boleh beroperasi di negara ini dengan terkeluarnya Singapura daripada Malaysia pada tahun 1965.

PAP ditubuhkan pada tahun 1954 di Singapura dan mereka menentang Umno dalam pilihan raya di sana. 

Selepas penubuhan Malaysia, mereka turut mengambil bahagian dalam PRU tahun 1964 melawan Perikatan walaupun terdapat persetujuan bahawa mereka tidak akan masuk bertanding di Semenanjung.

Amanah pula ditubuhkan pada tahun 2015 ekoran kekalahan pemimpin-pemimpin PAS yang menyokong kerjasama dengan DAP melalui Pakatan Rakyat dalam pemilihan Jawatankuasa PAS Pusat pada tahun 2014.

Aktivis-aktivis itu melawan Umno sejak menyertai PAS sekitar lewat 1970-an dan awal 1980-an, iaitu selepas PAS disingkirkan oleh BN pada tahun 1978.

Maka tahun lalu, dengan penubuhan kerajaan campuran yang terasnya adalah kerjasama PH dan BN, mereka yang selama ini menentang Umno berada dalam satu bumbung bagi melawan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Bersatu, PAS dan Gerakan. 

Ini adalah satu ironi dalam politik tanah air.

Kerjasama PH dan BN adalah suatu yang tidak terfikir oleh kebanyakan penyokong PH. 

Tetapi bagi pemimpin-pemimpinnya, senario kerjasama antara PH dan BN mungkin sudah lama difikirkan dan dirancang dengan persediaan mental dan strategik. 

Sebagai ahli politik, mereka bertindak seperti pemain catur, memikirkan beberapa langkah ke depan. 

Tentu kerjasama antara PH dan BN dapat disangka dan dijangka sejak 2020 apabila menyedari bahawa adalah sukar bagi PH untuk memenangi PRU secara bersendirian. 

Ini kerana sokongan rakyat terhadapnya adalah terhad. 

Ini dapat dilihat daripada kekalahan bersiri mereka dalam pilihan raya kecil dan negeri sebelum PRU15. 

Ini dipercayai turut memberi kesan kepada keputusan untuk tidak membubarkan DUN pada tahun lalu.

Sememangnya keadaan ini mendatangkan kekecewaan kepada para penyokong PH. 

Tetapi lebih mendatangkan kekecewaan ialah apabila PH bekerjasama dengan musuhnya, BN. 

Mereka perlu diyakinkan dengan lebih kuat oleh para pemimpin dan aktivisnya. 

Tidak seperti Umno dan PAS, parti-parti PH tidak mempunyai keahlian parti yang besar atau massa dengan memiliki komitmen ideologi yang kuat. 

Umpamanya Umno dengan perjuangan Melayunya dan PAS dengan Islamnya. 

Kebanyakan penyokong PH ialah sama ada mendukung seseorang tokoh pemimpin atau menolak saja fahaman Umno dan PAS. 

Ada pula yang tidak dapat menerima perangai atau amalan pemimpin dan penyokong kedua parti itu. 

Hanya segelintir yang benar-benar faham isu perjuangan PKR, DAP dan Amanah.

Namun begitu, memberi sokongan terhadap seseorang pemimpin dan sesebuah parti politik memerlukan "pelaburan emosi" (emotional investment). 

Ia adalah seperti penyokong pasukan bola sepak. 

Lebih-lebih lagi kalau aktif dalam media sosial yang membincangkan isu-isu politik. 

Maka mereka akan berasa kecewa apabila partinya kalah atau tidak dapat menangkis serangan pihak lawan. 

Begitu juga apabila partinya menjadikan musuh lamanya sebagai kawan. 

Ada seorang penyokong Amanah di Selangor memberitahu saya, dia berasa "menggigil" hendak mengundi BN. 

Ia berkata demikian apabila diberitahu bahawa dalam PRN ini, PH menarik diri daripada bertanding di kawasannya untuk memberi laluan kepada BN selaras dengan semangat kerajaan campuran.

Begitu juga, adalah dipercayai ramai penyokong BN yang juga berasa "menggigil" hendak mengundi DAP.  

Tidak kurang pula yang berasa  "malas" hendak mengundi kerana kalaupun PH-BN menang, kedua-duanya terpaksa bertolak ansur antara satu sama lain hingga tidak akan berlaku sebarang perubahan besar yang baik. 

Apa yang hanya boleh mendorong mereka turun ialah jika mereka amat takut pada pentadbiran PAS. 

Bagi orang Melayu, PAS bukanlah suatu "momok" yang perlu ditakuti.