- Iklan -
Rencana

'Percayalah, kami akan tawan balik Sungai Bakap'

Pemuda PKR bertungkus lumus memberi penerangan mengenai usaha kerajaan namun tetap ditolak pengundi.

Mohd Fauzi Fadzil
2 minit bacaan
Kongsi

Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap telah menutup tirainya dengan menyaksikan calon yang dipertaruhkan oleh kerajaan Madani iaitu Joohari Ariffin diisytiharkan tewas. 

Kekalahan tersebut disambut penuh keinsafan dan tawaduk oleh perdana menteri dengan menerima suara rakyat di DUN berkenaan. Sifat berlapang dada ini harus menjadi ikutan sekalian pendokong kerajaan Madani berbanding sikap menuding jari bagi mempertanggungjawabkan kekalahan di DUN tersebut.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) tidak terkecuali menerima tudingan jari atas tuduhan gagal menarik undi golongan belia kepada Joohari. 

Dapatan oleh beberapa badan pengkaji menyatakan calon kerajaan menerima kurang 20% undi dari golongan belia berketurunan Melayu, undi dari golongan belia bukan Melayu kekal tinggi menjangkau 90%. 

Namun kadar keluar mengundi belia bukan Melayu turun dengan ketara (Cina 47% dan India 58%).

Kepimpinan AMK dari seluruh negara telah berjuang sehabis baik sepanjang tempoh berkempen. Kepimpinan utama AMK iaitu Adam Adli berulang-alik ke medan kempen bagi mengepalai perjuangan. 

Pelbagai program dengan niat menawan hati pengundi belia telah AMK lakukan seperti Ziarah Kasih Madani, Speaker Corner, Walkabout, Pentas Anak Muda, Pertandingan Sukan dan BBQ Pemuda. 

Namun kesemua pendekatan ini gagal menenggelamkan isu sebenar yang menentukan undi golongan belia di Sungai Bakap.

Isu paling utama yang menjadi rungutan golongan belia adalah berkenaan kos sara hidup. Sememangnya kesan dasar penyasaran subsidi dalam tempoh pasca-Covid ini memberi tekanan kepada kos sara hidup semua golongan termasuk belia. 

Jentera AMK yang ditugaskan membantu lapan daerah mengundi di Sungai Bakap telah cuba meyakinkan pengundi belia bahawa kerajaan dalam proses memperbaiki ekonomi negara. Pelaburan luar telah dibawa masuk secara besar-besaran, malah dasar subsidi bersasar ini bakal menjimatkan hasil negara dari ketirisan. 

Namun hasil pelaburan dan dasar yang diusahakan oleh kerajaan memerlukan masa untuk menampakkan kesannya kepada kesejahteraan rakyat.

Pengundi belia di Sungai Bakap turut menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap isu masalah kekurangan sumber air di Sungai Bakap. Penerangan diberikan bahawa masalah tersebut hanya melibatkan Mukim 5.

Pihak tidak bertanggungjawab telah berjaya memainkan isu perkauman akibat kelewatan kerajaan negeri Pulau Pinang diterajui DAP menyelesaikan masalah air membabitkan kawasan majoriti Melayu di Mukim 5. 

Penyelesaian masalah air di kawasan tersebut yang mengambil masa hampir 6 tahun telah mengguris perasaan pengundi belia di kawasan tersebut, namun jentera AMK sentiasa meyakinkan pengundi bahawa kerajaan menyediakan penyelesaian projek jangka pendek (LRA Bukit Panchor) dan panjang (Projek Air Perak dan Pulau Pinang) untuk masalah tersebut. 

Sesungguhnya sentimen pengundi belia tidak dapat dijernihkan dengan mudah kerana ia memerlukan masa sebagai syarat kemenangan. 

Kepimpinan AMK percaya masalah melibatkan kos sara hidup atau masalah infrastruktur di Sungai Bakap pasti akan diselesaikan namun ia memerlukan masa. 

Takdir tidak menyebelahi Joohari Ariffin kerana PRK Sungai Bakap berlaku pada masa yang kurang tepat. 

Namun percayalah, menjelang pilihanraya akan datang, setelah kesemua isu berbangkit diselesaikan, maka Sungai Bakap pasti akan dapat ditawan semula.

Mohd Fauzi Fadzil ialah pengarah komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.