Dalam tulisan ini saya memperkenalkan konsep Abata: Agama, bangsa dan tanah air.
Saya juga memperkenalkan konsep RAB: Raja, agama dan bangsa.
RAB muncul kerana saya menolak istilah 3R: Royalty, race and religion.
RAB ialah raja, agama dan bangsa.
Istilah Melayu ini lebih tepat makna dari singkatan kata.
Manakala 3R adalah kata singkat untuk mengingatkan pembelajaran di zaman penjajah.
Di zaman penjajah yang diajar hanya 3R: Reading, writing and arithmetic.
Kesedaran dan pencerahan politik yang teratur hanya sampai kepada saya sesudah Inggeris meninggalkan Tanah Melayu.
Di zaman Inggeris saya hanya merasa tempias perlawanan para nasionalis yang bangun melawan.
Tempias ini pun hanya saya dengar dari cerita-cerita mulut.
Tahun 1998 di zaman gerakan reformasi, ketika Anwar Ibrahim dalam penjara, ada saya terdengar cerita-cerita mulut dari sosok yang lebih berpengalaman bagaimana suasana reformasi ketika itu disamakan seperti zaman melawan Inggeris.
Ini kerana ketika ceramah reformasi berjalan ada makcik memberi gelang tangan, ada minah memberi cincin dan ramai abang dan adik menghulur duit untuk menyokong gerakan reformasi.
Mengikut surah, suasana ini sama seperti yang pernah berlaku ketika Burhanudin Helmy, Pak Sako atau Ahmad Boestamam mengadakan kempen ceramah nasionalis melawan Inggeris.
Tahun 2022 berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selepas PRU15 ada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri.
Pada hemat saya dari dua babak ini, muncul satu lagi suasana. Tapi suasana ini bukan suasana melawan Inggeris. Juga bukan suasana Reformasi.
Saya mentakrifkan suasana ini sebagai suasana Kesedaran Melayu.
Kesedaran Melayu ini muncul kerana ada hukum dan syarat yang membawa kepada kelahirannya.
Syarat utama yang melahirkan suasana politik ini ialah nazaknya parti United Malays National Organisation (Umno).
Manifestasi dari kenazakan ini ialah masuknya Najib Razak ke dalam penjara.
Pemenjaraan bekas presiden Umno ini membuktikan bahawa parti ini sedang nazak.
Hegemoni dan kekuatan parti Ketuanan Melayu ini Sudan lama terhakis semenjak PRU12 lagi.
Perpecahan demi perpecahan surah lebih awal berlaku.
Pada tahun 1988, Semangat 46 ditubuhkan dan pada 1998, penyingkiran Anwar adalah antara sebab musabab yang menazakkan Umno.
Barah rasuah dan salah guna kuasa menjadi pemangkin yang akan membawa batu nisan kepada parti yang “claimed” sebagai parti keramat untuk orang Melayu.
Inilah latar belakang yang mewujudkan Kesedaran Melayu.
Inilah suasana yang memunculkan apa yang saya panggil Abata.
Apa makhluk Abata ini?
Saya mentakrifkan Abata sebagai sesiapa sahaja yang menganut mazhab, agama bangsa dan tanah air.
Agama itu Islam. Bangsa itu Melayu. Tanah air itu Tanah Melayu.
Abata ini eksklusif untuk Melayu. Melayu darah keturunan Keling (DKK) darah keturunan Arab (DKA) atau para mualaf atau kumpulan geng Bin Abdullah ditolak daripada mazhab Abata.
Hanya Melayu dari Nusantara yang boleh menghayati mazhab Abata.
Tidak wujud Abata Celup atau Abata Sampingan.
Ini kerana kunci Abata ialah budaya Melayu. Rukun induk Abata ialah Kemelayuan.
Kemelayuan itu bermakna budaya Melayu.
Islam Abata ialah Islam Melayu. Ini membezakan dengan Islam Arab.
Islam Abata bukan Islam Arab. Abata tidak meminati Islam jenis Taliban.
Dalam kata mudah Islam ini Islam budaya Melayu. Islam genre Nusantara.
Wajib diakui bahawa Melayu juga bukan monolitik. Melayu juga terbagi-bagi.
Tetapi majoriti Melayu tergolong ke dalam mazhab Abata.
Salah satu watak Abata ialah mereka tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Ini bukan bermakna mereka tidak memiliki kesedaran politik. Jangan salah baca.
Mereka mengikuti perkembangan politik. Mereka tahu apa yang sedang berlaku. Abata menjadi pemerhati politik yang peka.
Abata menjadi pemerhati yang teliti. Mereka melihat tingkah laku semua parti politik.
Pemerhatian rapi terhadap parti politik Melayu, Umno, PAS, Bersatu, PKR atau Amanah.
Abata memerhati juga parti-parti Cina dan India. Abata memerhati tingkah laku MCA, MIC atau DAP.
Satu ciri penting dalam mazhab Abata pada ketika ini mereka curiga dan tidak percaya kepada parti yang bukan parti Melayu.
Paling jelas pada tahun 2023 mazhab Abata melihat parti DAP sebagai virus yang wajib dijauhi dan malah melihat DAP sebagai musuh.
Dalam PRU15 Abata berbondong-bondong meninggalkan Umno.
Satu ketika dahulu Abata memberi sokongan padu kepada parti yang “claimed” sebagai parti Ketuanan Melayu.
Kini tidak lagi. Abata hilang keyakinan terhadap Umno.
Abata melihat tipu belit dan kong kali kong pemimpin parti ini cukup menjelikkan.
Satu ketika dahulu di zaman DAP masih belum berkuasa Abata tidak merasa gentar dengan parti ini.
Parti DAP dilihat setaraf dengan MIC atau MCA.
Parti politik bukan Melayu yang tidak mengancam Melayu.
Sikap ini beralih apabila DAP mula menguasai Pulau Pinang.
Sikap benci DAP kini beralih lagi.
Abata kini melihat DAP sesudah PRU15 dan PRN 6 negeri sebagai musuh.
Dari hitungan angka dan jumlah wakil rakyat DAP dalam kerajaan Madani atau dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor atau DUN Pulau Pinang jelas menunjukkan bahawa DAP kini amat berkuasa.
Abata merasa kuasa politik Melayu terhapus.
Pada bacaan Abata "taiko" politik Tanah Melayu kini dimiliki oleh DAP.
Ucapan-ucapan lucah dan jahat dari P Ramasamy, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng atau dari Nga Kor Ming meyakinkan Abata bahawa agenda Lee Kuan Yew yang mahu Tanah Melayu menjadi Malaysian Malaysia ini masih berjalan.
Nama Melayu dan jati diri Melayu itu wajib dilupuskan.
Cara terbaik seperti cara Inggeris ialah mengubah nama Tanah Melayu menjadi Malaya.
Abata membaca dengan jelas Malaysian Malaysia adalah agenda jahat sama seperti mengubah nama Kampung Pantai Dalam dan Kampung Kerinchi sebagai Bangsar South.
Abata melihat dan mentafsir bahawa projek Malaysian Malaysia ini mahu menghapuskan Islam, Melayu dan Tanah Melayu.
Justeru Kesedaran Melayu Abata mula mengampuh melimpah dan membanjiri ruang yang satu ketika dulu di bawah kuasa hegemoni Umno.
Apa buktinya Abata mengampuh?
Secara ilmiah kita buktikan dengan jumlah kerusi yang di menangi oleh Perikatan Nasional dalam PRU15 dan PRN 6 negeri.
Kemenangan ini ialah kerana Abata mengalih sokongan.
Satu lagi bukti ialah kemunculan ramai kelas inteligensia Melayu yang secara terbuka mengkritik, memberi komen dan kadang kala memperlekeh Ketuanan Melayu.
Inteligensia Melayu ini menjadi pembuat pandangan, penyalur idea dan penggerak fikrah.
Kelas inteligensia Melayu sebelum ini dipayung dan mencari makan dari tapak tangan Umno.
Kini kuasa dan hegemoni atau mungkin keupayaan memberi makan juga sudah berkurangan.
Maka kelas ini sudah berani melawan tauke.
Hegemoni dan kuasa Umno sudah pecah dan terbarai.
Inteligensia Melayu berbondong-bondong meninggalkan Umno.
Rata-rata dalam media sosial, dalam portal berita yang bukan milik Madani atau yang tidak dikawal oleh jentera Madani, kita boleh membaca, menonton atau mendengar pandangan daripada kelas inteligensia Melayu.
Dari pengamatan saya semua ini hanya berlaku sesudah PRU15 dan sesudah PRN 6 negeri.
Kelas inteligensia Melayu ini amat jelas menganuti mazhab Abata.
Justeru dari suasana Kesedaran Melayu ini, muncul larangan RAB, raja agama dan bangsa.
Larangan ini menggunakan kuasa dan aparatus daulah.
Polis dan mahkamah digunakan untuk membendung ombak Abata.
Mari kita kembali melihat sejarah.
Pada tahun 1948 dahulu kuasa penjajah Inggeris memperkenalkan Akta Hasutan.
Tujuan Akta Hasutan 1948 ialah untuk membendung, melarang dan menangkap para nasionalis dari berjaya menyebarkan pencerahan kepada orang Melayu.
Orang Melayu pada ketika itu sedang dihasut oleh Boestamam, Pak Sako dan kawan-kawan untuk bangun melawan penjajah Inggeris.
Saya tidak harian dalam masa terdekat Kerajaan Madani ini akan menggubal satu akta baru, Akta RAB 2023.
Larangan dan kekangan untuk bercakap tentang raja, agama dan bangsa ini betul-betul menusuk ke jantung Abata.
Bezanya Abata tidak menyebut raja, memadai dengan konsep tanah air.
Tangkapan, siasatan dan amaran tentang larangan RAB saban hari kita baca dalam media.
Semua dituju kepada penyokong Abata.
Bercakap hal Melayu salah, bercakap hal Islam salah, bercakap hal raja salah.
Larang, tangkap, cekau dan penjara kini dihadapi oleh Abata.
Apakah ini dapat menumpas Kesedaran Melayu?
Apakah ini akan memandulkan Abata?