- Iklan -
Kolum

Isu-isu tempatan perlu diambil perhatian oleh calon Adun

Keselesaan hidup dan keluarga amat bergantung pada keadaan tempatan yang baik.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Satu perkara yang menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) penting adalah kerana tiadanya pilihan raya tempatan dalam sistem demokrasi negara ini. 

Ia menyebabkan ahli majlis tempatan atau dewan bandar raya dilantik oleh kerajaan negeri. 

Sebab itulah memilih ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) juga bermakna menentukan anggota majlis tempatan. 

Pilihan raya tempatan untuk memilih ahli majlis tempatan diadakan di beberapa bandar di Persekutuan Tanah Melayu sejak belum merdeka lagi. 

Ia berlangsung bukan saja di bandar-bandar besar seperi Georgetown, Kuala Lumpur, Melaka dan Johor Bahru tetapi juga bandar kecil seperti Batu Pahat, Muar dan Taiping.

Maka ketika baru mencapai kemerdekaan, negara ini mempunyai tiga lapisan pilihan raya, pilihan raya umum (PRU), PRN dan pilihan raya tempatan. 

Ia menentukan anggota majlis tempatan yang boleh membawa kepada pelantikan datuk bandar bagi bandar bertaraf bandar raya.

Umumnya Perikatan yang terdiri daripada Umno dan MCA yang kemudian disertai oleh MIC memenangi pilihan raya tempatan itu. 

Malah kemenangan calon ketjasama Umno-MCA di Kuala Lumpur memberi keyakinan kepada Tunku Abdul Rahman bahawa kerjasama seumpama dua parti berlainan kaum itu adalah lebih dapat diterima oleh orang Melayu berbanding parti pelbagai kaim yang diperjuangkan oleh Onn Jaafar melalui Parti Kemerdekaan Malaya (IMP). 

Daripada situlah Tanah Melayu merintis jalan kemerdekaan.

Namun begitu, pada satu pilihan raya tempatan Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang menyaksikan parti pembangkang ketika itu, iaitu Front Sosialis yang dianggotai oleh Parti Buruh Malaya (LPM) dan Parti Rakyat Malaya (PRM) memenangi pilihan raya tempatan.

Keadaan ini tidak disenangi oleh kerajaan Perikatan kerana bukan saja pembangkang menguasai bandar-bandar penting itu tetapi mereka merupakan parti beraliran kiri dan berfahaman sosialis. 

Parti-parti itu menentang penubuhan Malaysia yang selaras dengan dasar konfrontasi oleh Indonesia dan Parti Komunis Malaya.  

Lalu kerajaan menggunakan undang-undang darurat untuk menggantung pilihan raya tempatan.

Selepas berlakunya peristiwa 13 Mei di Kuala Lumpur selepas PRU tahun 1969, yang menyaksikan kemenangan DAP dan Gerakan di banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, kelihatannya kerajaan tidak berminat untuk memulihkan pilihan raya tempatan. 

Maka pada tahun 1976, selepas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam PRU tahun 1974, undang-undang digubal bagi memansuhkan pilihan raya tempadan.

Sejak itu, pihak pembangkang dari pelbagai parti politik iaitu DAP dan PRM sentiasa menuntut supaya diadakan semula pilihan raya tempatan. 

Seringkali ia juga dimasukkan ke dalam manifesto mereka.

Namun begitu apabila akhirnya pihak pembangkang dalam bentuk Pakatan Harapan (PH) nemenangi PRU pada tahun 2018, ternyata terdapat banyak perkara yang menghalang untuk diadakan semula pilihan raya tempatan. 

Ada yang menyebut tentang soal perkauman yang menjadi penghalang kepada sebarang usaha untuk mengadakan semula pilihan raya tempadan.

Pada waktu ini, soal supaya diadakan semula pilihan raya tempatan hanya kedengaran datang dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang turut bertanding di beberapa kawasan di Selangor dalam PRN kali ini. 

Mereka pernah memenangi satu kawasan DUN dalam PRN tahun 2008 tetapi dengan kerjasama PKR dan PAS dalam kerangka Pakatan Rakyat. 

Pada tahun itu, wakil mereka turut dipilih oleh kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat untuk menjadi ahli majlis perbandaran Kajang di Selangor. 

Operasi parti yang bersifat tempatan seperti membantu pekerja-pekerja mendapatkan hak menyebabkan PSM berasa mampu menang jika ada pilihan raya tempatan berbanding PRN atau PRU.

Isu-isu pada peringkat tempatan iaitu di kawasan perumahan adalah amat penting kerana ia dekat dengan kediaman dan tempat kerja seseorang. 

Keselesaan hidup dan keluarga amat bergantung pada keadaan tempatan yang baik.

Antara isu-isu ini adalah infrastruktur, kemudahan awam, kebersihan dan keselamatan. 

Tetapi di negara ini apa yang sering terabai ialah kemudahan bagi kanak-kanak dan remaja untuk aktif, keprihatinan kepada orang kelainan upaya dan ruang ruang kebajikan bagi warga emas.  

Seringkali pihak berkuasa tempatan menganggap bahawa apa yang berlaku di kawasan mereka wujud atas kemahuan penduduk di situ. 

Jika tidak ada aduan atau tuntutan dari penduduk, maka mereka menganggap bahawa semua berada dalam keadaan baik dan lancar. 

Sedangkan apa yang diperlukan adalah juga program dan wawasan pihak berkuasa tempatan. 

Di sebalik ketenangan dan kelicinan perjalanan hidup masyarakat tempatan banyak perkara yang menjadi rungutan orang ramai dan perkara itu terserlah dalam perbualan orang ramai termasuk dalam kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Memang benar bahawa banyak perkara di peringkat tempatan bergantung pada aktif dan mentaliti penduduk masing-masing. 

Bagi mereka yang mempunyai persatuan penduduk yang aktif sentiasa berhubung dengan majlis tempatan tentulah mereka dapat lebih perhatian dan segala rungutan, aduan dan cadangan didengar oleh pihak berkuasa tempatan. 

Tetapi adalah diketahui untuk mendapat kepimpinan persatuan penduduk bukanlah perkara mudah. 

Golongan yang mempunyai banyak masa adalah para pesara tetapi tentulah mereka sudah kekurangan kemampuan tenaga dan mental untuk memikul tanggungjawab.

Saya bukanlah mahir mengenai perjalanan kerajaan tempatan. 

Tetapi dari pengalaman sebagai pemberita dan penduduk, saya faham bagawa banyak pegawai di peringkat tempatan turut dilatih melalui kursus baik dari dalam negara atau luar negara mengenai usaha untuk mewujudkan suasana kehidupan tempatan yang lebih baik.  

Tetapi dari segi pelaksanaan, ia jauh daripada pencapaian yang baik.

Dalam akhbar arus perdana, ada ruang yang dikhususkan untuk berita-berita tempatan yang menyiarkan aduan orang ramai dan kemajuan yang dicapai oleh majlis tempatan. 

Tetapi ruang itu terhad untuk menampung semua kawasan tempatan. 

Tetapi kini dengan adanya media sosial, banyak perkara yang dapat dihebahkan, sama ada ia diambil maklum dan diberi perhatian untuk bertindak adalah soal lain.

Bagi mereka yang pernah menjafi ahli majlis tempatan khususnya selepas tahun 2008 apabila BN tidak memerintah, maka tentu lebih faham mengenai perjalanan dan masalah yang dihadapi kerajaan tempatan.

Maka semasa PRN ini; isu dan perhatian wajar juga ditumpukan kepada soal peringkat tempatan. 

Walaupun apa yang ada di peringkat tempatan sewajarnya berkait langsung dengan kerajaan negeri dan pusat, tetapi perbincangan isu tempatan mesti turut dikedepankan.

Kerajaan tempatan hanyalah satu lapisan bagi usaha untuk kepentingan bandar dan pekan. 

Lapisan di peringkat rakyat adalah penduduk sendiri, dan ia tersusun dalam bentuk persatuan-persatuan penduduk.

Tetapi ada satu lagi lapisan penting iaitu kepimpinan politik untuk peringkat tempatan. 

Ia terbahagi pada dua sudut, iaitu pertama, wakil rakyat yang dipilih dan kedua, jentera parti politik di sesuatu kawasan.

Wakil rakyat, apa yang dimaksudkan ialah Adun bagi kawasan yang meliputi majls kerajaan tempatan tentu merupakan penghubung dan rantaian penting bagi menyelesaikan masalah. 

Ada Adun yang menjadi ahli majlis tetapi kalau tidak pun, beliau bertanggungjawab ke atas kawasannya. 

Sudut kedua ialah jentera parti politik yang berada di peringkat tempatan iaitu cawangan. 

Jika akar umbi parti politik, tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang bergerak aktif walaupun semasa di luar musim pilihan raya, maka banyak perubahan dapat dilakukan untuk kebaikan di peringkat tempatan.

Apa yang saya hendak sampaikan di sini ialah kepentingan isu-isu tempatan diatasi. 

Ini kerana perbincangan dan perbahasan mengenai isu-isu nasional dan isu-isu negeri yang begitu luas hingga menenggelamkan isu-isu tempatan dan  tidak mendatangkan manfaat kepada penduduk.

Maka walaupun sekarang enam negeri menghadapi PRN tetapi perlu diingat bahawa memilih Adun adalah juga bererti menentukan ahli majlis tempatan. 

Ini kerana ahli majlis tempatan dilantik oleh kerajaan negeri. 

Bagi pengundi yang mengambil berat terhadap keadaan tempatan, maka wajarlah mengenali bakal Adun mereka supaya kepentingan tempatan dapat dipelihara dan dimajukan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.