- Iklan -
Kolum

Pindaan yang merupakan penganiayaan

Di masa ini, konsep stateless sepatutnya tidak wujud, kerana ia bermakna negara itu gagal melindungi penduduknya.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Baru-baru ini kerajaan bersetuju melakukan pindaan perlembagaan untuk membetulkan kesetaraan gender dalam memberikan kewarganegaraan seseorang. 

Selama ini hanya anak yang lahir dari bapa berwarganegara Malaysia boleh menjadi warganegara, walaupun ibunya warga negara asing. 

Tetapi jika bapanya warganegara asing dan ibunya warganegara Malaysia, anak itu kena ikut warganegara bapanya. Tentulah tidak adil, kerana ini berdasarkan fahaman anak mesti ikut bapanya. Sedangkan anak adalah perkongsian ibu dan bapa. 

Selalunya ibu yang memelihara anak. Maka bila berlaku penceraian, anak ikut ibu untuk berada di Malaysia tetapi tidak boleh menjadi warganegara Malaysia. 

Banyak penderitaan berlaku akibat keadaan ini. Maka apabila pindaan perlembagaan dibuat, maka ia membetulkan keadaan ini, menjadikannya progresif, maju ke depan.

Malangnya pindaan ini membawa masuk perkara-perkara lain yang berkaitan dengan golongan yang tiada kerakyatan, atau "stateless".

Perkara-perkara lain ini jelas menganiaya anak-anak tak sah taraf (illegitimate), anak angkat, anak yatim dan anak ditinggalkan, yang ibu bapanya tidak dapat dikesan dan anak orang tidak bernegara (stateless). 

Dengan pindaan itu, perlembagaan tidak lagi melindungi mereka. Maknanya, mereka tidak lagi secara automatik menjadi warga negara Malaysia.

Dalam pindaan ini juga, anak-anak penduduk tetap juga boleh jadi "stateless", tanpa kerakyatan. Mereka tidak secara automatik menjadi warganegara.

Sudahlah mereka merupakan sebahagian daripada golongan terpinggir (marginalised) di negara ini, pindaan ini menambah buruk lagi nasib generasi selanjutnya. 

Mereka perlu membuat permohonan untuk pendaftaran yang makan masa bertahun-tahun lamanya dan akhirnya mungkin tidak diluluskan. Jika melalui mahkamah, ia juga memakan masa bertahun-tahun dengan memakan belanja guaman yang banyak. 

Inilah apa yang dikatakan oleh para pemerhati sebagai elemen regresif atau mundur ke belakang dalam pindaan ini.

Apabila permohonan mereka dinafikan bertahun-tahun lamanya, ia bermakna anak-anak ini tidak dapat memperoleh perkhidmatan kesihatan dan persekolahan kerajaan. Mereka juga tidak boleh bekerja atau berniaga seperti warga negara lain. Mereka membesar tanpa kewarganegaraan. Sedangkan untuk hidup di zaman moden ini, setiap orang perlu mempunyai kewarganegaraan.

Anak-anak Orang Asli dan Orang Asal yang ibu bapanya tidak berwarganegara mendapati mereka juga tidak mempunyai kerakyatan sedangkan suku kaum mereka berzaman-zaman sudah tinggal di negara ini, lama sebelum merdeka.

Sebagai contoh, di Sabah, orang Bajau Laut yang tinggal di pulau-pulau Sabah mendapati mereka tidak berwarganegara sedangkan suku kaum mereka sudah berada di pulau-pulau itu lama dahulu.

Baru-baru ini, saya berjumpa seorang aktivis pendidikan yang membuka sekolah di salah sebuah pulau itu. Terdapat 20 orang pelajar di situ. Mereka tidak dapat bersekolah di tanah besar sebab mereka tidak berwarga negara. 

Ini kerana ibu bapa mereka juga tidak mempunyai kewarganegaraan. Sedangkan suku kaum mereka sudah lama berkampung di pulau itu. 

Entah macam mana mereka tidak diberikan kewarganegaraan. Mereka bukan pendatang. Mereka bukan penduduk Filipina atau Indonesia. Mereka orang Sabah tetapi mereka "stateless". 

Saya pun hairan tidak ada ahli politik yang prihatin terhadap mereka.

Kalau mengikut sistem sedia ada, anak-anak mereka dilindungi oleh perlembagaan dan boleh secara automatik menjadi warganegara Malaysia. Itupun sebenarnya sukar kerana mereka tiada dokumen. 

Kedudukan mereka jelas dilindungi perlembagaan. Tetapi dengan pindaan ini, anak-anak mereka tidak dilindungi perlembagaan.

Saya bukanlah pakar perlembagaan atau undang-undang tetapi perkara ini jelas merupakan suatu penganiayaan terhadap anak tidak sah taraf, anak angkat dan anak ditinggalkan. 

Tentulah mereka juga akan membesar, berkeluarga dan beranak. Anak mereka juga tanpa kewarganegaraan. Maka generasi "stateless" ini berterusan dan tidak terputus.

Itu dari segi kemanusiaan. Bagaimana pula dari segi Islam?

Anak-anak itu tidak bersalah dan kalaupun ibu bapanya bersalah, mereka tidak boleh dihukum dengan menafikan hak-hak mereka sebagai manusia melalui peruntukan perlembagaan.

Saya harap keprihatinan saya terhadap orang tidak mempunyai warganegara dan masalah anak mereka ini adalah tidak betul kerana saya salah membuat andaian terhadap pindaan perlembagaan itu. 

Tetapi apabila melihat banyak pihak yang turut memberikan keprihatinan terhadap isu ini, maka kerajaan perlu mengkaji semula.

Apa yang saya hairan ialah mengapakah penggubal-penggubal pindaan ini “tidak berhati perut” terhadap anak-anak ini? 

Atau apakah sifat semula jadi pihak-pihak yang ada kuasa, sama ada ahli politik ataupun pegawai kerajaan yang berada di pejabat dan bergelumang dengan data, dokumen serta kertas-kertas, tidak berasa simpati terhadap nasib mereka yang wujud di pinggiran masyarakat dan negara? 

Atau mereka sudah lama terpisah daripada realiti kehidupan manusia? 

Atau sememangnya ada “deep state” yang menentukan apakah kepentingan negara tanpa mengambil peduli nasib orang-perseorangan dalam menjalani kehidupan?

Usah dijadikan alasan bahawa pindaan itu sudah pun sampai ke peringkat tertinggi struktur pemerintahan negara dan oleh itu ia mesti dihormati. Ini kerana ia melibatkan penduduk di negara ini. 

Dunia ini untuk semua orang dan bukannya hanya untuk orang yang bernasib baik saja. Negara ini adalah untuk semua penduduknya termasuk yang stateless, dan bukan untuk warganegaranya semata-mata. 

Perlembagaan negara yang progresif perlu melindungi mereka.

Setakat ini saya tidak tahu sebab di sebalik keputusan kerajaan membuat perkara ini. Tentulah ada sebab. 

Namun kes manusia dan keluarga adalah berbeza-beza dan memerlukan penyelesaian yang berbeza. Tidaklah boleh satu peraturan dibuat untuk menyelesaikan satu masalah tetapi tanpa mengambil kira masalah lain yang timbul. Pendek kata satu pakej undang-undang tidak boleh digunakan untuk semua masalah.

Isu stateless ini besar bukan saja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Ia berhubung rapat dengan konsep negara bangsa itu sendiri, atau nation state. Perkara ini tidak timbul pada zaman sistem empayar atau kekhalifahan dulu. Sesiapa pun boleh tinggal di mana-mana pun di zaman itu.

Konsep negara bangsa diwujudkan untuk memudahkan kehidupan penduduk. Cukai dikutip kerajaan supaya ia boleh diagihkan untuk memberi perkhidmatan. Seseorang perlu menjadi warganegara untuk menperoleh perkhidmatan. Maka peraturan bagi mewujudkan kewarganegaraan adalah penting.

Apabila sesebuah negara ditubuhkan, semua penduduk berhak menjadi warganegara terutama yang merupakan suku kaum asli yang tinggal di situ bergenerasi. Mereka tinggal di hutan belantara dan tiada dokumen. Kerajaan yang perlu buat dokumen untuk mereka. 

Begitu juga suku kaum yang tinggal di pulau dan juga laut. Mereka mungkin bergerak merata-rata tempat tetapi jika 
kampung utamanya dalam sesebuah negara, maka mereka berhak menjadi warganegara.

Maknanya semua orang di seluruh dunia patut mempunyai warganegara. Tidak patut ada yang stateless. 

Konsep stateless sepatutnya tidak wujud. Apabila ia wujud pada masa ini, ia bermakna negara itu gagal melindungi penduduknya.

Mana-mana kerajaan perlu melindungi warganegaranya dari kemasukan pendatang atau imigran. Tetapi itu tidak bermakna menganiaya penduduk-penduduk yang stateless serta keturunannya.

Selagi tiada penjelasan yang meyakinkan, maka saya menganggap pindaan itu berupa satu penganiyaan terhadap anak-anak orang tidak berwarganegara, yang tak sah taraf, anak angkat dan anak yang diabaikan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.