- Iklan -
Kolum

Menghargai, mempertahankan integriti wilayah negara

Rakyat tidak akan redha satu inci pun wilayah negara diambil oleh negara lain.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sambutan Hari Kemerdekaan baru saja berlalu pada Khamis lepas dan seperti biasa perarakan yang melibatkan aset angkatan tentera diadakan. 

Seperti tahun-tahun lalu, permulaan perarakan diadakan dengan perbarisan tentera, dan juga diakhiri dengan kawad yang mana upacara tentera itu tidak berubah sejak tahun 1957.

Sememangnya upacara-upacara ketenteraan negara ini adalah merupakan legasi kolonial British yang kemudian diubah dari masa ke masa. 

Seperti mana negara-negara moden lain, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan tonggak mempertahankan integriti wilayah negara.

ATM walaupun berada di bawah Kementerian Pertahanan, ia berkait rapat dengan institusi raja-raja negara. 

Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi ATM.  Maka Seri Paduka Baginda mengenakan pakaian seragam ATM semasa sambutan hari ulang tahun kemerdekaan negara.

Sejarah ATM dikira bermula dari tahun 1933 dengan penubuhan rejimen Askar Melayu Diraja, maknanya ketika Malaya berada di bawah pentadbiran kolonial British. 

Walaupun berada dalam pentadbiran kolonial, negeri-negeri Melayu bukannya tanah-tanah jajahan atau koloni British. 

Kedaulatan masih berada pada raja-raja Melayu, mereka adalah negeri-negeri naungan atau “protectorate”. 

Tetapi Singapura, Melaka dan Pulau Pinang sememangnya tanah jajahan bertaraf penempatan atau “settlement”.

Tetapi British tetap “de facto” penjajah kerana mereka mempunyai kuasa dalam segala perkara kecuali hal ehwal agama dan adat istiadat di negeri-negeri Melayu melalui jawatan residen dan penasihat yang dipaksakan ke atas raja-raja. 

Negeri-negeri Melayu tidak mempunyai tentera untuk melawan British.  Hulubalang-hulubalang sedia ada tidak cukup tersusun dan bersistem untuk mampu melawan British. 

Itupun Johor pada tahun 1886 iaitu ketika belum menerima penasihat British telah menubuhkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor. 

Namun Johor juga sedar bahawa mereka tidak mampu menghalang kemaraan kolonialisme British.

Pentadbir kolonial British melakukan kerja ukur-mengukur negeri-negeri Melayu serta menetapkan sempadan antaranya. Segala perselisihan sempadan juga diselesaikan. 

Bagi mengukuhkan pentadbirannya serta mengukuhkan integriti wilayah negeri-negeri, dengan persetujuan Raja-raja Melayu, Federated Malay States (FMS) atau Negeri-negeri Melayu Bersekutu ditubuhkan pada tahun 1895.

Entiti FMS merupakan asas integriti wilayah bagi negara ini.

Daripadanya British Malaya diwujudkan dengan gabungan FMS, Unfederated Malay States dan Straits Settlement. 

Daripada British Malaya, ditubuhkan Malayan Union pada tahun 1946, Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 dan selanjutnya Malaysia pada tahun 1963.

Integriti wilayah British Malaya ini bergantung kepada penetapan sempadan antara Malaya dan Siam serta Hindia Timur. 

Maka oleh itu perjanjian Inggeris-Siam menentukan sempadan Kedah, Perlis dan Kelantan. 

Begitu juga perjanjian Inggeris dengan Belanda yang menentukan sempadan antara Malaya dan Singapura dengan Sumatera. 

Perbatasan  antara Johor dengan Singapura juga penting ditetapkan sejak awal lagi, kerana akhirnya pada tahun 1965, ia menjadi sempadan antarabangsa apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia.

Penubuhan Malaysia memperlihatkan betapa pentingnya integriti wilayah dijelaskan pada zaman kolonial. 

Apa yang British rundingkan dengan Belanda menetapkan sempadan antara Sarawak dan Borneo Utara dengan Borneo Selatan milik Belanda. 

Sempadan Borneo Utara adalah mencabar kerana ia melibatkan pentadbir kolonial Sepanyol yang menguasai Filipina.

Perbatasan antara Sarawak dan Borneo Utara dengan Brunei juga perlu diselesaikan pada zaman dahulu kerana apabila akhirnya Brunei tidak jadi menyertai Malaysia, ia menjadi sempadan antarabangsa.

Bagi penetapan sempadan dengan mengukur keseluruhan tanah pada awalnya adalah mustahil. 

Seringkali sempadan ditetapkan berpandukan kepada sungai atau banjaran gunung. 

Lebih banyak ia dibuat di atas peta dan perundingan dilakukan berdasarkan pada peta. 

Maka Jabatan Ukur ditubuhkan pada tahun 1905 adalah antara pejabat kerajaan yang awal ditubuhkan. 

Kerja ukur dan pemetaan adalah asas kepada integriti wilayah negara. 

Dari masa ke masa, kerajaan menerbitkan peta untuk menghebahkan sempadan negara. Jika ada negara tidak bersetuju, ia akan buat bantahan.

Pun begitu, integriti wilayah tidak bermakna jika ia tidak dapat dipertahankan. 

Pada tahun 1900-an, pertahanan Malaya bergantung pada kekuatan British yang banyak menggunakan anggota tentera dalam kalangan kaum Punjab dari India dan Gurkha dari Nepal.

Pada masa itu, British tiada pesaing di Malaya. Belanda sudah terima untuk hanya mentadbir Hindia Timur. 

Perancis pun terima untuk hanya menguasai Indochina. Hanya Jernan yang boleh menjadi musuh British. 

Ia telah menguasai bahagian timur laut pulau Papua. Bahagian tenggara dikuasai oleh British dan bahagian timur adalah sebahagian dari Hindia Timur Belanda.

Apabila berlaku Perang Besar yang kemudian dikenali sebagai Petang Dunia Pertama dari tahun 1914 hingga 1918, pertempuran berlaku juga antara British dengan Jerman di laut berhampiran Pulau Pinang. 

Maknanya perang di Eropah boleh sampai ke Malaya. Dengan kekalahan Jerman, wilayah timur laut Papua jatuh ke dalam kekuasaan British.

Selepas itu, iaitu pada tahun 1920, raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu berasakan keperluan ditubuhkan satu pasukan tentera yang anggota-anggotanya terdiri daripada anak-anak tempatan. 

Maka lahirlah Askar Melayu Diraja. Ia menjadi angkatan tentera rasmi bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan terletak di bawah pemerintahan raja-raja Melayu.

Pihak British memberikan struktur, sistem dan latihan seperti tentera mereka di Port Dickson. 

Upacara oleh askar ini juga diadakan di Padang Kelab Selangor yang mana raja-raja Melayu turut menyaksikannya. 

Pasukan itu juga mengambil bahagian dalam upacara memperingati pejuang-pejuang Perang Besar di depan tugu yang terletak berhampiran stesen keretapi Kuala Lumpur.

Walaupun angin perang mula dirasakan di Eropah ekoran kemunculan Hitler dan Nazi di Jerman pada tahun 1933 dan Jepun pun sudah menguasai wilayah Manchuria di China, pihak tentera British tidak menganggap Malaya terancam sebagai ancaman. 

Mereka merasakan bahawa Jepun tidak cukup kekuatan untuk menakluk Malaya.

Apabila Jepun akhirnya menduduki Asia Tenggara, mereka merombak sempadan dengan menyerahkan negeri-negeri utara Malaya kepada Siam dan menyatukan negeri-negeri lain dengan Sumatera.

Selepas Jepun kalah, British menetapkan supaya sempadan lama dikembalikan. 

Negara baru Indonesia juga menetapkan bahawa mereka hanya mahu newarisi wilayah-wilayah yang dijajah oleh Belanda.

Tetapi Perang Dingin memaparkan ancaman China ke atas Malaya dan Sarawak. 

Bukannya mereka menyerang negara ini tetapi menyokong dan memberi bantuan kepada Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan Utara. 

Bagi melawan mereka, Malaya perlukan bantuan ketenteraan dari negara Komanwel khususnya India, Nepal, Australia dan New Zealand.

Penubuhan Malaysia adalah tindakan strategik yang berjaya untuk mengalahkan komunis. 

Walaupun kemudiannya Indonesia sudah tidak menjadi ancaman apabila Konfrontasi ditamatkan, Filipina tetap tidak memansuhkan tuntutannya ke atas Sabah. 

Tidak ada pemimpin politik mereka yang berani menamatkan tuntutan itu kerana rakyat Filipna tidak dapat akan dapat menerimanya.

Dengan ancaman dari pihak bersenjata Sulu, maka sempadan Sabah dan Filipina perlu sentiasa dipertahankan.

Namun ancaman paling besar bagi Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara ialah China. 

Ia terus bertindak menduduki kawasan-kawasan yang dianggapnya wilayah jereka di Laut China Selatan tanpa mengambil kira tuntutan bertindan dari negara-negara lain di Asia Tenggara.

Keadaan ini berlaku kerana ia mempunyai sejarahnya tersendiri.

Semua negara mempunyai hujah masing-masing terhadap wilayah yang dituntutnya. 

Malaysia mesti mempertahankan tuntutannya dan jangan sama sekali mengiktiraf tuntutan negara lain terutamanya China walaupun ia membina pulau dan mendudukinya dengan menggunakan kekuatan tentera.

Rakyat tidak akan redha satu inci pun wilayah negara diambil oleh negara lain. 

Tidak kiralah siapa yang menjadi perdana menteri, menteri luar dan menteri pertahanan; mereka kesti mempertahankan integriti wilayah negara baik secara tutur kata atau perbuatan. 

Sebarang kesilapan tutur kata boleh memberikan isyarat yang salah dalam dunia diplomasi.

Selain itu,tanggungjawab mempertahankan negara bukan saja terletak pada ahli-ahli politik tetapi semua rakyat yang bertanggung jawab dalam hal ini. 

Anggota angkatan tentera dan pegawai-pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) juga mempunyai tanggungjawab meningkatkan keupayaan masing-masing. 

Selain itu, ahli akademik dan para wartawan yang berada dalam bidang keselamatan dan pertahanan juga perlu memikul tanggungjawab untuk menjadi mata, telinga dan lidah dan bagi menyedarkan rakyat terhadap kepentingan integriti wilayah negara.