Memperingati Hari Al-Quds ketika rakyat Palestin dibunuh beramai-ramai
Hari Al-Quds disambut bagi menyatakan sokongan kepada Palestin di samping mengingatkan tentang kota suci Baitulmaqdis.
Terkini
Pada tahun 1980, tidak lama selepas Revolusi Islam di Iran, pemimpinnya Ayatullah Khomeini mengisytiharkan Jumaat terakhir Ramadan sebagai Hari Al-Quds, sebagai tanda perpaduan umat Islam menentang Israel dan membela rakyat Palestin.
Ia merupakan kali pertama suatu hari dikhaskan di peringkat antarabangsa untuk memperjuangkan pembebasan Palestin.
Al-Quds ialah nama yang merujuk kepada Baitulmaqdis, kota yang dianggap suci oleh penganut Kristian, Islam dan Yahudi.
Pilihan menjadikan Al-Quds, salah satu daripada tiga kota paling suci dalam Islam, adalah kerana kepentingannya sebagai simnol perpaduan rakyat Palestin.
Sejak pengisytiharan itu, Hari Al-Quds disambut dengan perhimpunan dan ucapan oleh umat Islam di seluruh dunia, yang selalunya tertumpu di bangunan-bangunan yang menjadi simbol kejahatan Zionis di negara masing-masing selepas solat Jumaat.
Di Malaysia, umat Islam telah menyambut Hari Al-Quds selama beberapa dekad, dengan mengadakan tunjuk perasaan di luar kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Tahun ini, Hari Al-Quds jatuh pada 5 April, dan dijangka menarik lebih banyak perhatian di sebalik kekejaman Israel di Gaza yang setakat ini telah membunuh lebih 30,000 orang, sebahagian besar mereka orang awam, wanita dan kanak-kanak, seperti yang disahkan oleh agensi PBB.
Hakikatnya, lama sebelum Israel melancarkan pembunuhan beramai-ramai di Gaza pada Oktober lalu, sudah ada peningkatan bilangan penunjuk perasaan yang menandakan Hari Al Quds di kota-kota besar di AS, Eropah, Asia dan Afrika, sementara umat Islam pula mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat untuk menarik perhatian kepada penjajahan berterusan kota Baitulmaqdis.
Kini perhimpunan Hari Al-Quds telah menjadi fenomena global.
Di Malaysia, ia akan diadakan petang Jumaat ini di luar kedutaan AS di Kuala Lumpur.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.