- Iklan -
Rencana

Aidiladha dimeriahkan jenaka diesel

Janji bulan dan bintang sebelum PRU15 kini 'trending', menjadi ulang-ulangan buat rakyat.

Zurk Ahmad
2 minit bacaan
Kongsi

Sambutan Hari Raya Aidiladha tahun ini ternyata meriah. Meriah dengan lawak jenaka dan perbincangan tentang kenaikan harga diesel. 

Hari Raya yang sepatutnya meriah dengan ibadah korban kini bertukar menjadi cerita rakyat yang runsing dan gelisah dengan kesan berganda daripada kenaikan harga diesel ini.

Belum reda dengan kegelisahan rakyat Selangor akibat kenaikan sehingga 25% cukai taksiran oleh PBT di bawah kerajaan Madani di Selangor, kini diperkenalkan pula dasar yang menekan rakyat ini. 

Rakyat miskin bandar dan M40 di Selangor ibarat jatuh ditimpa tangga.

Respons rakyat di Selangor yang kebanyakannya daripada kumpulan M40 ini ternyata adalah kesan daripada pelaksanaan dasar dan polisi kerajaan persekutuan yang tidak terperinci, culas, ambil mudah dan tidak seiring dengan denyut nadi rakyat di segenap peringkat.

Janji bulan dan bintang Madani sebelum PRU15 kini "trending", menjadi ulang-ulangan buat rakyat Selangor sama ada yang muda atau pun tua, kaya atau miskin, dan di rumah mahu pun di masjid. 

Inilah yang menjadi topik hangat buat rakyat. Mereka bakal terkorban.

Pengumuman mengenai inisiatif harga telur yang melucukan di saat-saat penting bagi umat Islam ternyata menambahkan lagi kekecewaan rakyat Selangor yang sedang tenat bergelut dalam kitaran ganas ekonomi sedia ada.

Jelas kerajaan yang ada pada hari ini adalah kerajaan yang gagal. Gagal memahami derita rakyat. Gagal bermomunikasi dengan rakyat dan gagal melaksanakan dasar dan polisi yang baik untuk rakyat.

PAS Selangor menggesa agar kerajaan hari ini melihat semula teori, prinsip, formula dan kaedah mereka mentadbir negara ini. 

Derita rakyat khususnya miskin bandar yang berada di Selangor ini mesti diambil perhatian. Kesan berganda daripada kenaikan harga diesel kepada peningkatan kos sara hidup buat miskin bandar boleh membawa kepada masalah yang lebih besar seperti ketidakcekapan pekerja dalam industri, gejala sosial, masalah rumah tangga dan kesihatan mental.

Turunlah bersama rakyat di bawah. Dengar dan rasailah derita mereka. Nilailah semula hasrat kerajaan yang menzalimi rakyat dari hari ke hari kepada dasar yang lebih pro rakyat, progresif dan bersifat empati kepada rakyat.

Zurk Ahmad ialah Ketua Penerangan PAS Selangor.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.