- Iklan -
Rencana

DAP mahu Umno mati

Keberadaan Umno dalam kerajaan campuran tidak mampu pertahankan hak Melayu, hanya sekadar jadi pasu bunga saja.

Marzuki Mohamad
2 minit bacaan
Kongsi

Pada 30 Ogos 2023 ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed membuat kenyataan DAP mesti gugurkan agenda "Malaysian Malaysia" dan negara sekularnya untuk mengembalikan sokongan Melayu kepada Umno. 

Bagi Nur Jazlan inilah masalah besar yang dihadapi oleh Umno sekarang. Orang Melayu tolak Umno kerana mereka tidak suka DAP. 

Mungkin ini jugalah masalah yang difikirkan oleh orang-orang Umno yang lain. 

Pada hari yang sama, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer dari DAP berkata Nur Jazlan salah faham dan beri bayangan tidak ada masalah dengan dasar perjuangan 'Malaysian Malaysia" dan negara sekular DAP.

Yang bermasalah ialah Nur Jazlan kerana tidak faham perjuangan DAP. 

Tiga hari kemudian, iaitu pada 2 September 2023, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata DAP tidak akan menggugurkan dasar "Malaysian Malaysia" dan negara sekular yang menjadi teras perjuangan partinya. 

Mana mahunya, dasar itulah yang membolehkan DAP mendapat 98% sokongan kaum Cina. DAP parti Cina. 

Pada hari yang sama, Presiden Umno Ahmad Zahidi Hamidi, berkata apa yang diperkatakan oleh Nur Jazlan itu adalah pandangan peribadinya. Bukan pendirian parti.

Habis cerita. Tutup buku. 

Apa rumusan yang boleh kita buat daripada episod ini?

Dalam masa tiga hari saja Umno kalah dengan DAP dalam perkara dasar yang menjadi pegangan sejak parti itu ditubuhkan pada tahun 1946. 

Ingat, Umno tertubuh kerana perjuangan orang Melayu menentang dasar penjajah British yang mahu menyamaratakan hak semua penduduk di Tanah Melayu, namun "Malaysian Malaysia" adalah penerusan dasar penjajah. 

Zahid yang juga presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) tunduk kepada Loke. 

Keberadaan Umno dalam kerajaan tidak mampu untuk pertahankan hak Melayu. Sekadar jadi pasu bunga saja. Timbalan perdana menteri kalah dengan menteri pengangkutan. 

Yang paling jelas, DAP tidak peduli Umno hilang sokongan Melayu.

Tiada gunanya Umno jadi parti Melayu tapi tidak dapat sokongan Melayu. 

Umno akan mati dan DAP tak peduli jika Umno mati.

DAP hanya perlukan Umno pada masa ini sahaja untuk cukupkan majoriti dua pertiga kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Dengan itu DAP boleh merealisasikan impian mereka untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah kerusi-kerusi yang didominasi oleh DAP dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). 

Apabila ini berlaku, DAP tidak perlukan Ummo lagi.

Biarlah Umno mati.

Malah bagi DAP lebih baik Umno mati saja kerana itulah kehendak perjuangan DAP dari awal lagi.

Marzuki Mohamad adalah bekas ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri ke-8, Muhyiddin Yassin.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi