- Iklan -
Kolum

Now showing: Teater 'Hajarul Aswad' dibintangi Anwar Ibrahim

Untuk penonton antarabangsa, Anwar ke Jerman bersama Olaf Scholz, untuk makcik dan pakcik Felda, Anwar turun naik ke Arab Saudi.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Teater ialah perkataan Inggeris, dalam Bahasa Melayu ialah sandiwara. Berteater adalah bersandiwara.

Sandiwara atau teater ini ada yang dilakonkan atas pentas, ada juga di udara. Justeru satu ketika dulu Radio Malaya ada rancangan Sandiwara Di Udara.

Berteater dan bersandiwara sebenarnya adalah berlakon.

Saya sendiri ada sedikit pengalaman dalam hal berlakon atau berteater ini. 

Semasa Darjah 4 di Sekolah Rendah dan Menengah Undang Jelebu, saya telah berlakon untuk persembahan Hari Penutup Sekolah.

Ketika di Kolej Melayu juga saya pernah menulis, mengarah dan berlakon dalam teater Wira, yang dipentaskan untuk mengutip derma Persatuan Tingkatan Enam (Sixth Form Union).

Ketika zaman reformasi oleh Anwar Ibrahim untuk menjatuhkan kerajaan Dr Mahathir Mohamad, saya menulis dan mengarah teater Tok Ampoo. 

Ketika zaman Abdullah Badawi, saya menulis dan mengarah teater Tok Sloo.

Ketika zaman Najib Razak, saya menulis dan mengarahkan teater Bilik Sulit. Teater ini pernah dibawa dan dipentaskan di beberapa kota di United Kingdom. 

Justeru saya bukan asing dalam hal teater.

Mazhab teater saya ialah: teater bukan teater. Garis teater Tok Ampoo, Tok Sloo dan Bilik Sulit ialah propaganda. Memberi pencerahan, membuat lawak dalam masa yang sama menghasut penonton untuk membenci kerajaan.

Tok Ampoo menghasut untuk membenci Mahathir. Tok Sloo memperlekeh Abdullah Badawi. Bilik Sulit melawan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya menggunakan teater sebagai agitprop – agitasi dan propaganda - untuk menghasut orang ramai membenci kerajaan yang sedia ada.

Sebagai taktik menjatuhkan kerajaan, teater amat penting. Teater adalah sebahagian dari alat perang saraf. Dalam gelak ketawa suntikan jarum menghasut dan membenci kerajaan diselitkan. 

Ada apa dengan teater Hajarul Aswad? 

Hajarul Aswad ini perkataan Arab merujuk batu hitam atau "black rock" dalam Bahasa Inggeris. 

"Black rock" yang saya tulis ini bukan Hajarul Aswad yang suci di Makkah. Nama saja sama.

BlackRock yang saya tulis ini ialah nama sebuah syarikat pelaburan saham berpangkalan di New York. 

Mengikut Senator Bernie Sanders dari Demokrat AS, aset BlackRock berjumlah AS$22 trilion, jumlah yang sama dengan GDP Amerika Syarikat.

Pemilikan banyak aset bukan satu jenayah, tapi membuat para pelabur dan pemegang saham senang hati. Justeru kenapa kita di Malaysia heboh dengan BlackRock?

BlackRock melabur dan memiliki saham dalam syarikat industri senjata di Amerika. Ini juga bukan satu yang baru.

Senjata dari syarikat seperti Lockheed Martin, Northrop Grumann atau General Dynamic ini digunakan untuk membunuh warga Palestin oleh soldadu Zionis Israel.

Senjata Zionis ini sedang membantai, membedil, membunuh dan menghancurkan Gaza dan Palestin.

Yang menimbulkan heboh di Malaysia dan nama BlackRock disebut-sebut kerana syarikat ini telah membeli saham Malaysia Airports Holdings (MAHB) sebanyak 30%. MAHB milik rakyat Malaysia.

MAHB ialah sebuah syarikat pengurusan lapangan terbang Malaysia yang menguruskan 39 lapangan terbang, kecil dan besar, di seluruh Malaysia. 

MAHB satu ketika dulu milik rakyat teteapi kini diswastakan. Maknanya saham MAHB boleh dimiliki oleh sesiapa saja termasuk Larry Fin, CEO BlackRock dan Zionis tegar.

Khazanah Nasional dan KWSP akan mengambil alih kepentingan sehingga 70% dalam konsortium yang diumumkan baru-baru ini untuk mengambil alih MAHB.

Baki 30% akan dipegang oleh Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat yang dibeli BlackRock awal tahun ini dengan harga AS$12.5 bilion.

Kemasukan GIP dalam konsortium ini mencetuskan protes, kerana peranan BlackRock dalam mengukuhkan ekonomi Israel dan industri senjatanya.

BlackRock dapat untung dari membunuh rakyat Palestin dan membantu Israel melakukan genosid ke atas Palestin. Kita rakyat Malaysia yang beri duit.

Larry Fink ialah ketua sorak dan penyokong kuat pembunuhan beramai-ramai Israel terhadap rakyat Palestin.

Bagaimana pula urusniaga syarikat bertaraf antarabangsa ini jadi teater?

Mari adik, kakak, ambo nak royak. Kisahnya begini.

Rakyat Malaysia menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Dari zaman berzaman, Bani Melayu menolak Israel. Bani Melayu menolak Zionis.

Tup tup syarikat negara kini menjadi milik Zionis. Bukan syarikat jual susu lembu - ini syarikat jual senjata untuk bunuh rakyat Palestin. Maka Bani Melayu marah.

Jadi marah belum jadi teater. Apa yang menjadi teater? Apa yang menjadi sandiwara dan apa yang menjadi wayang bukan kemarahan Bani Melayu. 

Yang menjadi teater ini ialah tindak tanduk dan kelakuan Anwar Ibrahim.

Cakap, perbuatan dan kelakuan Anwar ini sebagai protagonis utama menjadikan teater Hajarul Aswad ini melintasi sempadan Malaysia.

Sebagai perdana menteri, Anwar ke hulu ke hilir menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin. Di Jerman, di hadapan pemimpinnya, Anwar mengesa pemimpin Eropah turut sama menyokong Palestin.

Bunyi suara dan dialog Anwar amat sedap. Tetapi semua ini hanyalah teater dan lakonan. 

Olaf Scholz, canselor Jerman, dijadikan prop dalam teater BlackRock oleh Anwar ini.

Prop ialah sosok – Pak Pacak pelakon tambahan - atau bahan atau peralatan yang digunakan dalam teater atau pembikinan filem. 

Prop ini berperanan untuk memperkuat lakonan yang sedang dilakonkan.

Untuk penonton di Malaysia dan di luar negara, lakonan Anwar dianggap hebat. Satu tepukan kerana berani bersuara di hadapan pemimpin negara Eropah yang terbesar.

Scholz sebagai Pak Pacak adalah lakonan Anwar untuk penonton antarabangsa.

Untuk makcik dan pakcik Felda, Anwar telah turun naik ke Arab Saudi.

Untuk Bani Melayu, bila mendengar perkataan Arab Saudi dan Mekah semua jadi lembut. Sumpah seranah akan terhenti.

Dengan bijak lagi licik, pelakon Hajarul Aswad ini berdialog dengan MBS – Mohammed bin Salman – bakal Raja Saudi. Berbuih mulut Anwar menyebut nama MBS untuk membuktikan betapa kamcing dirinya dengan anak raja Saudi ini.

Peranan MBS membunuh beratus ribu warga Arab Yaman dibenamkan. Niat MBS hendak mengadakan "normalisasi" dengan Zionis Israel langsung tidak disebut.

Jangan lupa dalam teater ini Erdogan juga menjadi prop. Anwar menjual nama presiden Turki bagai nak rak, walhal kasut yang dipakai oleh soldadu Israel semuanya "Made in Turkey".

Turki negara Islam pertama mengiktiraf Israel dalam tahun 1948. Turki juga rakan senjata Israel kerana Turki dalam NATO. Perniagaan Israel dan Turki rancak walaupun Erdogan mendakwa partinya dari jalur Ikhwan Muslimin. 

Teater Hajarul Aswad ini disusun rapi. Ada babak dipentaskan di luar negara. Ada babak dipentaskan di Malaysia. Paling afdal, dalam negara, babak Anwar bersama Mohammad Abdulkarim Al-Issa, ulama Arab Saudi.

Ulama ini membawa mesej normalisasi – ertinya berbaik dengan Zionis Israel. Justeru, media Israel dan pemimpin Israel sama seperti Anwar merayakan Al-Issa ini. Universiti Malaya memberi ulama Saudi ini ijazah kehormat. 

Pementasan teater pasti ada tujuan.

Saya membuat teater Tok Ampoo untuk menghasut rakyat benci pada Mahathir dan kerajaan. Ini jelas. Teater saya dilakonkan di atas pentas.

Teater lakonan Anwar ditaja oleh daulah. Ini bezanya dari teater Tok Ampoo atau Bilik Sulit. Anwar berlakon daulah terlibat. Ini menjadikan luas tayangannya.

Teater Hajarul Aswad berjalan dengan licin lagi hebat sehinggakan tidak disedari bahawa ianya teater sehingga Hishamuddin Rais bersuara dan menulis tentangnya.

Apa niat mementaskan teater?

Mahathir mementaskan teater Al-Maunah ketika ribuan rakyat berdemo di jalan raya menuntut Mahathir berundur. Teater Al-Maunah berlatar belakang Bukit Jenalik dan rampasan senjata dari kem tentera.

Dikatakan Al-Maunah satu gerakan melawan Agong, bukan melawan "Mahafiraun" – gelaran Mahathir ketika itu. Dengan bijak naratif teater ini dialih.

Tujuan teater Al-Maunah ialah untuk menakut-nakutkan orang ramai agar jangan turun ke jalan raya buat huru hara. Jika berdegil akan ditangkap masuk ISA seperti Al-Maunah.

Teater Al-Maunah adalah persediaan untuk menangkap aktivis reformasi. Beberapa bulan setelah teater Al-Maunah dipentaskan, 10 aktivis reformasi termasuk saya ditahan di bawah ISA.

Teater Al-Maunah berjaya. Hishamuddin Rais pun berjaya kerana dalam kem Kamunting saya sempat berjumpa para pelakon Al-Maunah.

Justeru Hishamuddin Rais adalah perawi sahih. Dari perbualan saya dengan pelakon yang ditahan di Kamunting, saya amat yakin Al- Maunah adalah teater.

Jika Al-Maunah teater untuk selamatkan Mahathir, apa pula tujuan teater Hajarul Aswad?

Teater Hajarul Aswad bertujuan untuk menampakkan Anwar sebagai penyokong perjuangan Palestin yang tegar. Anwar sebagai pejuang dan pemimpin Islam. Teater Hajarul Aswad dipentaskan untuk memperlihatkan Anwar sebagai pemimpin global dunia Islam.

Hakikatnya, di sebalik teater ini, protagonis bernama Anwar telah ada perancangan dan persefahaman yang licik bersama Uncle Sam – bukan Sam Ketot, tapi Uncle Sam imperialis Amerika.

Ketika heboh dengan Gaza dan Palestin, rupa-rupanya pengerusi Khazanah, bersama menteri kewangan dan perdana menteri telah merancang untuk menjual aset strategik negara kepada syarikat Zionis BlackRock.

Ketika perdana menteri Anwar di Qatar bersalam dan berpeluk dengan Ismail Haniyeh, pengerusi Khazanah dan menteri kewangan pasti sudah tahu tentang perjanjian niaga dengan BlackRock.

Mustahil pengerusi Khazanah dan menteri kewangan tidak tahu. Mustahil kerana tiga-tiga malaun ini... opps... maaf, ketiga-tiga ini sosok yang sama!

Hanya kata-kata "Wahai Ismail Haniyeh, ana tipu anta" tidak keluar dari mulut Anwar ketika memeluknya.

Ismail jadi prop – jadi Pak Pacak, pelakon pembantu untuk membantu memperlihatkan Anwar sebagai pemimpin Melayu Islam yang berani menyokong Palestin.

Babak bersama Ismail di Qatar khusus untuk tatapan Bani Melayu. Dituju khusus untuk makcik di Felda Chomomoi dan Pak Lebai di Ulu Senaling.

Tidak sampai seminggu sesudah berpeluk dengan Ismail, berita meledak syarikat milik BlackRock membeli saham MAHB.

Teater Hajarul Aswad ini sedang meluas.

Rupa-rupanya BlackRock ini bukan saja akan memiliki saham MAHB. Dari apa yang tersebar, banyak lagi syarikat Malaysia yang ada pertalian saham dengan BlackRock.

Justeru teater Hajarul Aswad ini akan berterusan. Gaza dan Palestin telah mengkantoikan Anwar. Lakonan cemerlang di Qatar kini menjadi tanda tanya Bani Melayu Islam. 

Kain sarung Anwar telah terkoyak. Kurap sedang dilihat di kepala lutut.