- Iklan -
Kolum

Apakah yang membuatkan Kelantan begitu istimewa?

Di Kelantan, semua kaum dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, mengamalkan budaya mereka secara terhormat, dan beribadah secara bebas.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan dasar “Membangun Bersama Islam”, sebuah kelainan yang menjadikan ia unik dan berbeza dari negeri-negeri lain.

Tidak seperti negeri membangun di sebelah Semenanjung Barat, di Kelantan tiada kedai nombor empat ekor, kelab malam, kedai urut, atau penjualan arak berleluasa.

Ia secara tidak langsung membuktikan kepada manusia bahawa mereka tetap dapat hidup dengan bahagia tanpa perkara-perkara tersebut.

Ini mencerminkan nilai-nilai Islam, tetapi bukan bermakna orang bukan Islam tidak dapat menikmati kehidupan mereka.

Mereka masih boleh menikmati arak di restoran tidak halal, contohnya.

Di Kelantan, semua kaum dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu, mengamalkan budaya mereka secara terhormat, dan beribadah secara bebas.

Kelantan juga ialah satu-satunya negeri yang mencerminkan budaya kehidupan yang bukan sekadar mengejar pembangunan secara membuta tuli sambil terikut-ikut budaya Barat di dalam segala aspek kehidupan. 

Kelantan masih berbudaya Timur yang menjiwai Islam.

Ini menjadikan Kelantan adalah satu identiti Malaysia yang unik dan indah.

Keunikan ini yakni tidak akan dapat dilihat di negeri-negeri yang diperintah Umno dan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Semua ini adalah hasil dasar Membangun Bersama Islam yang dibawa PAS dan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memerintah Kelantan selama 33 tahun. 

Meskipun menghadapi cabaran kewangan dan pembangunan infrastruktur, Kelantan tetap membangun dengan dasar yang sama.

Ikon yang paling digeruni lawan PAS di Kelantan selepas pemergian Nik Aziz, tidak lain tidak bukan ialah Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah yang juga naib presiden PAS.

Segala tohmahan dan serangan terhadap Kelantan, beliaulah benteng pertahanan yang pertama yang tampil menjawab di media. 

Amar rajin menjawab tuduhan kerana sayang pada negerinya. 

Ini yang membuatkan musuhnya hilang punca.

Oleh sebab tiada skandal rasuah mahupun seks yang boleh dimainkan di Kelantan, maka musuh politiknya beralih arah menggunakan taktik membangkitkan kesangsian, tetapi Amar tetap berdiri kukuh, sama seperti Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.

Kerana banyak menjawab, Amar sebagai manusia yang biasa tidak dapat lari daripada terjawab dengan jawapan yang kadang-kala menimbulkan kontroversi.

Dan itulah sahaja modal yang boleh digunakan terhadap Amar. 

Secara tidak langsung, beliau sering menjadi sasaran musuh. 

Namun, jangan biarkan wayang kulit itu mengalihkan pandangan untuk mempertahankan keunikan Kelantan yang terbina kerana asas dasar Membangun Bersama Islam yang dibawa kerajaan PAS selama ini.