- Iklan -
Kolum

Keperluan mengukuhkan hubungan antara wilayah di Malaysia

Bagus manapun alasannya, mata wang berasingan bagi Sarawak adalah jelas bertentangan dengan semangat integrasi nasional.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Minggu depan, 16 September adalah Hari Malaysia yang merupakan sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan negara ini, suatu angka yang patut dibanggakan, kerana penyatuan Semenanjung, Sarawak dan Sabah mencapai enam dekad.

Walaupun Brunei tidak dapat ikut serta sebelum penumbuhannya lagi dan Singapura hanya bertahan selama setahun, sembilan bulan dan 24 hari, Malaysia terus hidup sebagai gabungan Malaya, Sarawak dan Sabah.

Ia merupakan kejayaan bagi rakyat negara ini mempertahankan keutuhan ikatan Malaya, Sarawak dan Sabah walaupun usaha integrasi ketiga-tiga wilayah itu tidak seperti apa yang diharapkan.

Terbaru ialah ada seorang ahli politik Sarawak yang membayangkan mata wang berasingan bagi wilayahnya daripada Ringgit Malaysia. 

Bagus manapun alasannya, mata wang berasingan bagi Sarawak adalah jelas bertentangan dengan semangat integrasi nasional. 

Mereka yang bersemangatkan integrasi Malaysia tidak akan membayangkan idea seumpama itu.

Namun begitu, di Sabah pula, keadaannya adalah berbeza. 

Lawatan rasmi Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke wilayah itu mendapat sambutan baik dalam kalangan penduduk.

Suasana itu menyumbang kepada semangat integrasi nasional. Perlu diingat bahawa kewujudan negara ini adalah berdasarkan pada dua konsep iaitu perpaduan dan integrasi nasional. 

Perpaduan nasional merujuk kepada hubungan antara kaum, asasnya ialah muhibah tiga kaum utama Malaya iaitu Melayu, Cina dan India. 

Dengan penubuhan Malaysia, ia diperluaskan kepada kaum-kaum Sarawak dan Sabah dengan Iban dan Kadazan menjadi simbol sebagai kaum utama dari sana.

Sementara konsep integrasi nasional ialah penyatuan wilayah Malaya, Sarawak dan Sabah. 

Untuk integrasi itu, pada asasnya, identiti Sarawak dan Sabah sebagai wilayah ditiadakan walaupun secara Perlembagaan berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963, ia tetap wujud. 

Maka Sarawak dan Sabah dianggap sebagai salah sebuah daripada 13 negeri Malaysia walaupun kedua-duanya mempunyai hak yang lebih banyak. 

Tetapi lebih penting ialah semangat integrasi nasional menghapuskan identiti Malaya atau Tanah Melayu. 

Kedua-dua istilah entiti politik itu tinggal dalam sejarah.  Malaya dan Singapura menjadi Malaysia Barat. 

Walaupun kedua-dua Sarawak dan Sarawak juga menjadi Malaysia Timur, tetapi identiti kedua-dua negeri kekal. 

Di Malaysia Barat, Singapura mengekalkan identitinya tetapi Malaya dan Tanah Melayu sudah tidak ada. 

Apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia, dan juga istilah Malaysia Barat dan Malaysia Timur dimansuhkan, maka ia digantikan dengan istilah Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Beberapa tahun kebelakangan ini timbul istilah Borneo Malaysia untuk merujuk pada Sabah dan Sarawak. 

Apabila disebut Borneo saja, ia merujuk pada keseluruhan pulau Borneo merangkumi juga Brunei dan Kalimantan. 

Ia sudah menjadi istilah pelancongan dan geografi tetapi bukannya politik. 

Namun ada kalangan yang gemar menggunakan istilah Sarawak Borneo dan Sabah Borneo dengan nada politik, dan bukannya Sarawak Malaysia dan Sabah Malaysia. 

Kalangan ini bersikap anti semangat integrasi Malaysia. Identiti yang asalnya Malaya dikembangkan menjadi Malaysia. 

Bahasa Kebangsaan yang pada mulanya dikenali sebagai bahasa Melayu diisytiharkan sebagai Bahasa Malaysia, walaupun pada tahun 1990-an, ia dikembalikan menjadi bahasa Melayu.

Lambang-lambang negara pula berasaskan simbol Malaya. 

Bendera kebangsaan diambil dari bendera Malaya dengan ditambah jalurnya. 

Begitu juga jata negara turut diambil dari simbol Malaya, hanya ditambah dengan lambang Singapura, Sabah dan Sarawak ketika penubuhannya. 

Ketiga-tiga wilayah itu dianggap negeri yang menyebabkan jalur bendera menjadi 14. 

Andai kata pada masa itu, Malaysia dianggap sebagai gabungan empat wilayah dan bukannya 14 negeri, maka bendera Malaysia seharusnya hanya ada empat jalur.

Lagu kebangsaan, Negaraku juga diambil dari lagu rasmi Malaya walaupun terdapat cadangan supaya lagu kebangsaan Malaysia dicipta baru. 

Cadangan lagu Malaysia Raya untuk dijadikan lagu kebangsaan negara ditolak. 

Hari Kebangsaan Malaysia yang juga dinamakan sebagai Hari Kemerdekaan diisytiharkan pada 31 Ogos yang asalnya merupakan Hari Kebangsaaan Malaya. 

Sarawak dan Sabah tiada kaitan dengan tarikh 31 Ogos 1957. 

Sarawak mencapai kemerdekaan pada 22 Julai 1963 dan Sabah pada 31 Ogos 1963.

Hanya berpuluh tahun kemudian, itupun atas desakan Sarawak, Hari Malaysia diisytiharkan cuti umum dan disambut pada setiap 16 September. 

Tarikh 22 Julai disambut sebagai Hari Sarawak. 

Bulan kemerdekaan pula diisytiharkan dari tarikh 17 Ogos sehingga 16 September.

Paling utama simbol integrasi nasional ialah apabila institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sahaja menjadi ketua negara Persekutuan Malaysia, dan bukan hanya bagi Persekutuan Tanah Melayu. 

Maka pada wang kertas ringgit  Malaysia, dipaparkan gambar potret Yang di-Pertuan Agong pertama Malaya iaitu Tuanku Abdul Rahman walaupun pada hakikatnya Yang di-Pertuan Agong ketiga, Tuanku Syed Putra adalah Yang di-Pertuan Agong pertama bagi Malaysia. 

Gerakan bagi merungkai integrasi nasional di Sarawak menjadi ketara apabila kerajaan di peringkat persekutuan menjadi lemah selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018.

Sebelumnya, Barisan Nasional (BN) mendominasi politik negara, dengan Umno sebagai sebuah parti Semenanjung pula mendominasi BN. 

Dalam BN Sarawak pula, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pula yang mendominasi. 

Banyak perkara mengenai hubungan negeri dengan persekutuan dibincangkan pada peringkat BN. 

Tetapi apabila perdana menteri yang juga pengerusi BN membuat keputusan, para pemimpin dalam gabungan itu hanya akur.

Namun apabila BN kalah PRU pada tahun 2018, tidak ada sebab untuk parti-parti Sarawak berada dalam gabungan itu kerana di Kuala Lumpur, yang berkuasa ialah Pakatan Harapan (PH). 

Parti-parti Sarawak meninggalkan BN dan menubuhkan kumpulan politiknya sendiri bernama Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Sejak itu, GPS yang turut memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun 2021, mendapati dirinya mempunyai kekuatan politik apabila berdepan dengan kerajaan persekutuan. 

Sejak itu, timbul tuntutan pelaksanaan MA63 dan membatalkan dasar-dasar yang tidak selaras dengan perjanjian itu.

Maka Sarawak mahukan supaya ia dianggap sebagai wilayah dan bukannya negeri seperti negeri-negeri lain di Semenanjung. 

Oleh itu jawatan ketua menteri Sarawak ditukar namanya kepada premier, maknanya kedudukannya lebih tinggi daripada menteri besar atau ketua menteri negeri-negeri di Semenanjung.

Keputusan PRU15 pada tahun 2022 meningkatkan lagi kedudukan GPS dalam hubungannya dengan kerajaan persekutuan. 

Ini kerana kerajaan PH-BN terpaksa menerima GPS sebagai anggota kerajaan persekutuan untuk kekuatan politik. 

Maka sesiapa saja menjadi kerajaan persekutuan, GPS akan tetap diberikan kedudukan dalam Kabinet.

Bagaimanapun, sentimen untuk keluar dari Malaysia sudah lama wujud sejak pada zaman BN dahulu. 

Ia terserlah semasa perarakan bagi menyambut Hari Sarawak. 

Ada sekumpulan anak-anak muda membawa bendera lama Sarawak sambil melaungkan slogan kemerdekaan atau pemisahan. 

Bendera lama Sarawak yang digunakan pada zaman Raja Brooke menjadi simbol Sarawak berada di luar Malaysia. 

Dalam PRN, terdapat parti-parti yang menuntut kemerdekaan Sarawak. Namun begitu, mereka kalah teruk. 

Nampaknya kebanyakan pengundi Sarawak terutamanya kaum Bumiputera berasa lebih selesa berada dalam Malaysia.

Cakap-cakap mengenai kemerdekaan atau pemisahan adalah sensitif dan provokatif. 

Ketika Sarawak berada dalam darurat akibat ancaman komunis dari tahun 1963 hingga 1990, mereka yang bercakap perkara-perkara seumpana itu pasti dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Itulah apa yang berlaku di Sabah apabila ada ahli politiknya yang bercakap mengenai perkara itu pada tahun 1980-an. 

Sentimen pemisahan dipercayai ada di Sabah dan Sarawak dalam kalangan anak-anak muda yang naif dan idealis. 

Mereka menggambarkan Sarawak dan Sabah akan lebih maju jika berada di luar Malaysia. 

Ada yang menyebut betapa Singapura dan Brunei lebih maju dan makmur berbanding Malaysia.  

Kedua-dua negara itu yang sepatutnya berada dalam Malaysia berjaya apabila berdiri sendiri.

Namun begitu, ia tidak mudah untuk melihat dari perspektif itu. 

Malaysia sendiri adalah suatu projek yang berjaya walaupun banyak kritikan yang dilemparkan. 

Negara ini sebenarnya adalah kecil dan jika Sarawak dan Sabah dipisahkan, ia bertambah kecil. 

Singapura dan Brunei maju daripada sudut sejarah tersendiri. 

Kedua-dua negara itu tiada pilihan lain. 

Dalam sejarahnya Brunei memilih untuk terus berada dalam pemerintahan British kerana ia terancam dengan gerakan kiri.

Singapura pula sebenarnya mahu terus berada dalam Malaysia tetapi dikeluarkan kerana cara itu adalah jalan terbaik untuk memelihara keharmonian kaum dalam Malaysia.

Maknanya, tidak ada sebab yang bermanfaat bagi Sarawak dan Sabah untuk keluar dari Malaysia. 

Komposisi kaum masing-mading juga menunjukkan keperluan mereka berada dalam Malaysia. 

Buat masa ini penduduk Semenannung tetap mahukan Sarawak dan Sabah berada dalam Malaysia. 

Lagipun Malaysia bukanlah projek penjajah oleh Semenanjung ke atas Sarawak dan Sabah. 

Pemimpin-pemimpin Sarawak dan Sabah sentiasa diwakili dalam Kabinet persekutuan tanpa mengira parti apa yang memerintah di peringkat persekutuan. 

Malah kini salah seorang daripada mereka menjadi timbalan perdana menteri.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.