Saya pernah tulis artikel bagaimana DAP memperkudakan personaliti Melayu dan kini parti-parti Melayu di Utusan beberapa tahun dahulu.
DAP ketagih undi Melayu dan akan bertindak mengikut kesempatan politik yang ada tanpa mengira moral prinsip politik yang mereka janjikan pada penyokong-penyokong mereka.
Mereka mengamalkan prinsip Machiavelli “the end justifies the means”.
Malangnya falsafah Machiavelli bersyarat yakni perlu ada justifikasi moral dalam cara mencapai matlamatnya.
Namun justifikasi DAP adalah demi mendapat kuasa dan lebih kuasa semata-mata. Segala moral, prinsip dan janji-janji mereka sanggup ketepikan demi untuk mengaut kuasa dan pengaruh.
Prinsip dan janji-janji mereka adalah permainan politik semata-mata dan akhirnya mereka berjaya menjadi parti terbesar dalam gabungan parti kerajaan.
Janji mereka untuk menangkis rasuah, menjadikan Bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa rasmi yang boleh digunakan dalam persidangan di Dewan Negeri dan Parlimen, pilihan raya di tahap kerajaan tempatan, pengiktirafan UEC, penghapusan kuota Bumiputera dan sebagainya adalah janji-janji kosong yang merupakan permainan politik sahaja.
Sememangnya DAP berjaya tetapi mainan isu-isu 3R ini meninggalkan implikasi dan impak negatif di peringkat akar-umbi yang rata-rata tidak boleh telan bulat-bulat mainan politik DAP atas dasar “the end justifies the means”.
Hari ini DAP berjaya tokok tambah undi Melayu mereka tetapi Umno jelas kehilangan sokongan mereka dan tewas teruk dalam PRN ini.
Maka ahli MKT Umno, Isham Jalil menyuarakan suara hati akar-umbi seperti berikut:
“Umno kalah lagi semalam. Kali ini kalah teruk, hanya menang 19 kerusi dari 108. Kita menang satu di Kelantan, dua di Pulau Pinang, dua di Selangor, dan 14 di Negeri Sembilan. Di 89 kerusi lain semua kita kalah.
“Kita perlu berbuat sesuatu. Jika tidak Umno akan terus kalah dan akan pupus terus menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Saya dan akar umbi berusaha sedaya upaya di bawah. Kini kepimpinan perlu membuat pertimbangan semula dan membuat keputusan.”
Kenyataan di atas jelas menunjukkan asas perpaduan yang kukuh masih tidak wujud selagi DAP tidak menunjukkan keikhlasan bertaubat. Walaupun pemimpin atasan boleh menjadi “kawan” dari “lawan” , akar umbi masih tebal dengan prasangka dan syak-wasangka terhadap mainan politik dan polemik DAP selama 60 tahun yang lalu.
Kalau dahulunya DAP menjadikan Umno dan pemimpin mereka Dr Mahathir Mohamad, Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi sebagai sasaran untuk menanam kebencian terhadap parti Umno dan sekutunya MCA dan MIC, hari ini DAP mengalih sasaran ini pada rakan lama mereka iaitu PAS dan Presidennya Hadi Awang.
DAP bagaikan kacang lupakan kulit. Mereka lupa siapa yang memberi mereka suntikan sokongan massa Melayu pada dekad-dekad yang lalu.
Tanpa sokongan PAS, DAP tidak akan berjaya menarik sokongan pengundi Melayu dan penganjuran himpunan raksasa mereka.
Tanpa sokongan tokoh-tokoh politik Melayu, ramai Cina tetap segan-silu untuk ke hadapan menyokong DAP.
Maka hari ini setelah berpuluh-puluh tahun memporak-perandakan negara dengan politik dan polemik perkauman, DAP mulalah meminta orang ramai untuk bersatu-padu dan memupuk perpaduan dan keharmonian. Ini sebenarnya adalah skrip MCA yang dicuri DAP hari ini.
MCA dikritik dan dikutuk DAP dalam tempoh 60 tahun yang lalu dengan tuduhan kononnya MCA menggadaikan maruah dan kepentingan masyarakat Cina dan menjadi “anjing” dan “suruhan Umno” walaupun MCA berkali-kali menjelaskan bahawasanya kompromi dan kontrak sosial ini adalah demi keharmonian dan perpaduan negara.
Pada masa itu DAP mengadudombakan penyokong Umno dan MCA dengan membangkitkan isu kuota Bumiputera dan kesamarataan atas landasan “Malaysian Malaysia”.
Hari ini semua ini sudah berlalu tetapi ia tetap sejarah dan latar belakang politik negara yang perlu dibicarakan demi memupuk kematangan politik negara supaya sejarah dijadikan ajaran kita.
Maka demi menjernihkan kekeruhan dan ketegangan perkauman akibat politik mereka selama 60 tahun ini, saya telah dan tetap menyeru pada DAP untuk bertaubat dan berani membuat keputusan seperti di bawah ini :
1. Memadamkan semua kenyataan dan deklarasi mereka yang berbau perkauman dalam laman rasmi DAP.
2. Menarik balik tuntutan mereka yang berbau perkauman dan telah menimbulkan kesangsian umum.
3. Berhenti memomokkan tokoh atau parti politik berlandaskan sentimen perkauman atau keagamaan.
Ti Lian Ker ialah naib presiden MCA.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.