- Iklan -
Kolum

Anti-Israel dan babak luar tabii kerajaan Madani di Malaysia

Gelagat Anwar Ibrahim menangani pelbagai kontroversi Israel menunjukkan cara klasik beliau berputar dan berputar.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Dari apa yang kita baca "kerajaan titah" yang dicanang sebagai "kerajaan perpaduan" ini dilaporkan menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Malah hari ini kenyataan sokongan daripada Perdana Menteri Anwar Ibrahim semakin lantang. Kita baca dan kita dengar.

Kita terbaca kenyataan berdegar-degar tentang jumlah dana lumayan yang diwakafkan kepada Palestin. Kenyataan lantang lagi hebat ini kita dengar terutama semenjak Briged Al-Qassam menyerang Israel pada subuh 7 Oktober 2023 yang lalu.

Mari kita melihat sejarah. Palestin tanah jajahan Inggeris diberikan kepada Zionis Yahudi pada 1948. Pada 1946, Tanah Melayu masih di bawah penjajahan Inggeris.

Pada 6 Oktober 1951, Sir Henry Gurney wakil Baginda Raja England dibunuh oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya di Bukit Fraser. Sebelum bertugas membelasah rakyat di Tanah Melayu, Henry Gurney ini bertugas membelasah rakyat Palestin.

Justeru kita dan Palestin berkongsi pengalaman dan sejarah.

Generasi muda wajib diberitahu bahawa satu ketika dulu pasukan bola Israel pernah datang main bola untuk merebut Piala Merdeka. Ini di zaman Tunku Abdul Rahman.

Malah pada 1997, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah membenarkan pasukan kriket Israel masuk ke Kuala Lumpur untuk menyertai Pertandingan Trofi Kriket Antarabangsa.

Tunjuk perasaan berlaku di pintu masuk Universiti Malaya. Penunjuk perasaan diganasi dan tangkapan dijalankan.

Empat didakwa – Mahfuz Omar, arwah Salahuddin Ayub, Minghat Mahmud dan Pak Cik Amjal. Mereka dipenjara satu bulan.

Saya sendiri masih ingat ketika di Kolej Melayu Kuala Kangsar tahun 1969, limau Jaffa dari Israel masih lagi dalam menu kami. Malah isu limau Jaffa ini menjadi perdebatan dalam akhbar Keris Kangsar, akhbar dalaman MCKK.

Hakikatnya: Israel telah lama menjadi duri dalam daging Bani Melayu.  

Saya yakin ketika itu, malah hingga ke hari ini, dua kaum pendatang ke Tanah Melayu – Bani Cina dan Bani India – hairan dan pelik akan sikap Bani Melayu terhadap Israel.

Malah hingga ke hari ini dua kelompok pendatang ini masih kurang faham kenapa Bani Melayu amat benci kepada Israel. Untuk Bani Melayu, Israel ini disamakan seperti babi.

Dalam kehairanan ini Bani Melayu gagal menerangkan dan memberi pencerahan tentang Israel kepada masyarakat Cina dan India. Garis agama yang diguna pakai untuk mempropagandakan Palestin telah dipandang serong oleh Bani Cina dan India.

Hasilnya, kebelakangan ini, ketika dunia heboh dengan Gaza dan Palestin, tidak ramai Cina dan India turun bersama dalam aksi jalan raya tanda bersetia kawan dengan Palestin.

Kenapa ini berlaku?

Jangan salahkan Bani Cina dan Bani India. Salahkan gaya dan isi pencerahan yang dipropagandakan oleh Bani Melayu.

Palestin gagal untuk menarik perhatian kaum Cina dan India untuk bersama dalam barisan bersatu menentang Israel dan Zionis. Walhal di luar negara di Amerika dan Eropah, anak muda bukan Islam malah Bani Yahudi sendiri turun berdemo menyatakan sokongan terhadap Palestin.

Di Malaysia semuanya terbalik.

Malah apa yang berlaku akhir-akhir ini tidak meyakinkan Bani Cina dan India tentang sokongan umat majoriti Melayu terhadap Palestin.

Sikap kepartian yang tebal memperlihatkan bagaimana PAS dan Parti United Malays National Organisation tidak dalam satu barisan bersatu untuk menyokong Palestin.

PAS dari perbuatan dan kenyataan mereka hanya menyokong umat Islam yang ditindas sahaja. Penindasan yang berlaku terhadap yang bukan Islam parti ini tidak ambil pot.

Justeru dari fakta sejarah PAS tidak heboh berkempen menyokong perjuangan Timor-Leste yang dijajah oleh Indonesia. Atau berkempen menentang aparteid di Afrika Selatan.

Dalam masa sama, United Malays National Organisation tidak pula menunjukkan kesejagatan mereka yang merangkum anak semua bangsa, bangsa semua agama.

Palestin menjadi pilihan dua parti politik ini hanya kerana Melayu beragama Islam. Justeru Palestin untuk Melayu adalah agenda Islam. Sokong Palestin untuk dapat undi Melayu.

Menganggap Palestin ini agenda Islam adalah pandangan juling. Garis ini tidak membantu memperluaskan perjuangan adil rakyat Palestin

Walhal warga dunia, anak muda semua bangsa, warga penganut semua agama dan yang tidak beragama turun sama berdemo di pelbagai negara. Mereka mentakrif Palestin sebagai isu penjajahan. Palestin dijajah oleh Israel dengan berpandukan ajaran Zionis.

Babak pelik

Ketika dunia sedang heboh dengan Gaza, Rafah dan gencatan senjata kerajaan Madani di Malaysia melakukan beberapa babak pelik lagi di luar tabii.

Berita meledak apabila seorang profesor Amerika menyelar dan mempertikaikan garis dan langkah pro-Palestin yang diambil oleh Malaysia.

Ini satu penghinaan terhadap sikap rakyat dan kerajaan Madani.

Apa yang pelik tetapi benar Profesor Bruce Gilley ini telah menyampaikan pandangan lucah lagi songsang ini di Universiti Malaya. Dia dikatakan telah dijemput untuk mengambil bahagian dalam seminar politik antarabangsa. UM menjadi tuan rumah.

Pelik tetapi benar, bagaimana sosok Zionis pro-Israel ini dijemput hadir.

Bukan susah. Tanya sahaja Lebai Google siapa Si Bruce ini. Dengan jelas lagi terperinci kita akan diberitahu sikap pro-Israel dan pro penjajahan si Zionis ini. Mustahil penganjur seminar tidak mengenal siapa Lebai Google. Atau ada agenda tersorok?

Isu Bruce belum reda, tetiba timbul satu lagi isu Zionis dan Israel di UM. Kali ini Universiti Malaya menganugerahkan ijazah kehormat kepada Mohammad Abdulkarim Al-Issa, ulama dari Arab Saudi.

Siapa si Al-Issa ini?

Sekali lagi UM gagal bertanya kepada Lebai Google.

Bila kita tanya Lebai Google, akan muncul nama dan biodata Tok Arab ini. Al-Issa adalah sosok yang pro-Israel. Ulama ini amat-amat disukai dan diminati Israel.

Ulama ini dirayakan oleh media Israel dan media pro-Israel. Ini kerana Tok Arab ini selalu berkempen untuk mengadakan normalisasi antara Saudi dengan Israel.

Kenapa ulama genre ini diberi ijazah kehormat oleh UM? memang pelik dan di luar tabii.

Apakah UM sudah dipenuhi oleh kangkung sehingga mata para guru dan pensyarah tertutup dari melihat dan bertanya dengan Lebai Google.

Tidak cukup dengan kerenah UM, kita dikejutkan dengan berita pameran senjata anjuran Kementerian Pertahanan.

BAE Systems antara syarikat yang menyertai pameran pertahanan di Malaysia dan terpalit kontroversi kerana membantu Israel di Gaza.
BAE Systems antara syarikat yang menyertai pameran pertahanan di Malaysia dan terpalit kontroversi kerana membekalkan senjata kepada Israel di Gaza.

Malaysia menjadi tuan rumah. Dalam pameran ini syarikat senjata akan mempromosi senjata mereka untuk dipesan dan dibeli.

Ini perniagaan bunuh orang. Satu perniagaan yang paling lumayan. Industri senjata atau industri bunuh orang akan membuka gerai dan mempamerkan senjata tercanggih untuk membunuh.

Apa yang pelik dan di luar tabii ialah tuan rumah telah menjemput syarikat seperti Lockheed Martin dan MBDA (BAE Systems) selain daripada Aim Point, Colt, L3Harris, Leupold, Shield AI dan Leonardo.

Semua syarikat ini ada hubungan dengan industri senjata Zionis Israel. Syarikat-syarikat ini membekalkan senjata kepada Israel untuk membunuh lebih 40,000 warga Arab Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Beberapa kumpulan NGO termasuk Bersatu bersuara dan membantah pameran ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersilat lidah. Dia dilihat berdolak-dalik. Dalam ceramah dengan lantang menyokong Palestin. Dalam tindak tanduk menyokong penyokong Israel.

Malah untuk Anwar, selagi syarikat ini tidak didaftar di Israel maka ianya kosher lagi halal untuk berniaga dengan Malaysia. Amin.

Kenyataan perdana menteri kerajaan Madani yang pro-Palestin ini membuka banyak mata. Anwar berdolak-dalik untuk menyelamatkan diri ini menjadi bahan lawak.

Malah belum sempat ketawa mendengar lawak Anwar satu lagi berita meledak. Kali ini kapal Israel berlabuh di Pelabuhan Klang.

Sebuah kapal kargo milik syarikat Israel dikesan berlepas dari Malaysia pada 29 April 2024. Kah kah kah.

Lima bulan dulu Anwar mengumumkan semua kapal milik negara Zionis itu dilarang menggunakan pelabuhan di negara ini sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Marine Traffic, aplikasi yang mengesan pergerakan perkapalan antarabangsa, mendapati kapal kargo ZIM Rotterdam yang dimiliki syarikat Israel Zim Integrated Shipping Services. Kapal Zionis ini telah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April lalu, sebelum berlepas sehari kemudian menuju ke Pelabuhan Shantou, China. 

Bila Anwar ditanya oleh wartawan tentang kapal Israel ini Anwar telah menjawab: "Mahathir yang membenarkan  kapal ini masuk."

Bijak. Satu jawapan yang amat bijak. Anwar lupa ketika pasukan kriket Israel masuk, Anwar sendiri menjawat timbalan perdana menteri, pembantu dan pembodek Mahathir.

Jika kurang yakin apa yang saya tulis ini sila tanya Lebai Google.

Justeru apa yang saya tulis ini memperlihatkan betapa carca merba dan bercelaru dasar kerajaan Mahadanon... opps... Madani.

Bani Cina dan India yang suam-suam melihat Palestin, terus sejuk. Malah Bani Melayu sendiri tertanya-tanya – kenapa Anwar dolak-dalik?

Babak yang ditulis ini memperlihatkan cara Anwar menjalankan kerja.

Cara kerja dan perangai Anwar ini jelas. Pada Ezam Nor dia berkata ini. Kepada Azmin Ali dia berkata itu. Kepada Saifuddin Nasution dia kata PKR sokong. Kepada Rafizi Ramli dia cakap PKR bantah. 

Kepada Syed Husin Ali, dia kata boleh. Kepada Mat Sabu, dia kata jangan lulus. Kepada Anthony Loke dia kata luluskan. Kepada Erdorgan Anwar kata sokong. Kepada Mohamad bin Salman, Anwar kata tak sokong.

Ini klasik cara Anwar Ibrahim berputar dan berputar.

Awas! Kita tidak tahu apa kata-kata dan janji Anwar kepada sosok yang bernama Paul Wolfowitz tentang Israel. Wolfowitz, penasihat bekas presiden George W Bush dan arkitek Perang Iraq, merupakan kenalan baik Anwar. 

Maka kaum kerabat Wolfowitz menghantar dua pegawai Jabatan Perbendaharaan AS untuk bertanya apa sebenarnya dasar Madani terhadap Israel.