Penarikan balik subsidi bahan api diesel baru-baru ini oleh kerajaan sebagaimana yang dijangka akan membawa kesan yang besar terhadap ekonomi dan kadar inflasi dalam negara ini.
Sebelum ini kenaikan harga minyak pernah berlaku pada 2010 di bawah kerajaan Barisan Nasional dengan kenaikan sebanyak 5 sen seliter.
Kenaikan pada skala sekecil itu sahaja pun telah melonjakkan Indeks Harga Pengguna dan Pengeluar masing-masing pada kadar sebanyak 3.5% dan 14.3% pada waktu itu.
Hari ini pula, kerajaan Pakatan Harapan menghidangkan rakyat dengan kenaikan yang jauh lebih besar iaitu sebanyak RM1.20 bagi setiap liter diesel (kenaikan 55.8%) menjadikannya RM3.35 setiap liter.
Kenaikan harga diesel dalam skala yang sangat besar dan secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain.
Kesannya mula dirasakan di seluruh negara pada ketika ini dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terpandu di semua sektor ekonomi.
Subsidi diesel RM200 melalui Budi Madani pula dilihat tidak jelas kaedah pelaksanaannya dengan meninggalkan banyak perincian yang mengakibatkan keciciran agihan kepada golongan rentan seperti petani dan pesawah yang terkeluar dari julat kelayakan untuk memohon subsidi ini.
Sekiranya tindakan kerajaan PH adalah murni untuk mengelak penyeludupan, ketirisan diesel bersubsidi dan pemberian subsidi diesel secara bersasar, kami menggesa kerajaan mengkaji semula langkah ini dan memperkenalkan kaedah yang lebih berfokus untuk dilakukan secara berperingkat.
Di samping itu, kerajaan juga perlu memastikan supaya sebarang mekanisme yang dirangka bagi tujuan tersebut lengkap sebelum dilaksanakan supaya tidak menzalimi rakyat Malaysia.
Kerajaan dilihat tidak acuh terhadap kesan besar yang melanda rakyat dan negara akibat tindakan drastik penarikan subsidi diesel ini yang dilakukan secara tergesa-gesa tanpa mempedulikan kesukaran rakyat.
Kerajaan PH sedang menjerumuskan negara dan rakyat ke dalam lubang krisis ekonomi yang sangat besar.
Ab Halim Tamuri ialah pesuruhjaya PAS Selangor dan Adun Paya Jeras.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.