- Iklan -
Kolum

Stokin dan kemarahan Melayu: Cui bono?

Jangan lupa di zaman Najib Razak, ada kepala babi dilempar masuk ke dalam masjid di Jalan Klang Lama.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Satu ketika yang agak lama dulu, Malaysia heboh dengan stokin. Lebih tepat lagi, Bani Melayu yang heboh. Bukan stokin untuk kasut, tapi dengan Hantu Stokin.

Kali ini, dalam bulan Ramadan – ketika Bani Melayu berpuasa – sekali lagi negara heboh dengan stokin. 

Kali ini bukan hantu stokin buat kacau, tapi stokin bercorak kalimah Allah ditemui di KK Mart.

Heboh macam nak rak.

Apa sebenarnya isu stokin ini? Biar saya beri pengalaman saya. 

Ketika berkelana di London, teman saya Maria seorang pereka fesyen dan pereka fabrik berasal dari Finland. Setiap bulan Mac sebelum musim panas, Maria dapat arahan dari wakil pembeli mengenai corak syarikat fabrik dari New York, Milan dan Paris.

Arahan cukup jelas: warna fabrik musim bunga tahun itu, jenis fabrik musim panas, corak fabrik tahun itu. Semua dinyatakan dengan jelas. Semua dirancang. Semua disusun dan diatur oleh gedung fesyen untuk pereka fesyen tahun itu.

Arahan ini datang dari gedung fesyen seperti Chanel, Dior, Gucci, Prada dan Hermes.

Saya masih ingat lagi satu arahan pada 1990: "No Arabic calligraphy" – tiada tulisan Arab. Maria agak hairan kenapa dilarang imej yang menggunakan kaligrafi Arab. Tapi saya sedar dan faham.

Bayangkan, semenjak 1990 lagi gedung fesyen dimiliki oleh kapitalis kafir di Paris, New York dan Milan telah sedar akan sensitiviti tulisan Arab kerana berikat dengan agama Islam.

Justeru bila isu stokin berjenama Allah ditemui di KK Mart, saya yakin ada agenda besar yang lebih besar dari besar.

Dalam semua analisa babak politik seperti ini, yang wajib ditanya ialah, siapa untung?

Untuk mereka yang bukan Islam, mungkin tidak merasa apa-apa. Tetapi untuk Bani Melayu – untuk Melayu Islam – nama Allah di kaki ini satu perkara yang "NO NO".

Jangan lupa Charlie Hebdo – komik satira keluaran 9 Februari 2006 yang melakar secara lawak wajah muka Nabi Muhammad.

Eropah gempar bila umat Islam marah dan naik angin dengan Charlie Hebdo. Pembunuhan berlaku. Masyarakat Eropah sama seperti Tiong, Nga, Kelvin dan Loke tertonggeng-tonggeng hairan melihat reaksi umat Islam.

Stokin KK Mart ini sarat dengan pelbagai perkara. Stokin ini hanya periuk retak menunggu belah.

Wajib saya nyatakan di sini bahawa latar belakang stokin ini adalah kesedaran Melayu Islam. Inilah yang saya maksudkan lebih besar dari besar.

Kemarahan Melayu Islam belum reda. Mereka merasa ditipu. Mereka merasa tidak puas hati. Parti mereka yang menang majoriti dalam PRU15 tapi mereka gagal menubuhkan kerajaan.

Ini kemarahan terpendam Bani Melayu. Apa yang kita lihat berlaku di pentas politik hari ini adalah manifestasi dari perasaan yang mereka telah kena tipu. 

Untuk Bani Melayu Islam, kerajaan hari ini bukan kerajaan pilihan rakyat, tapi "kerajaan Titah". Mereka akur dengan Titah, tapi hati mereka bengkak bernanah.

Suasana ini dikeruhkan  lagi oleh tindak tanduk politikus dari parti DAP. Kalau dulu Mat Huru Hara DAP ialah Lim Kit Sing dan P Ramasamy, kini ditambah dengan Nga, Tiong dan Kelvin.

Cadangan kampung baru Cina dijadikan tapak warisan menaikkan darah Bani Melayu. Isu mengubah nama Kampung Pantai Dalam menjadi Bangsar South masih membara.

Tidak cukup dengan itu, datang pula Tiong yang mencadangkan Bak Kut Teh sebagai makanan negara. Meluap sekali lagi darah Bani Melayu Islam.

Malah ada yang memanggil Bak Kut Teh ini Sup Tulang Madani, dalam cubaan menganjing Anwar Ibrahim yang sibuk dengan Madani.  Dalam Tik Tok dan YouTube, heboh dipersoalkan apakah Sup Tulang Madani ini halal dimakan.

Bagaikan dirancang, bermula dengan kampung baru Cina, datang pula Bak Kut Teh dan masuk pula stokin bercorak "Allah".

Kemarahan Bani Melayu makin bertambah. Kalau anak sendiri degil seperti Nga dan Tiong, pasti kena pelempang.

Kembali kita kepada stokin. Sekali pandang macam tidak ada apa-apa. Tapi bila diteliti dan diberi perhatian rapi, maka kita akan temui ini bukan kerja calang-calang. 

"Allah" ditulis dalam huruf Rumi dan dalam tulisan Rumi ini muncul "Allah" dalam tulisan Jawi. Ini maknanya ada otak telah digunakan untuk melakar kalimah Allah ini. Maknanya corak ini dirancang dengan bakat seni yang terlatih bukan pungut muat.

Jika ini dirancang, apa tujuannya?

Untuk ini, saya akan gunakan konsep cui bono – siapa untung? Dalam konsep cui bono ini kita lihat siapa yang dapat untung dari kejadian ini. Seperti dalam rompakan kita ikuti duit yang dicuri – di mana duit itu berakhir.

Jika dalam kes rasuah kita ikuti duit dari mana datangnya dan siapa akhirnya jadi kaya dan syarikat apa dapat kontrak.

Saya berpendapat ini adalah daulah terpendam yang dirancang, atau deep state.

Untuk memahami ini kita wajib kembali melihat PRU15. Dalam PRU15 jelas penjawat awam, polis dan askar tidak menyokong Pakatan Harapan. Rata-rata mereka memberikan sokongan kepada Perikatan Nasional.

Kebencian Bani Melayu Islam terhadap DAP cukup tebal. Kerjasama United Malays National Organisation dengan DAP adalah langkah bijak Ahmad Zahid Hamidi untuk mengelak diri dari masuk penjara. Langkah bijak Zahid ini disokong kuat oleh keberahian Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Ini difahami oleh Bani Melayu Islam. Ini disedari oleh penjawat awam. Ini disedari polis dan askar yang hampir semuanya Melayu.

Sokongan mereka terhadap PN gagal menubuhkan kerajaan. Kejayaan undi mereka telah disailang oleh Titah. Mereka marah dan menyimpan dendam.

Tup tup timbul agenda hapus pencen. Ini adalah tamparan dan ludah terakhir dari kerajaan Madani terhadap Bani Melayu.

Agenda hapuskan pencen ini dilihat, dibaca dan dipropaganda oleh Bani Melayu Islam sebagai agenda DAP.

Ombak kebencian dan suara menentang agenda pencen ini cukup ampuh. Tarikh implementasi telah diumun tapi kerajaan Madani jadi gelabah lalu tarikh ditangguh.

Kembali kepada stokin. Dari apa yang dibaca, dari kenyataan polis, hanya tidak lebih dari sedozen stokin yang ditemui.

Dikatakan stokin ini diimport dari China. Lalu persoalan timbul, mustahil mengimport hanya satu dozen sahaja. Ini tidak masuk akal. 

Apakah stokin ini diselitkan atau dicuri masuk ke dalam KK Mart walhal KK Mart tidak tahu menahu?

Jika ini berlaku, siapa punya kerja?

Jawapannya dalam Cui Bono. Siapa untung?

Setelah setahun kerajaan Madani berkuasa, negara makin kucar kacir, makin tidak stabil.

Punca utama tidak stabil ialah keresahan Bani Melayu Islam. Untuk pertama kalinya perdana menteri negara ini bukan datang dari parti Melayu. Ini meresahkan Bani Melayu.

Kunci kestabilan negara ini ialah perdana menteri wajib datang dari parti Melayu dan parti memerintah Malaysia wajib dikepalai dan dipimpin oleh parti Melayu bukan dari DAP yang bermajoriti sekarang ini.

Justeru kelihatan isu stokin ini adalah langkah mengacau Madani. Isu stokin ini untuk menggugat Madani.

Nampak dilihat bagaimana Pemuda United Malays National Organisation amat lantang bersuara menibai KK Mart. Suara Pemuda gerombolan diikuti pula oleh suara pelbagai NGO yang tidak menyokong Anwar.

Justeru untuk seketika, Anwar sendiri senyap membisu tidak bersuara kerana telah ada Titah yang selari dengan sentimen Bani Melayu Islam menyerang KK Mart.

Kejayaan awal daulah terpendam dalam projek stokin ini ialah parti DAP mula bergaduh dengan parti United Malays National Organisation.

Apakah stokin ini projek untuk meruntuhkan kerajaan Titah. Lalu persoalan timbul siapa daulah terpendam ini?

Apakah mereka pegawai tinggi kerajaan, ahli perniagaan, politikus, golongan feudal? Hakikatnya daulah terpendam bukan berstruktur rasmi.

Daulah terpendam bekerja tersusun tanpa organisasi. Daulah terpendam teratur tanpa pimpinan. Apa yang mengikat mereka ialah kepentingan bersama. Mereka diikat oleh perasaan Melayu Islam.

Dalam kes stokin ini daulah terpendam berkumpul dan bersatu dalam satu saf. Mereka bersatu kerana tidak suka dengan putar alam dan retorik Islam Anwar.

Jangan lupa di zaman Najib Razak, ada kepala babi dilempar masuk ke dalam masjid di Jalan Klang Lama. Ada masjid disimbah cat merah. Ini kerja siapa? Apakah ini kerja daulah terpendam yang sampai hari ini siapa meletak kepala babi dalam masjid tidak diketahui.

Justeru, apakah salah jika saya rumuskan pada ketika ini psikik Bani Melayu merasa kejatian wujudiah mereka, budaya mereka, sejarah mereka dan agama mereka sedang digugat?