- Iklan -
Rencana

Ayuh rakyat Malaysia bersatu tenaga lonjak daya saing demi umat dan negara

Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk kita mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

Mohamed Azmin Ali
1 minit bacaan
Kongsi

31 Ogos mengingatkan kita kepada perjuangan untuk menebus maruah tanah air yang diinjak-injak oleh kerakusan kuasa penjajah. 

Justeru itu, perjuangan suci ini sewajarnya menjadi inspirasi kepada anak watan dan putera-puteri Malaysia untuk bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan kemakmuran rakyat.

Masa berlalu dan negara berdepan dengan pelbagai cabaran baru. 

Kita berdepan dengan pembela nilai budaya asing yang bersekongkol dengan kedurjanaan dan meruntuhkan tamadun umat. 

Kita juga berdepan dengan kakistokrasi yang gagal mengisi kemerdekaan dengan prinsip perjuangan yang luhur dan ikhlas, tenggelam dan lemas dengan kekuasaan dan kebesaran, acap berkata tidak dikota, ekonomi punah rakyat gelisah, akibatnya gelombang rakyat memuncak, menuntut dimerdekakan dari tangan-tangan perosak.

Maka, marilah kita rakyat Malaysia, bersatu hati dan bersatu tenaga, membingkai muafakat demi umat dan negara. 

Hari Kemerdekaan pada tahun ini adalah detik untuk kita mencipta sejarah dengan menggilap semangat moral yang jitu demi Malaysia yang gagah dan bersatu.

Kita tumpu agenda prihatin rakyat dengan memacu pertumbuhan ekonomi lestari, melonjak kehebatan daya saing Malaysia di peringkat rantau dan global, mempercepatkan pelaksanaan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan menjamin masa depan yang harmoni untuk rakyat Malaysia. 

Mohamed Azmin Ali ialah ketua penerangan Perikatan Nasional.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.