- Iklan -
Kolum

Diesel, telur dan dasar subsidi luar tabii

Cerita makan ubi kayu dan kas-kas dah reda, kali ini lepas sembahyang Raya, sumpah seranah untuk Anwar bermula.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ketika saya menggarap tulisan ini, harga diesel ialah RM3.35 seliter, naik 60%. Ini satu langkah kerajaan Madani yang memeranjatkan.

Kenaikan ini hasil dari penghapusan subsidi. Menghapuskan subsidi ini adalah cadangan tetap dan projek kekal Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Dua lembaga ini yang bertanggungjawab mengawal sistem kapitalis dunia.

Ini bukan gormal labun Hishamuddin Rais. Ini kata-kata hikmat Anwar Ibrahim.

Umum wajib sedar, dua lembaga ini tidak dipilih oleh rakyat. Kalau tidak kita pilih atau jemput, bagaimana lembaga ini memiliki kuasa ke atas Malaysia?

Mudah saja. Malaysia mengamal sistem kapitalis. Untuk masuk bersama meniaga jual beli dalam sistem ekonomi global ini wajib ikut cakap Bank Dunia dan IMF. 

Di bawah dua lembaga ini, ada lagi badan-badan yang menjadi polis – World Trade Organisation (WTO) sebagai contoh. Jika enggan ikut nasihat IMF atau Bank Dunia, negara akan disekat ekonomi untuk dimufliskan.

Jika ada negara berani menentang akan dikenakan sekatan ekonomi. Jika tak percaya apa yang saya tulis ini, sila rujuk dengan Cuba, Iran, Korea Utara dan Rusia.

Empat negara yang dicap budak jahat terus jadi sasaran IMF dan Bank Dunia hingga ke hari ini. 

Lihat apa yang terjadi pada Greece. Pada 2009, negara ini cuba membebaskan diri daripada sistem kapitalis. Kerajaan disabotaj dan akhirnya runtuh. Kerajaan baru Greece terus tunduk dengan syarat dengar nasihat Bank Dunia dan IMF.

Jika kurang yakin, sila rujuk dan baca "Confessions of an Economic Hit Man" tulisan orang dalam bernama John Perkins. 

Sosok ini pernah bertugas sebagai polis yang memastikan pemimpin negara Dunia Ketiga mengikut nasihat dan tunduk kepada cabal bank dan lembaga-lembaga sistem kapitalis dunia. 

Jika enggan – akan berlaku rusuhan dan rampasan kuasa. Pemimpin akan dijatuhkan. Jangan lupa apa terjadi kepada Suharto yang menaikkan harga minyak pada tahun 1998.

Anwar tahu perkara ini. Malah Paul Wolfowitz, presiden Bank Dunia ke-10 – sosok yang merancang perang Iraq – adalah kawan baik Anwar sendiri.

Anwar sendiri pernah menjadi pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF dari Mac hingga September 1998.

Dalam debat dengan Ahmad Shabery Cheek pada Julai 2008, Anwar sebagai pembangkang berkata melupuskan subsidi minyak adalah projek dan nasihat Bank Dunia dan IMF.

Pelanduk lupakan jerat – YouTube terus menjerat! Terima kasih Ronald Reagan. Amin.

Komedi subsidi

Dalam tulisan ini saya nak papar wayang sandiwara teater dan komedi yang bersangkutan dengan lupusnya subsidi diesel.

Untuk melupuskan subsidi ini ada caranya. Pertama pilih perkataan yang molek-molek. Jika boleh perkataan yang makcik dan pakcik di Felda kurang faham. Perkataan bahasa asing amat afdal untuk dilihat hebat.

Jangan guna perkataan yang difahami ramai. Jangan guna perkataan hapus. Jangan guna perkataan mansuh. Jangan guna perkataan dihentikan atau ditamatkan.

Hapuskan subsidi atau subsidi ditamatkan senang difahami. Dalam politik kata-kata yang difahami seperti ini membawa mudarat.

Justeru, gunakan "rasionalisasi". Perkataan Inggeris ini lebih tepat. "Rasionalisasi" ini makcik dan pakcik Felda kurang faham maknanya. Jika mereka tidak faham, bermakna baik.

Taktik ubah perkataan ini bermula di zaman Perang Vietnam. Warga Vietnam yang mati kena bom oleh Amerika dilapor media sebagai "collateral damage" (kerosakan sampingan), bukan mati kena bom.

Orang kampung mati kena bom bunyinya tidak molek. Justeru "subsidi ditamatkan" bunyi tidak molek. Wajib diganti dengan "rasionalisasi". Ini lebih cun untuk politik. Orang ramai tidak merasa gentar dengan perkataan rasionalisasi.

Atau, guna perkataan Melayu yang amat jarang dipakai – penyasaran. Apa yang pe? Apa yang sa? Dan apa yang ran makcik Felda tak faham?

Mengolah persetujuan

Sebelum diumum subsidi akan dirasionalisasi, kerajaan Madani mengolah persetujuan. Mengolah persetujuan ini penting.

Caranya amat mudah. Setiap hari dimainkan berita seludup diesel berlaku di laut dan di darat. Tunjuk dalam TV. Ada gambar dalam akhbar. Ada gambar soldadu degan M16 terhunus. Ini gambar dan klip berita yang menakutkan pembaca dan penonton. Fakta salah/benar tidak penting.

Yang penting ada tangkapan. Ada penyeludup. Ada pakcik nelayan jual diesel di tengah laut.

Bertenang sebentar. Ingat kembali operasi tangkap pendatang haram. Operasi "Mini Dhaka" di Kuala Lumpur, Ipoh, Johor Bahru, Kota Bharu ada berita "Bangla" ditangkap beramai-ramai. Ikat berikat tangan digari. Imej menakutkan.

Tidak cukup sekali dilakukan operasi tangkap Bangla, berkali-kali operasi dijalankan. Saya sendiri hairan, walhal kita perlukan tenaga kerja pendatang ini. Saya tertanya-tanya apa makna tangkap pendatang asing ini.

Rupa-rupanya ada udang di sebalik Bangla!

Operasi "Tangkap Bangla" ini hendak dijadikan alasan hapus subsidi diesel. Mereka pendatang tidak harus mendapat subsidi. Mereka bukan warganegara. Mereka "Mat Gelap" dari benua India.

Subsidi minyak Madani hanya untuk warganegara. Justeru pekerja asing digunakan sebagai alasan, sama seperti nelayan seludup minyak sebagai sebab mengapa subsidi wajib dihapus.

Anwar dalam retoriknya terkeluar sikap anti-pendatang asing. Cakap terlepas cakap, hingga jumlah pendatang asing di Malaysia menjadi 38 juta orang. Ini dari retorik mulut Anwar sendiri, bukan penglipur lara dari Hishamuddin Rais.

Ini cara menakutkan orang Melayu agar menerima rasionalisasi diesel. Pekerja asing kini lebih ramai dari jumlah penduduk Malaysia. "Bangla makan subsidi", "Bangla minum subsidi", dan Anwar datang untuk selamatkan kita semua!

Pelik tetapi benar – wilayah seludup yang banyak di Sabah dan Sarawak. Jangan ketawa: subsidi diesel di Sabah dan Sarawak tidak dihapuskan. Lubuk seludup masih selamat.

Dasar diesel pelik luar tabii

Ini betul dasar rasionalisasi diesel pelik yang di luar tabii.

Kaji punya kaji, pendatang asing dari Bangladesh, Myanmar, Vietnam dan Indonesia bukan pengguna tegar diesel. Mereka bergerak naik bas. Mereka bergerak naik motosikal.

Hujah pendatang asing makan-minum subsidi kini kantoi. Pendatang asing digunakan untuk dibenci agar makcik dan pakcik Felda menerima penghapusan subsidi oleh Anwar Ibrahim.

Jangan lupa PADU, sistem yang dikatakan terbaik tercanggih untuk rujukan maklumat, siapa berhak dapat bantuan Madani ada dalam PADU.

Tup tup PADU belum sempat kumpul semua data 30 juta warga Malaysia, muncul pula BUDI. Sistem baru ini dijadikan tempat rujukan data untuk mendapat RM200 sebulan untuk membeli diesel.

Harga diesel naik hari Rabu, hari Khamis Anwar mendapat sumpah seranah dari pengguna diesel.

Dari YouTube, saya melihat seorang petani dengan trektar sedang membajak tanah sawah. Pak Tani ini menyumpah Anwar Ibrahim.

Di hari sama, saya menonton klip YouTube seorang Abang India marah menyumpah Anwar Ibrahim. 

Dan seorang Abang Cina jurujual menyumpah Anwar Ibrahim.

Algoritma YouTube pada hari itu terus memaparkan klip kutuk dan sumpah seranah orang ramai kepada Anwar Ibrahim.

Rakyat marah harga diesel dinaikkan. Orang ramai semua bangsa marah harga bahan harian akan ikut naik sama.

Bagaimana dengan bantuan RM200?

Pak Tani dengan loghat Utara menjawab: RM200 ini tidak akan memenuhi tangki minyak. Trektar boleh membajak dua tiga hari. Walhal membajak sawah ini berulang-ulang sebelum padi ditanam.

Abang Cina jurujual mengatakan perniagaan kereta terpakai menggunakan diesel banyak gulung tikar.

Sumpah seranah tak habis-habis ditujukan kepada BUDI. Ramai pengguna diesel belum mengisi borang BUDI untuk mendapat RM200 sebulan.

PADU dan BUDI = Rafizi dan Anwar

Perkara BUDI dan PADU ini memeningkan. Orang ramai tak faham. 

Ada kisah di belakang BUDI dan PADU. Sebenarnya apa yang terjadi ialah perselisihan antara Rafizi dan Anwar. PADU dibina oleh Rafizi. Anwar sailang pengaruh dan data Rafizi melalui BUDI.

Ini manifestasi pergeseran politik antara Rafizi dan Anwar. Pergeseran ini sedang merebak. Yang jadi mangsa orang ramai.

Untuk menyedapkan cerita minyak diesel, muncul satu lagi cerita.

Diesel naik harga sebelum raya haji. Ertinya semasa makan lemang dan rendang di kampung, kisah diesel menjadi bahan cerita. Sambil makan nasi himpit sambil menyumpah kerajaan Anwar.

Cerita makan ubi kayu dan kas-kas dah reda. Bukan lagi judul perbualan nasional. Kali ini lepas sembahyang raya, sumpah seranah untuk Anwar bermula.

Klip janji-janji Anwar jika dia jadi PM bersepah-sepah dalam YouTube. Janji harga minyak akan turun dilihat oleh ratusan ribu penonton dan jutaan share dan like.

Inilah hebatnya YouTube – pelanduk lupakan jerat YouTube terus menjerat. 

Heboh harga diesel lebih heboh dari Jom Heboh. Pesta Raya Haji tahun ini ialah pesta maki hamun Anwar.

Fahmi dan telur

Pada petang raya, iaitu Hari Mantai dalam istilah Negeri Sembilan, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil buat pengumuman: esok perdana menteri akan buat pengumuman tentang hal kos hidup. Ini isi pengumuman Fahmi.

Semua mata terbeliak. Ini pasti penting. Ada pengumuman untuk pengumuman. Apakah harga diesel baru akan dibatal? Apakah RM200 BUDI akan menjadi RM500?

Di pagi raya haji, Anwar umum harga telur turun 3 sen. Betul potong stim. Sumpah seranah mula sampai ke muka Anwar.

Tiga sen! Harga telur Anwar jatuh tiga sen! Kerajaan Madani terus jadi bahan lawak. Internet, YouTube, TikTok heboh tentang "telur Anwar".

Niat dan rancangan Anwar untuk alih perbualan diesel di pagi raya gagal. Projek pengumuman kantoi. Harga telur Anwar jadi bahan lawak.

Jelas, Internet, YouTube dan TikTok kini menjadi medan mengutuk Anwar dan kerajaan Madani. Justeru Anwar dan Fahmi akan ambil langkah untuk menibai Internet. Itu cerita lain. Sila tunggu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.