- Iklan -
Kolum

Oligarki dan kuasa daulah

Janji dan manifesto hanya untuk menang PRU.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Minggu lalu tulisan saya penuh dengan ketawa. 

Ketawa ini lahir apabila saya membaca berita bagaimana kerajaan Madani pimpinan Anwar Ibrahim dipanggil sebagai kerajaan Madanon.

Mengapa Madanon saya tidak arif. Dari mana asal usul Madanon tidak pula saya diberi maklum.

Saya ketawa apabila ada politikus, YB parti pembangkang dan sosok badan bukan kerajaan (NGO) menuduh kerajaan Madani atau kerajaan Madanon ini sebagai kerajaan hipokrit.

Hipokrit ini berasal daripada bahasa asing. Untuk lebih jelas saya bertanya dengan “Lebai Google” akan maknanya.

Mengikut Lebai Google, takrifan hipokrit ialah: “(Orang yang) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dan lain-lain) baik, (orang yang) memperlihat keadaan diri yang berlainan daripada yang sebenarnya”.

Dalam tulisan yang kita bincangkan ini, terangkum orang dan juga kerajaan.  

Kerajaan dikendalikan oleh sistem yang tatakelolanya dikendalikan oleh orang.

Maka maknanya dalam istilah bahasa harian, kerajaan Madani ini kerajaan berpura-pura. 

Menteri dalam kerajaan ini berpura-pura. 

Kerajaan ini cakap lain buat lain. 

Dalam bahasa pop, kerajaan Madani cakap tak serupa bikin. 

Saya ketawakan sesiapa sahaja yang mengatakan kerajaan Madani ini hipokrit. 

Untuk saya semua kerajaan berperangai sama. 

Malah lebih menonjol lagi di negara Dunia Ketiga seperti Malaysia ini.

Mengapa di Malaysia menonjol?

Jawabnya, di Malaysia pameran kuasa itu lebih jelas untuk dilihat. 

Lantik anak jadi penasihat

Tidak ada berpura-pura. Tidak ada selindung di belakang tabir. 

Contohnya, Anwar lantik Nurul Izzah sebagai penasihat ekonomi menteri kewangan. 

Anwar adalah perdana menteri dan juga menteri kewangan.   

Nurul Izzah adalah anak kepada Anwar.  

Dengan jelas dilihat kuasa berjalan dengan terbuka tanpa segan silu.

Dalam kes pembebasan Ahmad Zahid Hamidi ianya heboh kerana semuanya boleh dibaca dengan jelas.  

Pertama, keberahian Anwar. 

Anwar berahi macam nak “rak” untuk menjadi perdana menteri.  

Kedua, ketakutan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. 

Zahid takut lagi kecut akan dihantar ke penjara seperti Najib Razak.

Takut penjara dan berahi untuk jadi perdana menteri bertemu. 

Dua naluri berkepentingan ini “bersekedudukan” dan melahirkan anak luar nikah bernama “DNAA”.  

Mustahil ini hipokrit. Mustahil para penganalisa politik tidak faham akan perkara ini. 

Mustahil aktivis NGO tidak melihat bab ini.

Untuk saya ini bukan hipokrit. 

Ini jalan lurus “siratul mustaqim”, jalan lurus jangan belok-belok untuk mendapatkan kuasa.

Janji Pilihan Raya Umum ke, hukum-hakam ke, peguam negara ke, Islam ke, semua tidak perlu diambil kira. 

Apa yang penting ialah kuasa jatuh ke tangan. 

Kerusi perdana menteri wajib diduduki oleh Anwar.

Menjadi perdana menteri untuk Anwar ini penting kerana di atas kerusi ini terdapat kuasa. 

Kuasa ini adalah induk  yang menjadi juragan dan pedoman kepada Anwar.

Jadi saya tidak hairan dan tidak terperanjat melihat apa yang sedang dilakukan oleh Anwar pada ketika ini. 

Untuk saya semuanya siratul mustaqim untuk berkuasa.

Justeru  kita tidak perlu terperanjat bila Zahid dibebaskan. 

Kita juga tidak perlu terbuka mata bila melihat Muhammad Sanusi Md Now ditangkap jam 3.00 pagi.  

Para aktivis NGO tak perlu bersuara melaporkan Zahid memberi rasuah membeli undi kelab motorsikal di Terengganu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bisu, tidak ada dakwa-dakwi. 

Ini tepat dan betul. Semua ini menjamin siratul mustaqim menuju kuasa.

Lanun menjadi raja

Saya selalu menulis dan menerangkan tentang kuasa. 

Kuasa ini ialah kuasa politik.   

Dalam konteks negara moden kuasa politik diperoleh melalui undian, melalui cara pungutan suara dalam pilihan raya.  

Sistem dan cara mendapat kuasa jenis mengundi ini baru sahaja sampai kepada kita. 

PRU pertama di Tanah Melayu hanya bermula pada tahun 1955.

Cara lama untuk memiliki kuasa ialah siapa kuat dia berkuasa. 

Tiada undi dan tidak ada pilihan raya. 

Aku ada keris, aku ada pedang maka aku berkuasa.

Lanun dan penyamun di zaman dahulu kala yang bijak bermain senjata, yang pandai bersilat atau yang bijak membunuh musuh akhirnya menjadi pemimpin kabilah.  

Pemimpin kabilah atau kepala gerombolan penyamun ini akan memperluaskan pengaruh dari kampung menjadi daerah, dari daerah menjadi negeri. 

Kepala gerombolan lanun ini akhirnya akan melantik dirinya sendiri untuk menjadi raja.

Untuk menjadi raja dan diterima oleh orang ramai agak mudah.  

Di sebarkan mitos bahawa sosok yang diangkat menjadi raja ini adalah jelmaan daripada anak Tuhan.

Di sini kepala gerombolan lanun akan bersekongkol dengan tok bomoh, tok imam atau para agamawan. 

Para agamawan yang juga ingin mendapat pengaruh akan berpayung di bawah kuasa pedang lanun ini.

Para agamawan dengan rela hati akan menyebarkan mitos atau cerita karut marut bahawa kepala penyamun ini adalah jelmaan anak Tuhan.

Pedang memperkukuh kepala lanun untuk menjadi raja. 

Para Agamawan menjampi serapah untuk menghalalkan dan menobatkan kepala lanun menjadi raja.
 
Ini berlaku ribuan tahun dahulu. Jika diperincikan, kita akan melihat tiada banyak perubahan dalam bab bagaimana kuasa dibentuk dalam negara kita hari ini.

Hari ini dalam kerajaan Madani kita lihat semua ranting dan dahan kuasa bergerak seirama dan senada.  

Siapa kacau akan disiasat 

Apa yang Anwar mahu Anwar akan dapat.

Jika Radzi Jidin buat kacau, beliau akan disiasat oleh SPRM. 

Ini amat jelas siratul mustaqim mempertahankan kuasa.

Kita sepatutnya kagum dengan cara Anwar menggerakkan semua aparacik kuasa. 

Tanpa arahan dengan pantas SPRM masuk.   

Ini kehebatan SPRM. 

Lembaga ini tahu apa yang diperlukan oleh Anwar tanpa disuruh.

Inilah tanda kuasa.  

Tapi apa sebenarnya kuasa politik ?

Kalau ratusan tahun dahulu kuasa hanya ada pada mereka yang memiliki senjata. 

Tetapi untuk menjadi raja tidak cukup hanya dengan sebilah keris atau dengan jampi dan doa para agamawan. 

Raja perlu ada panglima dan pahlawan. Raja perlu ada bala tentera. Bala tentera perlukan dana.

Chairman Mao Zedong berkata: “Kuasa muncul dari laras senapang”.

Hishamuddin Rais berkata: “Kuasa muncul dari ringgit dan dolar”.

Kalau di Arab Saudi ribuan tahun dahulu yang ingin berkuasa akan menyamun karavan para saudagar. 

Ghanimah atau harta rampasan perang ini menjadi modal untuk memperkuat kedudukan. Untuk memperluaskan pengaruh.

Di Tanah Melayu ratusan tahun dahulu mereka menyamun dan melanun di laut. 

Hasil rompakan menjadi dana memelihara bala tentera untuk memperluas wilayah dan daerah.  

Cukai dan ufti dipungut, jika tidak membayar pedang tombak keris akan sampai.

Itu ratusan tahun dahulu. Bagaimana sekarang?

Tidak banyak perbezaan. 

Jika Anwar dianggap sebagai raja maka Polis Diraja Malaysia (PDRM), SPRM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh ditafsirkan sebagai panglima dan hulubalang.

Harta rampasan perang

Akan tetapi, badan dan lembaga SPRM atau LHDN ini bukan pengeluar dana. 

Dari mana ghanimah akan muncul? 

Apakah dalam politik moden kerajaan Madani masih ada ghanimah? Jawabnya ada.

Dalam politik moden hari ini walaupun tiada karavan dan unta untuk diserang, tiada lanun di laut tetapi ghanimah masih wujud.

Sebenar-benarnya yang Muhyidin Yassin rebut dari Dr Mahathir Mohamad, yang Ismail Sabri Yaakob rebut dari Muhyidin dan yang Anwar rebut dari Ismail adalah ghanimah.

Siratul mustaqim menuju kuasa adalah siratul mustaqim untuk mengumpul ghanimah. 

Di belakang kuasa politik adalah kuasa wang ringgit, kuasa daulah ialah dinar dan dolar.

Semua perebutan kuasa politik adalah perebutan  wang ringgit.  

Dalam perebutan ini makcik Felda, mat Grab, pak lebai, pak haji, pelajar, siswa, petani, nelayan, buruh dan rakyat jelata sebenarnya hanya jadi pak pacak.

Pak pacak dalam istilah filem adalah mereka menjadi penghias “mis en scene” atau penghias apa dalam bingkai filem. 

Makcik Felda dan pakcik Felda diperlukan untuk menambah indah pengundian. Untuk memolekkan demokrasi berparlimen.

Untuk memperlihatkan bahawa kuasa datang dari tangan orang ramai yang memilih dan mengundi. 

Pengundian memperlihatkan adanya demokrasi.

Wayang demokrasi ini penting. Ianya penting untuk menutup taring kuasa yang akan merompak dan melanun harta kekayaan.

Pakcik dan makcik Felda dan rakyat jelata para pengundi ini hanya perkakas demokrasi. 

Perkakas ini sendiri tidak faham dan tidak sedar bahawa mereka hanya perkakas.

Rakyat umum tidak akan diberi pencerahan tentang semua ini.  

Jika ada sosok-sosok yang berani mempertikaikan hakikat ini maka Anwar akan menghantar panglima dan hulubalang  untuk menutup portal atau memadam TikTok atau mengancam dengan kereta polis siapa saja yang memiliki pandangan yang berbeza.

Satu ketika dulu jika masih berdegil ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) akan digunakan. 

Hari ini Akta Hasutan sedang bergerak.

Malah pasti tidak lama lagi satu Akta baru, Akta RAB atau Akta Raja, Agama dan Bangsa akan dibuat.

Janji hanya untuk menang PRU

Apa hubungan semua ini dengan kuasa dan ghanimah?

Kalau di zaman dahulu untuk mendapatkan kuasa wajib melanun dan merompak dulu untuk mengumpul dana. 

Ada dana ada kuasa. Ada dana, ada bala tentera.

Tapi Anwar bukan kaya. Dia tidak berdana. 

Bagaimana Anwar mendapat dana untuk mendapat kuasa?

Disinilah peranan makcik dan pakcik Felda, peranan buruh , petani, nelayan, orang ramai, NGO dan NGI.

Anwar mengolah persetujuan dengan semua sektor-sektor ini dengan janji yang molek-molek lagi indah. 

Demokrasi, hak asasi, kebebasan bersuara, ekonomi baik, harga barang murah, hutang dilupus, subsidi ditambah, gaji dinaikkan, berek polis, berek tentera dibaiki atau rumah rakyat dibina.

Ini namanya janji terbuka untuk orang ramai mendengar ketika berkempen dalam PRU.

Janji kepada orang ramai bukan hanya dapat didengar. Malah dapat dibaca dalam Manifesto Pakatan Harapan (PH).

Awas! Ada satu lagi janji yang tidak diketahui umum. 

Janji ini adalah kepada para cukong, para pelabur dan pelbagai jenis tauke.

Paling ketat lagi intim ialah janji kepada Tan Sri Maniam, kepada Tan Sri Kok Lim atau kepada Datuk Seri Tengku Raja. 

Dalam istilah politik moden sosok-sosok ini dikenali sebagai oligarki. 

Para oligarki ini adalah taikun kaya-raya yang akan melabur untuk masa depan perniagaan mereka.

Makcik dan pakcik Felda hanya melabur harapan kepada Parti Keadilan Rakyat, kepada parti Amanah dan kepada Anwar.

Pelaburan ini hanya diikat dengan janji-janji Anwar ketika berkempen.

Makcik dan pakcik Felda hanya berjanji menghulurkan undi.  

Oligarki memerhatikan keupayaan Anuar mengolah persetujuan bakal pengundi. 

Bila oligarki yakin Anwar berjaya atau berpotensi memasukkan semua makcik dan pakcik Felda dan bakal pengundi maka oligarki akan melabur.

Para oligarki tempatan tidak menghulurkan undi. 

Mereka melabur berjuta-juta wang ringgit. 

Para pelabur dari luar negara  pula melaburkan berjuta dinar dan dolar.

Tanpa ringgit, dolar dan dinar mustahil kempen boleh berjalan. 

Pelaburan dari oligarki ini amat penting bukan hanya kepada PH malah untuk semua parti politik termasuk Perikatan Nasional (PN). 

Untuk menang dan untuk mendapat kuasa dana diperlukan dari oligarki.

Tanpa dana oligarki politik semua parti politik akan gagal berkuasa. 

Dalam politik pengundian seperti di Malaysia ini, dana dari oligarki amat penting.  

Pelaburan dari oligarki kunci kemenangan.

Hakikatnya kuasa politik di Malaysia ini sebenarnya ialah kuasa para oligarki.

Apakah ini bermakna Anwar, Rafizi Ramli atau Mat Sabu tidak berkuasa dalam kerajaan Madani hari ini?

Sabar dulu. Masih ada lagi kuasa di belingkang kuasa oligarki.