- Iklan -
Kolum

Jalan panjang ummah untuk menjadi unggul di dunia

Bilangan anggota ummah dianggarkan lebih 1.8 bilion di seluruh dunia, iaitu kira-kira 24% daripada manusia yang hidup.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Rasulullah SAW diputerakan pada 8 Jun 632, maknanya, 1,391 tahun lalu. 

Sehubungan itu, sambutan Maulidur Rasul diadakan pada Khamis lalu menurut kiraan takwim Hijrah.

Sesiapa yang menerima Nabi Muhammad sebagai Rasulullah menjadi sebahagian daripada umatnya. 

Rasulullah bermaksud Rasul Allah atau Utusan Allah yang menerima wahyu dan menyampaikannya sebagai agama Islam. 

Penganut agama ini secara kolektif adalah umat Islam atau juga disebut sebagai "ummah".

Sempena sambutan memperingati keputeraan Rasulullah ini, ada baiknya orang Islam melihat keadaan ummah pada waktu ini.

Bilangan anggota ummah dianggarkan lebih 1.8 bilion di seluruh dunia, iaitu kira-kira 24% daripada manusia yang hidup. 

Tentulah bilangan anggota ummah pada waktu ini adalah berganda-ganda jumlahnya berbanding semasa hidup Rasulullah, Khulafa al-Rasyidin atau pada Zaman Keemasan Islam iaitu ketika Umaiyah berkuasa di Cordova dan Abbasiyah di Baghdad.

Jumlah orang Islam di dunia terus meningkat melalui kelahiran walaupun sejak kemunculan kolonialisme dan imperialisme Barat, ummah sudah tidak menjadi golongan paling unggul di dunia. 

Moderniti atau kemodenan yang ditandai oleh Revolusi Industri dan Revolusi Sains membawa Barat menjadi kuasa utama dunia sedangkan cendekiawan pada Zaman Keemasan Islam pernah menghasilkan banyak pemikiran ilmu sains.

Sepanjang tahun lni, sebahagian datipada umat Islam berhadapan dengan bencana alam iaitu apa yang  berlaku di Libya, Maghribi, Turki dan Syria. 

Pada 13 September lalu, lebih 5,000 orang dipercayai mati dan 10,000 hilang dalam satu kejadian banjir besar di Derna, timur laut Libya.

Beberapa hari sebelum itu pula, iaitu pada 8 September berlaku gempa bumi di barat daya kota Marrakesh di Maghribi yang mengorbankan ribuan penduduk.

Gempa bumi di Turki dan Syria pula terjadi pada 6 Februari lalu dengan mengorbankan puluhan ribu penduduk. 

Ia berlaku di bahagian tengah dan selatan Turki serta utara dan barat Syria. 

Tahun malang umat Islam

Sememangnya dari segi bencana, tahun ini adalah tahun malang bagi umat Islam 

Maghribi, Libya, Turki dan Syria adalah sebahagian daripada negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam. 

Ummah berada di negara-negara Afrika Utara, Afrika Barat, Afrika Timur, Asia Barat, Asia Tengah, Asia Selatan dan Asia Tenggara. 

Sebahagian daripada ummah juga menjadi minoriti di banyak wilayah di luar kawasan ini termasuk di dunia Barat.

Antara negara-negara majoriti Islam lain yang turut berada di kawasan gempa bumi ialah Iran, Afghanistan, Pakistan dan Indonesia. 

Hari Jumaat lalu merupakan ulang tahun kelima peristiwa gempa bumi yang berlaku di Palu, Sulawesi, Indonesia dengan mengorbankan lebih 4,000 orang.

Tentunya bencana ini tidak mengenal anutan agama mangsanya. 

Peristiwa-peristiwa gempa bumi turut berlaku di negara-negara bukan berpendudukan majoriti Islam seperti di Jepun, China, Nepal dan Itali. 

Kedudukan geografi dan keadaan seismologi bumi yang menjadikan gempa bumi dan merupakan bencana bagi sesiapa berada di atasnya.

Tetapi tentunya juga negara yang tersusun baik lebih bersedia menghadapi bencana-bencana berbanding dengan wilayah-wilayah mundur. 

Jepun kelihatannya lebih bersedia menghadapi gempa bumi berbanding Maghribi. 

Dengan perubahan iklim, bencana menjadi lebih banyak di tempat-tempat yang selama ini tidak tersentuh olehnya. 

Banjir, kemarau, ribut dan taufan dijangka berlaku lebih luas dan banyak negara tidak bersedia untuk menghadapinya.

Pergolakan politik

Tetapi bencana di Libya itu bukan saja diakibatkan oleh hujan kerana perubahan iklim tetapi ia berkaitan juga dengan keadaan politik di sana. 

Selepas Muammar Gaddafi dijatuhkan oleh pihak-pihak dalam kalangan rakyat Libya yang mendapat sokongan dan bantuan Amerika Syarikat (AS), negara itu nenjadi kacau-bilau hingga berlaku perang saudara.

Walaupun Gaddafi sudah dijatuhkan pada tahun 2011, Libya tidak dapat berfungsi seperti negara biasa. 

Kini, setelah hampir 12 tahun, ia terbahagi kepada dua wilayah pemerintahan iaitu timur dan barat. 

Dunia mengiktiraf hanya pentadbiran di bahagian barat yang berpusat di Tripoli. 

Maka apabila banjir besar ini berlaku, pentadbir di sebelah timur tidak dapat menghadapinya dengan baik. 

Banjir besar itu berlaku bukan semata-mata kerana hujan yang amat lebat melalui Ribut Daniel tetapi juga kerana pecahnya tiga empangan yang dibina pada zaman Gaddafi. 

Empangan itu tidak disenggara kerana perang saudara yang lama. 

Di Maghribi ketika gempa berlaku, kritikan yang timbul adalah mengenai cara kerajaan bertindak terhadapnya. 

Kelihatannya kerajaan Rabat lambat membuat pengumuman rasmi dan lambat membuka sempadan untuk kemasukan bantuan sedangkan mangsa terperangkap perlu tindakan segera. 

Bagaimanapun, Algeria yang merupakan jiran Mahgribi membuka sempadan untuk laluan bantuan. 

Magribi dan Algeria selama ini terlibat dengan persengketaan politik hingga menyebabkan sempadan kedua-dua negara itu ditutup.

Turki-Syria

Tetapi keadaan gempa di Turki dan Syria adalah lebih buruk. 

Ini kerana Syria baru sahaja keluar dari perang saudara yang dahsyat di mana Turki turut terlibat. 

Di tengah-tengah perang itu, pemerintah Ankara menyokong kumpukan pro-demokrasi yang mahu menjatuhkan rejim Presiden Bashar al-Assad. 

Kemaraan kumpulan ini digagalkan oleh penguasaan kumpulan Daesh yang akhirnya membawa campur tangan AS dan Rusia. 

Daesh dapat dikalahkan tetapi rejim Assad terus dikekalkan dengan kumpulan pro-demokrasi terpaksa melupakan perjuangannya.

Pada penghujung perang saudara itu, kumpulan Kurdis di utara Syria muncul berpengaruh apabila mereka memainkan peranan besar mengalahkan pasukan-pasukan Daesh. 

Kuatnya pengaruh mereka membimbangkan Ankara kerana ia meningkatkan keupayaan pihak Kurdis yang berada di selatan Turki. 

Kaum Kurdis di Turki dibimbangi akan nemperjuangkan pemisahan bagi penubuhan Kurdistan merdeka. 

Maka Turki sering melakukan serangan ke atas kawasan-kawasan yang dipercayai terdapat pejuang pemisah Kurdistan di kawasan sempadan dengan Syria.

Maka dalam suasana ini, berlakulah gempa bumi dahsyat yang meruntuhkan ribuan rumah penduduk di Turki dan Syria. 

Dengan pemerintah di Damsyik masih belum teratur selepas perang saudara, maka sukar untuk mereka mengurus bantuan. 

Penduduk di kawasan itu terpaksa banyak bergantung kepada pihak luar.

Di Turki, apa yang disedari ialah bangunan-bangunan terutama kediaman bertingkat begitu mudah runtuh dan membunuh begitu banyak orang menimbulkan soal mengenai korupsi dan penyelewengan dalam sektor pembinaan. 

Pemaju, ahli politik dan pihak berkuasa dipersoalkan tentang keadaan binaan-binaan yang mudah runtuh itu.

Peristiwa-petistiwa itu menunjukkan sebahagian daripada keadaan ummah masa kini. 

Daripada soal korupsi di peringkat tempatan dan persoalan politik di tahap nasional hinggalah kepada persaingan geopolitik di mana AS mendominasi dengan dicabar oleh Rusia dan China.

Umat Islam pernah berusaha untuk bangkit dalam pelbagai bentuk selepas pemansuhan kekhalifahan Uthmaniyah. 

Terdapat tiga antara merrcu tanda kebangkitan itu. 

Pertama pada tahun 1923, Republik Turki yang ditubuhkan oleh Mustafa Kemal Ataturk yang hendak mewujudkan sebuah negara sekular moden setaraf dengan kuasa-kuasa Barat lain. 

Kedua, penubuhan negara-negara moden dari bekas tanah-tanah jajahan kuasa kolonial. 

Antara negara-negara ini ialah Pakistan, Mesir, Sudan dan Indonesia. 

Kesemuanya berlaku pada tahun-tahun 1940-an dan 1950-an. 

Ketiga, Revolusi Iran yang melahirkan Republik Islam pada tahun 1979 merupakan usaha untuk mewujudkan kuasa politik global ummah bagi berdepan dengan Barat.

Kesemua itu adalah usaha generasi terdahulu. 

Ummah yang terus bergantian generasi tetap akan mewarisi ajaran Rasulullah dan pastinya berusaha untuk menjadi unggul di dunia.