- Iklan -
Rencana

Guru dan 8 pelajar terpinggir ditangkap

Tindakan ini hanyalah satu sisi kepahitan hidup ditempuhi kanak-kanak ini yang sedang berusaha mengubah nasib mereka melalui pendidikan.

Mukmin Nantang
3 minit bacaan
Kongsi

Pada 14 Jun sekitar 5.10 petang, ketika dalam perjalanan membawa pelajar untuk bersiar-siar di Kota Kinabalu, van yang dinaiki oleh guru dan pelajar ditahan oleh pihak polis. Mereka terus dibawa ke Balai Polis Kepayan, Kota Kinabalu.

Seorang guru bernama Syahfeeq Rondin ditahan akibat membawa pelajar yang tidak jelas dokumen dan lapan orang pelajar Sekolah Alternatif ditahan kerana mempunyai masalah dokumen. 

Cikgu Syahfeeq mengambil tanggungjawab dan risiko ini demi untuk memberi hak kepada kanak-kanak yang terpinggir untuk hidup bebas menuntut ilmu dan bergerak seperti anak-anak lain. 

Sejak bertahun-tahun, inilah juga risiko yang harus ditelan oleh guru-guru yang telus mahu memperjuangankan anak-anak ini.

Pelajar yang ditahan adalah anak yang lahir di Sabah dan mendapat pendidikan di Sekolah Alternatif seawal awal tahun 2017. Mereka menunjukkan bukti dokumen seperti kad surat lepa (Bajau Laut), kad klinik, surat Jabatan Kebajikan Masyarakat, surat pengesahan ketua kampung dan kad pelajar.

Beberapa orang guru dan pelajar ini sedang menjalankan Jelajah Universiti Alternatif dan Kesatuan Stateless (tanpa kerakyatan). Guru dan pelajar-pelajar sedang giat mengusahakan pendidikan pengajian tinggi untuk anak-anak "stateless" yang akan dibuka pada 8 Julai, 2024 ini. Ini adalah harapan baru untuk anak-anak tanpa kerakyatan.

Antara aktiviti Jelajah Universiti Alternatif ini adalah melawat pusat pendidikan alternatif, berjumpa dengan badan-badan yang boleh membantu pendidikan anak stateless, melawat universiti, mengikuti aktiviti pelajar universiti seperti Suara Mahasiswa UMS dan membentangkan idea-idea untuk membangunkan Universiti Alternatif dan Kesatuan Stateless.

Universiti Alternatif adalah usaha untuk menyediakan peluang pendidikan dan pembelajaran pengajian di peringkat lebih tinggi. 

Anak-anak yang telah meningkat remaja sekitar 16 ke 20 tahun masih berkeinginan untuk terus belajar dan menerokai ilmu yang lebih dalam. Mereka mahu mendapat hak sama seperti manusia lain untuk terus mendapat pendidikan bagi memperbaiki kehidupan mereka yang miskin.

Kesatuan Stateless pula adalah usaha dari pelajar untuk mengumpulkan anak-anak stateless dalam satu organisasi. Mereka percaya ratusan ribu kanak-kanak yang menghadapi hidup yang sulit kerana tidak mempunyai status kewarganegaraan. 

Mereka tidak minta untuk lahir seperti ini. Mereka mahu mencari jalan keluar kepada masalah masyarakat mereka yang selama ini dipinggirkan. 

Jalan keluar kepada hal ini adalah ketika mereka percaya anak-anak stateless yang telah mendapat pendidikan harus terus berbakti dan berjuang untuk hak kehidupan masyarakat mereka sebagai manusia.

Setahun lamanya kami mempersiapkan jelajah ini untuk membuka Universiti Alternatif. Banyak perbincangan yang telah dilakukan bersama pelajar termasuk kebenaran ibu bapa. 

Risikonya memang sangat besar, tapi sampai bila hal anak-anak dan masyarakat ini perlu dilayan begini rupa? 

Anak-anak yang berani untuk keluar dari komuniti mereka sangat sedar akan risiko ini tapi jiwa mereka yang merdeka telah memadamkan ketakutan. Bagi mereka, takut atau tidak, keluar atau tidak, sampai masanya mereka tetap akan ditangkap kerana dituduh sebagai manusia tiada kewarganegaraan. 

Apa pilihan yang mereka ada? Mereka sendiri dari kecil melihat ibu, bapa, keluar, jiran, kawan-kawan mereka ditangkap. Hidup mereka setiap hari dalam ketakutan. Pendidikan telah membawa mereka untuk berani menempuh hidup yang maha sulit ini.

Saya mengambil tanggungjawab ini sepenuhnya. Saya bersama kawan-kawan mahasiswa yang mengusahkan pendidikan pendidikan untuk anak-anak terpinggir sejak 2015 yang lalu. Saya tahu perjuangan ini dari awal penuh dengan risiko. 

Namun sebagai manusia yang berpendidikan, saya sangat percaya semua manusia harus dilayan sama seperti manusia lain. Hak untuk berpendidikan dan hak untuk hidup aman seharusnya dinikmati oleh semua manusia. 

Saya akan terus berusaha untuk membebaskan guru dan pelajar kami. Saya dan organisasi Borneo Komrad akan menjaga kebajikan keluarga guru dan pelajar yang ditahan.

Kami sudah melantik peguam untuk menguruskan isu ini dan mencari jalan terbaik untuk membebaskan guru dan pelajar kami. 

Seorang guru bernama Syahfeeq Rondin adalah mewakili warganegara Malaysia yang prihatin terhadap isu masyarakat terpinggir di Sabah. 

Syahfeeq adalah "guru manusia" dan pejuang keadilan. Tidak keterlaluan jika saya sebutkan Syahfeeq adalah hero kita semua.

Lapan orang pelajar ini mewakili ratusan ribu kanak-kanak yang terpinggir dan tertindas di tanah air ini. Mereka sanggup mendepani risiko ini demi menghantar mesej kepada Malaysia dan dunia untuk pandang ke Sabah dan melihat isu yang maha kejam ini berlaku kepada masyarakat mereka puluhan tahun sejak persekutuan Malaysia dibentuk. 

Di manakah keadilan untuk masyarakat mereka? Ini bukan tentang tangkapan hari ini, ini tentang penangkapan dan penindasan masyarakat mereka hari-hari.

Saya menuntut keadilan untuk guru dan pelajar saya. Mereka bukan penjenayah. Mereka hanyalah manusia merdeka yang mahu hidup aman sama seperti manusia yang lain. 

Saya dan organisasi Borneo Komrad akan terus berkempen dan mencerahkan semua tentang isu ini. Solidariti untuk Cikgu Syahfeeq dan 8 orang pelajar Sekolah Alternatif yang berani. Merdeka dengan pendidikan! Mohon solidariti semua!

Mukmin Nantang ialah koordinator di Borneo Komrad yang memperjuangkan hak pendidikan golongan terpinggir.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.