- Iklan -
Rencana

Hanya 2 syarikat ada kepakaran DRT, janganlah cemburu kejayaan Selangor

Pihak tidak bertangungjawab yang cemburukan kejayaan kerajaan negeri membawa konsep futuristik cuba mengalihkan perhatian masyarakat.

Mohd Fauzi Fadzil
2 minit bacaan
Kongsi

Imej kerajaan negeri Selangor yang telah diterima baik sebagai telus oleh rakyat cuba dicalarkan oleh sesetengah pihak melalui tuduhan tidak berasas membabitkan isu penganugerahan kontrak yang terkait dengan suami kepada Hannah Yeoh. 

Perkara ini sudah dijelaskan Exco Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor Ng Sze Han, bahawa Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (syarikat yang terkait dengan suami Hannah) adalah satu daripada dua syarikat yang dipilih untuk projek rintis demand-responsive transit (DRT). 

Penganugerahan kontrak diberikan kepada dua syarikat terbabit memandangkan hanya mereka sahaja di Malaysia yang memiliki kepakaran dalam projek itu dan lesen untuk mengendalikan kenderaan berkenaan. 

Penganugerahan juga diberikan dengan syarat kedua-dua syarikat berkenaan perlu melalui proses pembuktian konsep selama sembilan bulan, jika benar DRT mampu mengurangkan operasi berbanding perkhidmatan bas Smart Selangor. Barulah kerajaan negeri mempertimbangkan pemberian kontrak berkenaan.

Isu pokoknya yang perlu difahami adalah kontrak pengangkutan bagi menggantikan bas Smart Selangor masih belum diberikan kepada Asia Mobility, justeru tiada sebarang tindakan yang melanggar tatakelola dilakukan oleh mana-mana pihak. 

Kerajaan Selangor masih dalam proses penelitian konsep DRT yang cuba diperkenalkan. Pada 2023 projek rintis untuk aplikasi DRT dilancarkan di empat kawasan terpilih iaitu Puchong, Gombak, Ampang dan Subang Jaya. 

Kerajaan Selangor bercadang memperluaskan aplikasi projek rintis DRT kepada lapan kawasan tambahan menjelang 2024.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Undangan Negeri Selangor pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama 2023 menunjukkan respons positif dan tidak ada perkara yang menghalang DRT diperluaskan memandangkan pengendali projek tersebut telah mendapat kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat.

Tuduhan beberapa pihak berkenaan isu penganugerahan kontrak yang terkait dengan suami Hannah berkisar dengan persoalan mengapa pemberiaan kontrak DRT tidak dilaksanakan secara tender terbuka. 

Perbuatan menganugerahkan kontrak tersebut secara terus kepada dua syarikat terbabit (salah satu daripadanya ada kaitan dengan menteri) dilihat sebagai melanggar prinsip yang diperjuangkan oleh perdana menteri mengenai tatakelola yang telus. 

Persoalan ini telah dijawab dari awal, kerana hanya dua syarikat terbabit yang mempunyai kepakaran dan lesen bagi mengendalikan DRT di Malaysia. Perkara ini dipersetujui perdana menteri dalam beberapa ucapan beliau berkenaan penganugerahan kontrak secara terus kepada bidang kepakaran yang khusus. 

Pemberian kontrak secara terus pernah dilakukan kerajaan Madani melibatkan sektor perubatan (Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd) dan semikonduktor (Kelington Group Bhd), namun ia mesti melibatkan bidang khusus dengan kepakaran yang terhad. 

Malah PM secara terbuka mengeluarkan kenyataan untuk menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan, jika benar wujud elemen salah laku atau rasuah terkait penganugerahan kontrak DRT.

Maka ia adalah di bawah tanggungjawab pihak berkuasa untuk meneruskan sebarang tindakan undang-undang.

Pihak tidak bertangungjawab yang cemburukan kerajaan negeri Selangor atas kejayaan membawa konsep futuristik dalam pentadbirannya cuba membawa isu yang bersifat tetek bengek demi mengalihkan perhatian masyarakat. 

Namun kejayaan sebenar hasil aplikasi DRT tidak pula dibincangkan secara meluas. DRT yang dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi dan laluan sempit mampu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam utama seperti tren dan bas. 

Selangor pada masa ini adalah satu-satunya kerajaan negeri di Malaysia yang berusaha mengaplikasikan konsep tersebut, jika ia berjaya, maka jangkauan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Selangor akan bertambah mudah dan kerajaan negeri akan mampu menjimatkan lebih banyak perbelanjaan operasi untuk pengangkutan awam.

Mohd Fauzi Fadzil ialah timbalan ketua penerangan Pemuda PKR Selangor.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.