- Iklan -
Kolum

Pengaruh 0.2% penduduk dunia

Pengaruh kuat Yahudi dan Zionis terserlah di Amerika Syarikat apabila beberapa bintang Hollywood menjadi sasaran kerana sokong Palestin.

Hishamuddin Rais
5 minit bacaan
Kongsi

Pelakon terkenal mendiang Marlon Brando, mencetuskan ribut kerana mengatakan Hollywood dikendalikan Yahudi. 

Brando, pemain watak kepala mafia Don Corleone dalam filem Godfather (1972) kecewa dan menangis apabila dia bertemu pemimpin Yahudi untuk memohon maaf atas komennya.

Seminggu sebelum itu, Brando muncul dalam CNN untuk programe Larry King Live.

Brando telah mengkritik dan marah dengan beberapa pembuat filem Yahudi kerana tidak menunjukkan lebih sensitiviti apabila menggambarkan kumpulan minoriti secara negatif, tetapi menggambarkan Yahudi tidak dengan cara yang sama.

Kerana berkata benar, pelakon tersohor ini menangis teresak-esak minta maaf. Pasal apa minta maaf? Kerana apa minta maaf? Kerana Holywood didominasi oleh kuasa Bani Yahudi dan Zionis.

Paling terbaru, pada 21 November 2023, pelakon tersohor Susan Sarandon, pemenang Oskar untuk filem Dead Man Walking (1996), telah dibuang dari menjadi klien agensi bakat UTA. Kerana apa?

Kerana Susan mengambil bahagian dan berucap dalam beberapa himpunan pro-Palestin di Amerika sesudah 7 Oktober 2023.

Beliau merupakan tokoh masyarakat terbaharu yang mendapati diri mereka disekat mata pencarian kerana pendirian terhadap perang, khususnya menyokong Palestin.

Pelakon filem Scream VI, Melissa Barrera, yang akan memainkan watak utama dalam Scream VII yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, dipecat dari berlakon dalam filem itu.

Ini kerana beberapa komen Melissa dalam media sosial yang ditafsirkan sebagai anti-semitik.

Makin ramai bintang filem, seperti Cake Blanchet dan Joaquin Phoenix yang kini secara terbuka menyokong Palestin.

Apakah mereka ini juga akan disekat dan tidak lagi mendapat peluang berlakon dan cari makan di Hollywood.

Nah! Ini tanda kuasa Yahudi dan Zionis di Hollywood.

Hari ini dunia tidak diberitahu tentang ribuan kapal membawa bantuan kemanusiaan dari Turki menuju ke Gaza. 

Hari ini berita tentang kapal yang dibajak oleh Yaman hilang dari media dunia. 

Hari ini kita tidak akan membaca di media arus perdana atau laporan agensi berita mengenai serangan ke atas pangkalan askar Amerika di Iraq dan Syria. Dan mengenai berapa soldadu Amerika tewas dan gugur.

Naratif berita dunia sentiasa condong ke arah Israel. Sama seperti media condong ke arah Ukraine walau pun askar Ukraine hampir pupus. Media seperti New York Times dan Washington Post tidak memberi laporan yang sebenar apa yang berlaku di Palestin atau Ukraine.

Media arus perdana buat cerita Ukraine akan menang dan Rusia akan kalah. Ini tanda kuasa Yahudi dan Zionis dalam media dunia.

Dalam dunia kaum pemodal - dunia sistem ekonomi kapitalis - Bani Yahudi amat dominan. Dalam dunia perbankan, nama seperti Rothschild menonjol. Keluarga Yahudi ini pemilik perniagaan mata wang terbesar dalam dunia. 

Kepentingan Rothschild ini berselirat di seluruh bank dalam dunia.

Pasaran modal dimiliki oleh Yahudi, media yang menyalurkan berita ke seluruh dunia didominasi oleh Yahudi dan Zionis, dan semua naratif ini secara halus telah dijual melalui wayang dan TV yang condong kepada Yahudi dan Zionis.

Ertinya, wayang, TV, akhbar dan bank semua didominasi oleh Yahudi dan Zionis. 

Justeru apakah dunia kita ini dimiliki oleh Israel dan Zionis? Apa yang tinggal ?

Lalu timbul persoalan hakiki yang ditanya oleh mereka yang rasional dan berakal. Kenapa Joe Biden, Emmanuel Macron, Rishi Sunak dan Olaf Scholz semuanya bersedia membantu Israel?

Apa minyak guna-guna, jampi serapah atau ilmu bomoh Siam mana yang dipakai oleh Bibi Netanyahu hingga kesemua pemimpin Barat menjadi pro Israel?

Apa nasi kangkang yang dipakai oleh Netanyahu sehingga semua pemimpin Barat tunduk dan mengikut telunjuk Israel.

Jawabnya, semuanya kerana elektoral politik. Bukan kuasa jampi serapah atau kena ubat penunduk Tok Batin Melintang.

Bagaimana elektoral politik, atau politik undi, menjadikan Israel dan Zionis begitu berkuasa?

Sabar dulu.

Sebelum diterangkan biar diberi pencerahan tentang Yahudi, Israel dan Zionisme.

Yahudi ini agama seperti Hindu atau Islam. Israel ini warga yang tinggal di Israel. Zionisme ini adalah gerakan politik yang berasakan agama Yahudi.

Sila fahami, bukan semua Yahudi itu penganut fahaman Zionis. Bukan semua Zionis itu Yahudi. Di Malaysia mahu pun di Arab Saudi, ada Zionis. Ada pengikut Zionisme yang bukan Yahudi.

Tanda mengenal siapa Zionis cukup mudah: Sokong atau lawan Israel, sokong atau lawan Palestin. Yang menyokong Israel semuanya Zionis. Yang menyokong Palestin semuanya anti Zionis.

Dalam masa yang sama, bukan semua Yahudi dan Israel mengikut fahaman Zionis. Pemikir dan intelektual tersohor Noam Chomsky dan Norman Finkelstein adalah dua sosok Yahudi yang anti Zionis.

Bagaimana Zionisme kini mengawal politik Amerika dan juga politik Eropah? Jawabnya amat mudah: dana.

Elektoral politik memerlukan dana. Portal OpenSecret melaporkan perbelanjaan politik Trump lawan Biden dalam pilihan raya 2020 berjumlah AS$14.4 bilion, lebih dua kali ganda jumlah kos pilihan raya presiden 2016 yang dulu dianggap memecahkan rekod.

Perlawanan presiden yang mahal antara Biden dan Trump dibiayai oleh jumlah penderma kecil yang belum pernah terjadi sebelumnya dalam talian, dan bilionair yang mempunyai pengaruh politik yang besar.

Siapa bilionair ini? Bilionair ini di Amerika, dan jika tidak bersimpati dengan Israel tidak akan jadi kaya raya.

Dari dana bilionair untuk kempen pilihan raya inilah datangnya pengaruh Zionis. Maka dirujuk kembali kuasa wayang, kuasa media dan kuasa bank. Kali ini ditambah pula dengan kuasa syarikat gergasi pembuat senjata dan pelbagai syarikat yang lain.

Kaum Zionis di Amerika berkumpul di lembaga yang dipanggil Aipac (American Israeli Public Affairs Committee). Lembaga ini amat-amat berpengaruh di Amerika.

Aipac ialah organisasi kebangsaan dengan lebih tiga juta ahli akar umbi yang ingin mengukuhkan dan mengembangkan hubungan Amerika-Israel.

Semua bakal calon presiden akan dijemput untuk membuat ucapan kepada ahli Aipac. Ucapan ini akan diteliti, dengan sesi soal jawab di akhir ucapan.

Sampai mati sampai kiamat tidak akan ada bakal calon presiden atau politikus di Amerika atau dari negara mana pun yang akan bersuara di pentas Aipac yang berani mengkritik wujudiah Israel.

Aipac ialah Kaabah untuk semua politikus Amerika. Malah seperti penganut Islam yang akan cuba sedaya upaya untuk ke Mekah menunaikan haji. Begitu juga politikus Amerika akan menyempurnakan rukun iman mereka dengan memberi ucapan di Aipac.

Tanpa sokongan dari Aipac, tidak ada calon presiden dari Demokrat atau Republikan yang akan berjaya mencari dana.

Para bilionair, towkay kilang, pemilik industri, syarikat senjata tidak akan mengeluarkan satu sen untuk dana kempen tanpa persetujuan Aipac.

Dana akan masuk meluruh jika Aipac menyokong politikus yang menjadi calon atau bakal calon presiden atau Kongres.

Aipac ini bukan saja menilai bakal presiden, malah ahli Kongres Amerika pun akan dinilai sama.

Jika ada ahli Kongres yang kritikal terhadap Israel maka Aipac akan menjalankan jarum untuk memastikan ahli Kongres ini tidak akan dipilih sekali lagi.

Akhbar The Guardian pada 11 November lalu melaporkan bagaimana kumpulan lobi pro-Israel di Amerika menyiarkan iklan serangan terhadap ahli Kongres yang tidak mengundi atau menyokong perang Israel ke atas Gaza.

Dalam 10 hari, lobi pro Israel melancarkan iklan menentang dan menyerang sesiapa saja yang tidak menyokong perang Israel di Gaza. Yang mahu perang dihentikan, yang menyuarakan tentang kemanusiaan di Gaza atau mengkritik bantuan ketenteraan kepada Israel, atau hanya mengkritik Israel pun.

Kumpulan itu akan mengepam berpuluh-puluh juta dolar ke dalam dana kempen menyokong calon pro Israel dalam Kongres.

Ini contoh cara kerja Aipac.

Akhir-akhir ini telah muncul berita bagaimana kumpulan pro Israel telah melobi bukan calon, tetapi sosok yang namanya baru dicadangkan untuk menjadi calon.

Satu lagi contoh betapa kuatnya kuasa Zionis dalam Kongres Amerika. Pada 27 Jun 2023 diluluskan resolusi No 559: Bahawa menjadi dasar Amerika Syarikat Republik Islam tidak dibenarkan memiliki senjata nuklear.

Iran adalah musuh utama Israel di Timur Tengah.

Ini bukti cara Zionis bergerak di Amerika. Melalui dana dan media, lobi Zionis memastikan Amerika akan terus memberi AS$3 bilion setahun kepada Israel.

Amerika akan sentiasa memberi senjata terbaru dan tercanggih kepada Israel. Amerika akan sentiasa menyokong Israel di PBB dan pertubuhan dunia yang lain.

Dalam dunia, jumlah Bani Yahudi ialah 15.2 juta. Seramai 7.5 juta di Israel. Yahudi juga ada di Eropah Barat dan Timur. Statistik 2020 menunjukkan ada 7.6 juta penduduk Yahudi di Amerika.

Walau pun dengan jumlah yang kecil tapi dengan dana yang banyak Yahudi dapat mempengaruhi politik Amerika. Yahudi mempengaruhi politik Eropah, mempengaruhi politik Arab.

Dari lapan bilion warga dunia, Yahudi hanya 0.2%. Tetapi dengan jumlah yang kecil, mereka ketika ini sedang menghuru-harakan dunia.

Bagaimana pula pengaruh Yahudi di Eropah? Kita bincang dalam artikel seterusnya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.