- Iklan -
Kolum

PRN 6 negeri, tanda dan makna

Kempen dan keputusan PRN ini akan menjadi rujukan kepada pengkaji sejarah yang akan datang.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor memiliki tanda dan makna yang tersendiri.

Kempen dan keputusan PRN ini akan menjadi rujukan kepada pengkaji sejarah yang akan datang. 

Ini untuk pertama kalinya berlaku pengundian di negeri ketika kerajaan pusat baru sahaja dilantik.

Ianya agak berbeza dari pilihan raya kecil disebabkan yang berhormat meninggal dunia.

PRN 2023 ada 570 calon bertanding merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di enam negeri ini.

Ini adalah pertandingan antara kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dengan Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pembangkang.

Dari awal lagi PN berjaya mengajukan dan menebarkan jala naratif bahawa PRN di enam negeri kali ini adalah referendum kepada kerajaan persekutuan.

Dengan jelas PRN cerita ini juga dijual untuk ditafsirkan sebagai pemungutan pandangan atau referendum terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim.

Naratif ini dan keputusan PRN ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan campuran PH-BN.

Tetapi naratif ini masih menjadi “viagra” yang menaikkan nafsu pengundi dan penyokong PN yang mahu menggulingkan kerajaan sedia ada.

Abdul Hadi Awang, pemimpin PAS terus menjual naratif bahawa keputusan PRN ini, jika PH-BN kecundang maka kerajaan pusat akan ditukar. 

Dari mana dan bagaimana Hadi mendapat pendapat ini masih menjadi tanda tanya.

Apa yang jelas dengan PRN ini ialah tentang kedudukan Ahmad Zahid Hamidi dan peranan Umno.

Dari berita yang tersebar umum, dikatakan beberapa orang kuat parti “Ketuanan Melayu” ini keluar parti kerana tidak yakin dengan kepimpinan dan garis politik Zahid. 

Mereka menambah jumlah, Shahidan Kassim, Annuar Musa dan Noh Omar yang dipecat Umno sebelum dan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dahulu.

Kepimpinan Zahid terus menjadi induk kempen dan agenda ketidakpuasan ahli Umno. 

Rata-rata ahli parti ini merasa mereka ditipu oleh Zahid.

Ahli dan penyokong Umno merasakan mereka diperbodohkan oleh Zahid dengan slogan “No Anwar, No DAP”.

Agenda anti Zahid ini akan membawa padah besar kepada kerajaan PH-BN. 

Walaupun ini adalah krisis dalaman tetapi kesannya amat besar kepada keputusan PRN ini.

Persoalan yang selalu ditimbulkan: Apakah ahli Umno akan memilih calon PH atau memberi undi kepada PN. 

Apakah penipuan Zahid ini akan menghilang dan mengurangkan undi PH?

Malah ada ahli penyokong dan ahli PKR dan DAP yang melihat Zahid ini sebagai “kavadi”.

Memikul kavadi adalah amalan penganut Hindu untuk ke Batu Caves membayar nazar. 

Memikul kavadi bernama Zahid adalah membayar niat untuk sampai ke Putrajaya.

Malah memikul Zahid ini dijadikan lawak kepada niat baik Anwar yang sedang berkempen “bertegang leher”menentang rasuah. 

Kempen anti-rasuah Anwar ini menjadi bahan lawak kerana Zahid yang dilantik sebagai timbalan perdana menteri sedang berhadapan dengan 47 pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa.

Dihebohkan, jika Umno gagal mendapat kejayaan dan ramai calon hilang wang deposit, maka ini tanda malaikat maut menghampiri parti Ketuanan Melayu itu.

Tetapi hakikatnya adalah payah lagi susah untuk mengumpil Zahid keluar dari kerusi presiden. 

Zahid dengan bijak lagi licik memecat dan menggantung muka-muka yang berpotensi untuk mengumpil kerusi presiden. 

Zahid dibaca kukuh dalam Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Ahli-ahli yang tidak suka kepada Zahid boleh menonggeng sambil terkentut, kedudukan presiden Umno tidak akan goyang. 

Satu lagi perkara yang tersirat dalam PRN ini ialah jumlah yang akan keluar mengundi. 

PRN bukan PRU untuk menubuhkan kerajaan. 

Justeru dirasakan ada kecuaian, sikap “tidak ambil pot”, dalam hal keluar mengundi. 

Perkara keluar mengundi ditakuti oleh PH dan juga PN. 

Dua gabungan ini mahu jumlah pengundi yang melebihi 70%.

Hadi sudah mengeluarkan fatwa untuk memastikan penyokong PAS dan Bersatu, maknanya Melayu agar keluar beramai-ramai. 

Dosa dan pahala menjadi landasan fatwa Hadi.

Hadi gusar jika Melayu tidak keluar mengundi, projek PN akan koyak.

Pada masa yang sama PH pula merasa takut jika pengundi Cina tidak seratus peratus keluar mengundi.

Pengundi Cina “tidak full-force” untuk keluar mengundi.

Pengundi Cina menyokong kuat kerajaan PH dan Anwar.

Pengundi Cina merasa mereka selamat dan berpendapat PRN ini tidak akan mengubah kerajaan pusat. 

Justeru  mereka merasa selesa maka tidak ambil berat untuk mengundi. 

Tidak pulang dari luar negara seperti sikap mereka dalam PRU15.

Pada masa yang sama ada juga pengundi dan penyokong DAP yang merasa kecewa. 

Pada PRU15, mereka memilih PH tetapi dapat kembali “kepala kleptokrat” yang bernama Zahid.  

Babak Zahid ini mengecewakan sebahagian pengundi Cina. 

Justeru ucapan Tony Pua sosok penasihat Anthony Loke pemimpin besar DAP. 

Pua secara jujur masih melihat Umno sebagai parti rasuah.

Untuk pengundi genre ini undi atau tak undi pun hasilnya adalah sama.

Hakikatnya jika Melayu tak ikut fatwa Hadi maka PN akan gagal mendapat kemenangan besar. 

Hakikatnya jika Cina tidak ramai keluar mengundi maka banyak kerusi PH akan hilang dan jatuh ke tangan PN.

Pertempuran PRN kali ini adalah pertempuran di media sosial. 

Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok menjadi aliran membawa pelbagai bentuk propaganda.  

Kreativiti dalam media sosial menjulang tinggi.

Pelbagai genre digunakan melalui pelantar ini. 

Ada lagu, ada syarahan, slogan, filem pendek, maki hamun dan ada semua bentuk hasutan dan tohmahan muncul di pelbagai pelantar.

Ada propaganda bijak, menarik, parodi, yang kasar tetapi hakikatnya internet sedang memainkan peranan yang amat penting dalam berkempen.

RTM, TV3, Utusan Malaysia dan media yang sewaktu dengannya boleh tutup kedai. 

Hanya yang tak ada pilihan sahaja yang menonton RTM atau TV3. 

Dala bahasa anak muda mereka yang masih menonton RTM ini adalah generasi Mat Poyo. 

Pengaruh media sosial ini diakui oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. 

Ceramah DAP di tanjung tidak ramai yang hadir. 

Maka menurut pemimpin DAP ini banyak kempen dijalankan secara dalam talian.

Wajib diakui bahawa perang siber PRN 2023 kali ini dimenangi oleh PN.  

Pejuang siber PN tidak semuanya diupah.

Mereka berperang untuk menumpaskan musuh mereka.

Justeru tanpa duit upah mereka terus berkarya menyerang. 

Jangan sesekali dilupakan bahawa PRN kali ini juga memunculkan wira baru. 

Ini wira Melayu-Islam. 

Satu ketika dulu PAS ada ayam sabung bernama Mohamad Sabu. 

Kali ini PN ada Muhammad Sanusi Md Nor.

Heboh. Heboh. PRN kali ini didominasi oleh Sanusi. 

Sanusi yang juga menteri besar Kedah bergelawak dengan Anwar. 

Bertikam lidah dengan Saifuddin Nasution Ismail yang juga menteri dalam negeri. 

Sanusi dituduh mencuri, ditangkap polis, hina Sultan Selangor dan tuduh Anwar tidak bermoral.  

Hasilnya Sanusi dinobatkan sebagai Wira Melayu.

Anak-anak muda, Mat Rempit dan Mat Grab melihat Sanusi ini “cool”.

Sikap anak muda ialah menentang yang wujud. 

Melawan yang berkuasa, dari konteks sikap kemudaan ini Sanusi dilihat “cool”. 

Anwar dan Saifuddin dilihat poyo.

Anak muda melihat Sanusi dengan bahasa yang agak kasar sebagai sosok punk “counter culture”.

Kalau Johnny Rotten dan Sid Vicious menibai Baginda Queen, Sanusi pula menibai Saifuddin, menteri dalam negeri.

Malah paling tenang dari mulut Sanusi ialah bila dia menyebut nama Saifuddin sebagai Pudin.

Kata-kata dan lawak jenaka Sanusi menyengat dan menular mengepung anak muda untuk masuk ke perangkap PN.

Paling bijak lagi ikonik ialah bagaimana Sanusi dengan cekap mengangkat tangan ketika keluar dari mahkamah kerana tuduhan menghina Sultan Selangor.

Angkat tangan Sanusi ini sama seperti Anwar mengangkat tangan ketika keluar dari mahkamah atas tuduhan meliwat Azizan pada tahun 1998.

Tidak dapat tidak, Sanusi ini bijak berfikir walau pun mulut agak kasar dengan menggunakan bahasa rakyat Kedah biasa.

Satelah mustaid apakah yang kita rumuskan.

Pada hemat saya jika PN, berjaya memenangi satu lagi negeri – Selangor atau Negeri Sembilan, ini akan membuktikan bahawa Melayu tidak menyokong PHBN.

Jika ini berlaku maka saya timbulkan persoalan: apakah pengundi benci pada Anwar, Zahid atau DAP.

Justeru mereka memilih Hadi dan Muhyidin Yassin.

Jika Selangor dan Negeri Sembilan jatuh ke tangan PN bermakna dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) satu pertempuran yang maha hebat akan berlaku. 

Agenda Melayu-Islam akan menjadi kemudi negara kita.

Saya tidak berupaya untuk membuat apa-apa ramalan terperinci akan keputusan PRN kali ini. 

Pada hemat saya para penyokong PH akan merasa selesa jika status quo kembali muncul.

Kedah, Terengganu dan Kelantan di bawah PN. Yang tiga lagi di bawah PH.

Mungkin dalam status quo ini ada banyak kerusi PH tercabut tapi masih berjaya menubuhkan kerajaan.

Jangan runtuh bocor boleh diterima.

Selamat mengundi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.