- Iklan -
Rencana

Hanya orang bodoh tak sedar tema sambutan kemerdekaan berbaur politik

Tema dan logo pilihan kerajaan sarat dengan ideologi parti politiknya, menginginkan rakyat menerima perjuangan dan harapannya.

Khairuddin Othman
3 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya, 27 Februari. Gambar: Bernama
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Forum Antarabangsa: Pendekatan Madani Mendepani Cabaran Islamofobia di Putrajaya, 27 Februari. Gambar: Bernama

Rakyat yang melihat isu pilihan tema dan logo Hari Kebangsaan 2023 yang dilahirkan oleh kerajaan gabungan Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) adalah kebudakan. Kesilapannya adalah dari kerajaan sendiri.  

Mengapa mesti dipolitikkan tema dan logo Hari Kebangsaan yang harus disambut oleh semua rakyat dari berbagai kaum dan kepercayaan?  

Apabila kerajaan memilih tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, ia menginginkan rakyat menerima Malaysia Madani sebagai ideologi yang boleh membawa perpaduan dan memenuhi harapan.  

Masalahnya, hanya orang bodoh sahaja tidak nampak bahawa Malaysia Madani adalah rangka kerja dasar dan slogan parti politik kerajaan PH-BN. Lebih teruk lagi apabila ada perkataan “penuhi harapan”.

Adakah ini ajakan supaya rakyat penuhi harapan PH-BN?

Persoalannya, mengapa bentuk tema dan logo yang ketengahkan ideologi dan slogan PH-BN? Tentunya ini akan melahirkan kesangsian di kalangan rakyat mengenai keikhlasan PH-BN menanam semangat patriotisme dan keharmonian dalam negara berbilang kaum, budaya dan agama.

Oleh itu, tidak hairan apabila Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari dilaporkan berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran gabungan itu mungkin menggunakan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza, iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya.  

Apa yang berlaku sekarang ialah, seperti PH-BN, PN juga inginkan tema Hari Kebangsaan disangkutkan dengan ideologi Muafakat Nasional (kerjasama PN dan PAS) dan logo parti politik Bersatu bunga raya juga dijadikan elemen dalam logo Hari Kebangsaan.

Peribahasa Melayu ialah memulangkan paku buah keras: menempelak PH-BN dengan membangkitkan kembali perkara yang sama.

Oleh itu, dakwaan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi bahawa ia tidak patut dipolitikkan sukar diterima.  

Begitu juga dengan ungkapan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim bahawa PN tidak seharusnya mengeluarkan tema dan logo Hari Kebangsaan berbeza kerana ia sambutan yang melibatkan seluruh negara, perpaduan dan kenegaraan.

“Ia tidak berkaitan dengan kepercayaan atau ideologi politik,” tambahnya seperti dilaporkan Bernama semalam.

Begitu juga kecaman Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan kononnya ia tidak pernah berlaku sebelum ini dan kepimpinan PN seharusnya mempunyai hati besar menerima tema dan logo PH-BN itu.

Lebih hebat lagi apabila retorik yang sukar difahami ialah dari Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang yang mendakwa sebarang cadangan menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza merupakan salah satu daripada defisit sosial yang dikenal pasti mampu menjejaskan perpaduan.

Menurutnya, tema dan logo PH-BN yang dilancarkan pada 27 Mei lalu membawa maksud semangat perpaduan dan patriotisme yang tinggi, serta membenihkan rasa cinta yang mendalam kepada negara.

Sambutan Hari Kebangsaan adalah suatu perayaan bersifat nasional. Logo dan tema yang ditetapkan menjadi lambang kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia, tambahnya.

Masalah dengan semua dakwaan ini ialah tema dan logo Hari Kebangsaan PN “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo melambangkan bunga raya juga boleh dipertahankan sebagai membawa perpaduan dan semangat patriotisme tinggi. Oleh itu, bolehkah kepimpinan PH-BN secara hati besar menerima tema dan logo PN itu?

Inilah masalah pemimpin-pemimpin PH-BN yang pernah dikatakan mempunyai ramai “pakar penasihat”.  Namun, dari apa yang rakyat melihat kebanyakan hala tuju kerajaan kabur dan penuh retorik dengan kata-kata samar dan tidak konkrit.

Oleh itu, jika kerajaan PH-BN benar seperti dikatakan oleh Aaron bahawa Hari Kebangsaan berkait rapat dengan semangat kerjasama, toleransi dan hubungan baik antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, yang perlu ditangani secara berhemah, tukarlah tema dan logo kepada yang tidak memihak kepada mana-mana parti politik.

Khairuddin Othman ialah bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.