- Iklan -
Rencana

Kebebasan media: Ada Anwar kisah?

Jelas sekali janji kebebasan media adalah palsu dan kebebasan media di Malaysia dalam keadaan kritikal.

Wan Saiful Wan Jan
2 minit bacaan
Kongsi

Dalam ucapan pada Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional 2024, Anwar Ibrahim berkata dia tidak kisah jika kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia jatuh merudum 34 anak tangga ke kedudukan ke-107.

Sikap tidak kisah ini mencerminkan betapa Anwar Ibrahim dan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional sudah hilang komitmen untuk memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan bersuara di Malaysia. 

Itu sebabnya portal atas talian seperti MalaysiaNow, Malaysia Today, TV Pertiwi dan Utusan TV disekat, malah pas media Harakah dibatalkan. Rupanya Anwar tak kisah.

Anwar bukan saja tidak kisah mengenai status kebebasan media. Malahan dia juga tidak kisah harga barang naik, tidak kisah harga minyak disel naik, tidak kisah bebanan rakyat meningkat, dan tidak kisah rintihan rakyat. 

Dia tak kisah sebab bukan dia tanggung kesannya. Bila kos sara hidup rakyat naik, yang susah ialah rakyat sedangkan Anwar kekal hidup mewah. 

Bila media disekat, dia masih bebas sebarkan fitnah. Jadi, apa dia kisah?

Jelas sekali janji PH mengenai kebebasan media adalah palsu dan kebebasan media di Malaysia hari ini dalam keadaan kritikal dan parah. 

Semangat reformasi yang dilaungkan dulu hanya pembohongan untuk merampas takhta. Apabila sudah berkuasa, media dicengkam dengan tindakan drakonian dan kuku besi. Habis semua ditipunya.

Pada 11 April 2018, sebelum kerajaan BN jatuh, Najib Razak pernah berkata kebebasan bersuara dan kebebasan media di negara kita adalah tidak mutlak. 

Kini Anwar mengulangi apa yang Najib kata. Rupa-rupanya Anwar dan Najib hampir-hampir sama sahaja. Cuma Najib lebih baik sebab pada 2018 beliau ada berkata bahawa kebebasan media perlu bersandarkan tiga perkara iaitu tanggungjawab, penerbitan berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan. Tapi Anwar hanya kata "tak kisah" tanpa menggariskan apa-apa isi yang bernas. 

Najib dulu bercakap ada isinya. Tapi Anwar hanya gendang kosong sahaja.

Anwar sepatutnya malu kedudukan Malaysia di tangga 107, baik sedikit saja berbanding Burundi (108), Mongolia (109) dan Zimbabwe (116). 

Seorang perdana menteri yang tak kisah bila negara berada hampir dengan Zimbabwe adalah seorang yang tidak kompeten untuk memimpin negara.

Dalam ucapan yang sama, Anwar juga menimbulkan lagi mengenai isu 3R. Saya lihat yang begitu ghairah mengenai 3R ini ialah Anwar saja. 

Anwar terpaksa mengulang-ulang isu ini kerana dia mahu mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan dia mengurus ekonomi dan sosiopolitik negara. Isu 3R ini adalah "diversion tactic" Anwar Ibrahim.

Saya kesal kerana Anwar menggunakan platform Hari Wartawan Nasional untuk menyebarkan propaganda yang berulang-ulang.

Wan Saiful Wan Jan ialah Ahli Parlimen Tasek Gelugor dan Ketua Portfolio Komunikasi Perikatan Nasional.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.