- Iklan -
Editorial

BlackRock: Adakah Anwar akan lakukan perkara betul?

Dalam tempoh tak sampai dua tahun, Anwar Ibrahim berjaya mendirikan mercu tanda kemunafikan yang mengatasi ketinggian pencakar langit didirikan pemimpin terdahulu.

Abdar Rahman Koya
3 minit bacaan
Kongsi

Pada minggu sama Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan penyokongnya sibuk mempertahankan rancangan membawa masuk BlackRock, pengurus dana Amerika Syarikat yang menjadi sinonim dengan jenayah Israel, beberapa negara lain menyaksikan perkara yang sebaliknya berlaku.

Rancangan itu menyaksikan Global Infrastructure Partners (GIP) dimiliki BlackRock memiliki 30% kepentingan dalam sebuah konsortium menguruskan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), bersama-sama dana kerajaan Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan yang diterajui Anwar.

Kerajaan ketandusan hujah dalam mempertahankan rancangan itu di sebalik bantahan daripada pelbagai pihak yang tegas menghalang mana-mana syarikat yang ada sedikit pun terlibat memperkasakan Israel, daripada menghampiri sebuat aset strategik menguruskan lapangan terbang.

Kini, Anwar dan orang kanan partinya Rafizi Ramli, tampil sebagai pelawak disebabkan tindak-tanduk mereka sendiri.

Minggu lalu, selepas ucapannya yang seperti biasa cuba menunjukkan beliau berdamping dengan tokoh ternama, Anwar menyifatkan pihak yang membantah rancangan itu "lebih Hamas daripada Hamas".

Rafizi pula baru-baru ini muncul dengan alasan baru: kerajaan berdepan pilihan sukar antara menaik taraf lapangan terbang dan menambah baik hospital. Begitulah hujahnya dalam menghalalkan keperluan membawa masuk dana asing ke dalam MAHB.

Ketika semua ini berlaku, pelbagai kerajaan dan pertubuhan semakin lantang menjauhkan diri daripada syarikat yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada pencabulan hak asasi manusia Palestin selama beberapa dekad.

Negara-negara ini mempuyai hubungan diplomatik dengan Israel, namun ia tidak menghalang mereka melahirkan rasa jijik dan bertindak terhadap jentera perang Zionis.

Di Norway, yang sering dipetik pemimpin Pakatan Harapan sebagai model pengurusan dana negara, sebuah dana pencen swasta terbesar di negara itu melepaskan saham dan bon dalam Caterpillar Inc bernilai hampir AS$70 juta disebabkan syarikat jentolak itu kemungkinan terpalit dalam pelanggaran hak asasi manusia di Tebing Barat dan Gaza.

Di Australia, datuk bandar Sydney bertekad membatalkan kontrak dengan mana-mana syarikat yang terlibat atau mendapat keuntungan daripada penjajahan Israel di wilayah Palestin dan pembekalan senjata kepada rejim itu.

Di AS, South by Southwest, pesta tahunan meraikan filem, media dan muzik, membatalkan penajaan US Army dan kontraktor pertahanan RTX Corporation.

Banyak lagi contoh lain bagaimana masyarakat, kerajaan dan institusi seluruh dunia mengambil langkah serupa supaya mereka tidak terpalit, walau sedikit pun, dengan jenayah Israel yang berlarutan.

Benar, mereka tidak bertindak pada masa lalu meskipun kekejaman Israel terhadap Palestin sudah berterusan sejak tujuh dekad yang lalu.

Tetapi mana mungkin manusia dengan rasa kemanusiaan sebesar zarah pun boleh berdiam diri ketika pembunuhan beramai-ramai dipancarkan sepanjang hari di tapak tangan mereka?

Menggunakan posisi kuasa untuk berbuat sesuatu menghentikan pembunuhan beramai-ramai orang awam - walaupun kesannya kecil kepada Israel - adalah lebih bermakna daripada mengarahkan pelajar sekolah berarak dengan sepanduk menyokong Palestin, atau beraksi di hadapan lautan mafla Palestin di stadium sambil dihiburkan lagu dan deklamasi sajak menyatakan solidariti dengan Palestin.

Selepas serangan 7 Oktober dan pengeboman besar-besaran ke atas Gaza, Anwar berkunjung ke seluruh dunia, muncul di pelbagai ibu kota, cuba mendapatkan secebis publisiti di khalayak global yang sentiasa berharap dan berdoa agar kali ini, negara Islam sekurang-kurangnya akan bertindak.

Siapa sangka, tak sampai tujuh bulan, Anwar terbukti sama sahaja dengan beberapa pemimpin dan raja Arab yang terkenal dengan sikap cakap tak serupa bikin.

Bukanlah mengharapkan Anwar mengambil pendirian lebih tegas dalam menyatakan sokongan kepada Palestin – masih segar lagi ingatan kita tentang pendiriannya sedekad lalu mempertahankan hak keselamatan Israel.

Tetapi ucapan lantangnya membidas Israel dan Washington susulan perang ke atas Gaza membuatkan kita bersedia memaafkannya atas keterlanjuran kata setiap kali diasak wartawan media Barat.

Apa yang pasti, melakukan perkara yang bertentangan dengan apa yang diucapkan adalah hipokrisi.

Kontroversi BlackRock akan menjadi satu lagi lebam mata untuk Anwar, dan detik hitam untuk Malaysia, yang selama beberapa dekad berpegang kepada dasar menentang sebarang pencabulan hak, biarpun dengan kata-kata di bibir sahaja.

Dahulu, pemimpin Malaysia mengambil masa bertahun-tahun untuk merealisasikan obsesi mereka mendirikan bangunan pencakar langit.

Kini, dalam tempoh kurang dua tahun sahaja, Anwar dan kerajaannya berjaya mendirikan mercu tanda kemunafikan yang jauh mengatasi ketinggian semua pencakar langit itu.

Masih belum terlambat untuk Anwar melakukan perkara yang betul. Melakukan perkara yang betul tidak perlu waktu yang sesuai.

Jika benar Anwar tidak kisah ugutan dan ancaman kuasa Barat (seperti yang pernah didakwanya), dan jika beliau ada terkesan sedikit pun dengan derita rakyat Palestin, dan jika beliau kisah dengan kemungkinan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai, maka beliau akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana mempertahankan keputusan yang tidak bermoral dan membatalkan perjanjian dengan GIP.

Takpalah, cukup sekadar batalkan perjanjian itu.

Abdar Rahman Koya

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.