- Iklan -
Rencana

Kecelaruan 11 alasan Jabatan Peguam Negara dalam kes DNAA Zahid

Reaksi orang ramai terhadap keputusan itu adalah negatif dan menimbulkan pelbagai persoalan.

Khairuddin Othman
4 minit bacaan
Kongsi

Adalah dangkal bagi Ahli Majlis Tertinggi Umno Ahmad Maslan menyatakan Jabatan Peguam Negara tidak perlu menjelaskan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menghentikan perbicaraan dan melepaskan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tanpa membebaskannya atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram.  

Jabatan Peguam Negara memberikan 11 alasan atas tindakan itu, katanya.

Masalahnya, reaksi orang ramai terhadap keputusan itu adalah negatif dan menimbulkan pelbagai persoalan.  

Di bawah disenaraikan 11 alasan daripada pihak pendakwaan Jabatan Peguam Negara dalam tulisan condong seperti mana dilaporkan oleh media perdana. 

Di bawah setiap alasan adalah soalan-soalan yang memerlukan penjelasan dari Jabatan Peguam Negara.

Alasan pertama ini menyebut “setelah memanggil 15 saksi termasuk tertuduh sendiri, keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan pihak penyiasat”. 

Mengapa 15 saksi sementara fakta terkumpul menyatakan seramai 99 saksi sudah memberi keterangan dalam perbicaraan selama 53 hari itu?  

Siapa 15 saksi ini?  Mengapa keterangan saksi-saksi ini perlu diteliti oleh pihak pendakwaan dan pihak penyiasat sedangkan mereka telah disoal oleh pihak pendakwa dan disoal balas oleh pasukan pembelaan?

Zahid telah mengemukakan dua representasi kepada Jabatan Peguam Negara, masing-masing pada 8 Disember 2022 dan 25 Januari lalu.  

Tidakkah ini perkara biasa kerana semua tertuduh ingin membuat representasi bagi melahirkan keraguan dalam tuduhan atau kenyataan saksi?  

Juga, tidakkah alasan ini akan menjadi rujukan bagi mewajarkan representasi bagi kes-kes sama atau sejenis pada masa hadapan?

Ia akan menyukarkan pendakwaan pada masa hadapan. 

Lanjutan representasi-representasi tersebut, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 20 Januari, memaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara bahawa adalah penting untuk siasatan dengan lebih terperinci dilakukan. 

Jika ia penting, adakah ini satu jaminan setelah menjalankan siasatan lebih terperinci SPRM akan mengesyorkan tuduhan sama atau yang lebih berat kepada Jabatan Peguam Negara dan tertuduh diseret ke mahkamah semula?  

Atau mengesyorkan semua tuduhan digugurkan?  

Zahid sekali lagi mengemukakan empat lagi representasi yang membangkitkan isu dan bukti baharu, yang sudah semestinya memerlukan SPRM untuk menyiasat perkara-perkara berkenaan, pada 28 Februari dan 7 Mac lalu.  

Seperti representasi dahulu, orang ramai yang mengikuti kes ini ingin penjelasan apa isu dan bukti baharu itu?  

Adakah ia mempunyai hubung kait serius dengan kes tersebut yang memerlukan SPRM menyiasat beliau?

Adakah SPRM akan mengesyorkan tuduhan sama atau yang lebih berat kepada AGC dan tertuduh diseret ke mahkamah semula?

Surat representasi ini turut menyentuh isu siasatan dilakukan sebelum, semasa dan selepas Ahmad Zahid dituduh di mahkamah, maka ia dikatakan dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

Kenyataan ini sukar diterima kerana ia mencerminkan SPRM dan ACG tidak membuat siasatan dengan cermat, seakan ikut suka mereka sahaja.  

Mengapa sungguh carca-marba?  Adakah SPRM telah lupa ia pernah berkata ia profesional dan adil dan AGC hanya akan membawa kes ke mahkamah apabila ia mempunyai peluang untuk menang?  

Anehnya, hakim mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie (terdapat bukti dari pemerhatian pertama atau awal yang boleh mensabitkan) bagi semua tuduhan itu. Nampak tak kecelaruan alasan itu?

Perkara ini menyebabkan reputasi dan nama baik AGC selaku pihak pendakwaan dan SPRM selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua Jabatan ini merupakan institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu. 

Alasan ini pelik.  Kaca mata umum sebenarnya melihat SPRM dan Jabatan Peguam Negara diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu setelah pihak pendakwaan menghentikan perbicaraan dan melepas tertuduh tanpa membebaskannya.

Masakan agensi-agensi yang mempunyai penyiasat dan peguam hebat ini tidak boleh menduga reaksi kecaman dari cendekiawan dan peguam lain seperti bekas presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan, peguam dan bekas ketua pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya, bekas duta Dennis Ignatius, dan peguam Rafique Rashid. Belum dikira reaksi orang ramai lagi.

Bagi tidak menafikan hak Ahli Parlimen Bagan Datuk itu atau lebih penting, tiada salah laku di sisi undang-undang, pendakwaan percaya bahawa pertuduhan terhadap pengerusi Barisan Nasional (BN) perlu dihentikan buat masa ini.

Apa maksud tersirat dalam kenyataan “tiada salah laku di sisi undang-undang”?  

Jika tiada salah laku mengapa siasatan dilakukan, kertas siasatan dihantar ke Jabatan Peguam Negara, sebanyak 47 tuduhan dibentuk dan dibawa ke mahkamah?

Sepanjang 53 hari perbicaraan, 99 saksi dipanggil dan hakim membuat keputusan ada prima facie, baru sekarang Jabatan Peguam Negara sedar mungkin tiada salah laku di sisi undang-undang?

Mahkamah ambil maklum mengenai pengumuman jemaah menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness'.  

Ini mengenai pendedahan oleh Tommy, berkaitan pertuduhan dibuat terhadap individu-individu tertentu.

Adakah pertuduhan yang dibuat terhadap individu-individu tertentu itu khusus melibatkan tertuduh dalam kes ini?

Mengapa sekarang isu ini dibangkitkan sementara memoir itu ditulis beberapa tahun lalu?  Mengapa Jabatan Peguam Negara tidak ambil kira  isu ini ketika menyediakan tuduhan-tuduhan tersebut?

Pemimpin Umno ini turut membangkitkan isu yang amat serius iaitu beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim Kerajaan sebelum ini.

Peguam negara berpendapat, amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.

Sejak bila pula Jabatan Peguam Negara memberi prioriti pada dakwaan parti politik lebih penting dari melaksanakan keadilan?

Tidakkah semua parti politik akan bertindak sedemikian untuk melindung presiden mereka selagi perbicaraan belum tamat?

Adakah dalam kes “Bossku”, walau didapati bersalah, dipenjara, didenda, namun masih ada dakwaan dia mangsa pendakwaan terpilih, perlu disiasat semula?              

Selaras dengan penubuhan RCI, antaranya menyiasat dakwaan pelanggaran tanggungjawab profesional oleh pemegang-pemegang jawatan tertinggi dalam negara ini.

Apa sebenarnya alasan ini?  Ia tidak khusus?  Tidakkah tertuduh dalam kes ini yang memegang jawatan tertinggi dalam negara didakwa melanggar tanggungjawab.

profesional?  Mengapa tidak perbicaraan ini diteruskan sehingga akhir dan keputusannya dijadikan contoh dan rujukan dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) kelak?

Baru-baru ini, satu memo dalaman dikatakan dikeluarkan oleh AGC berkaitan kes yang sedang dibicarakan ini telah tular di media sosial.  AGC mengambil langkah untuk menentusahkan kandungan memo dalaman tersebut.

Apa kena-mengena memo tersebut dengan kes ini?  Betapa serius dan implikasinya pada kes ini?

Mengapa tuduhan-tuduhan – memo dari Jabatan Peguam Negara terlepas ke media sosial, isu siasatan secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap – tiba-tiba dipersoalkan?

Jika semudarat ini, elok sahaja satu RCI juga dilakukan ke atas SPRM dan Jabatan Peguam Negara?

Khairuddin Othman, bekas wartawan Berita Harian.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.