Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak kisah atau "I don’t care" kalau orang memaki "berbakul-bakul", sebab beliau mempunyai mandat.
Ini adalah suatu kenyataan yang angkuh dari seorang perdana menteri.
Mandat itu kamu dapat sebab kamu berjanji berkali-kali ingin turunkan harga minyak jika diberi peluang mendapat kuasa dan menjadi PM.
Kali terakhir kamu berjanji adalah pada 2022, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15, bukan tahun 2008.
Tetapi bila kamu diberi mandat oleh rakyat dan kamu dapat kuasa dan jadi PM, kamu mungkir janji malah buat yang sebaliknya, iaitu naikkan harga minyak sehingga tertinggi dalam sejarah.
Maksudnya, kamu dapat mandat itu melalui penipuan. Sesuatu mandat yang didapati melalui penipuan adalah salah, tidak boleh dipakai dan tidak sah.
Dalam agama, mendapat sesuatu dengan menipu itu tidak berkat.
Ini bukan kes kamu dapat mandat dulu tanpa berjanji turunkan harga minyak dan selepas itu baru kamu naikkan harga minyak.
Ini kes kamu janji dulu, ingin turunkan harga minyak untuk dapat mandat, dan apabila kamu dapat mandat, kamu tidak amanah dan mungkir janji tersebut, malah buat yang sebaliknya.
Jika kamu tidak kisah dan "don’t care", maksudnya kamu tidak kisah kepada kesusahan rakyat apabila harga barang naik sebab keputusan kamu ini dan akibat kamu mungkir dan tidak amanah kepada janji.
Sekarang kamu kata subsidi itu kononnya "sedekah" kepada rakyat dan bukan hak rakyat seperti yang kamu laungkan dulu.
Rakyat bukan minta sedekah kepada kamu, mereka minta hak mereka.
Nanti di peti undi, kamu jangan minta sedekah rakyat untuk raih undi mereka lagi dengan janji-janji palsu.
Isham Jalil ialah bekas ketua penerangan Umno.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.