- Iklan -
Kolum

Syed Husin Ali yang aku kenali

Sosok jujur yang mungkin tidak arif dengan liku-liku dan helah politik, yang kekal setia kepada Anwar Ibrahim sehingga akhir hayatnya.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku mula kenal Syed Husin Ali pada tahun 1971, ketika baru masuk Universiti Malaya dalam Fakulti Sastera. 

Syed Husin jadi pensyarah. Dia mengajar ilmu sosiologi dan antropologi. Aku tak pernah belajar ilmu ini. Masa itu ilmu ini masih lagi berpusat dalam Jabatan Pengajian Melayu.

Jadi aku kenal Syed Husin bukan dalam kuliah. Aku kenal Syed Husin kerana aku mendaftar menjadi ahli Kelab Sosialis.

Ketika Minggu Orientasi, aku ternampak iklan dalam kertas A4, "Forum Kelab Sosialis – Pengalaman Tahanan ISA". Ahli panel Tajuddin Kahar dan Karam Singh, bekas tahanan politik.

Aku tak pernah dengar nama Tajuddin Kahar. Nama Karam Singh aku telah dengar pada tahun 1968. Aku baca berita Karam Singh dalam Utusan Malaysia. Sosok ini seorang peguam yang membantu mogok penoreh getah di Asahan. Mereka berjalan kaki dari Melaka ke Kuala Lumpur.

Aku telah mendengar nama Kelab Sosialis semasa aku di Kolej Melayu lagi, melalui akhbar Mahasiswa Negara (MN) – akhbar rasmi Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Justeru aku tertarik dengan iklan yang memaparkan nama Karam Singh dan Tajuddin Kahar.

Sayangnya aku tidak hadir ke forum ini. Aku ditakut-takutkan oleh Shah – seorang senior dan ahli jawatankuasa orientasi Kolej Kelima.

"Jangan pergi... ramai SB ada nanti...," kata-kata Shah yang tidak akan aku lupai hingga hari ini.

Selesai tiga minggu orientasi, aku tidak lagi dikawal senior. Aku pergi ke Union House (Rumah Persatuan) untuk mencari Kelab Sosialis.

Aku bertemu Lee Chee Keong. Dari sinilah bermulanya dunia sosialis aku.

Dua minggu kemudian aku dijemput ke pertemuan pertama Kelab Sosialis. Pada petang Rabu, kami bertemu di bilik bacaan Fakulti Sains.

Aku ingat lagi petang itu. Kumpulan kami tak sampai 10 orang. Hanya aku pendatang baru yang melamar untuk menjadi ahli. Jamuan teh Kelab Sosialis pada petang itu disertai Syed Husin, Usman Awang dan Latif Mohidin.

Ini kali pertama aku bersalaman dengan Syed Husin, Usman dan Latif.

Usman aku kenali sebagai penyajak. Aku pernah terlibat dalam projek pantomim Ke Makam Bonda pada tahun 1960 di Sekolah Umum Ulu Klawang. Latif pernah aku dengar dan baca sajaknya dalam majalah Dewan Sastera ketika aku Tingkatan 4. Latiff baru pulang dari Jerman.

Pada hemat aku, Kelab Sosialis menjemput tiga sosok ini kerana mereka menganuti fahaman sosialis, atau bersimpati dengan ideologi sosialis. Ini andaian aku. Tak banyak yang kami bualkan pada petang itu. Aku masih lagi "freshie".
 
Petang itu juga aku bertanya dengan Syed Husin tentang buku yang wajib aku baca untuk memahami apa itu sosialisme.

"Datang ke pejabat," jawab Syed Husin.

Senin petang, aku ke bilik Syed Husin. Bilik pensyarah ini tidak lumayan dan penuh dengan buku-buku.

"Nah, baca buku ini," Syed Husin menghulur buku "The Essential Left".

Petang itu, aku mula berkenalan dengan Marx, Lenin Engels dan Mao.
 
Hari ini aku sudah lupa apa isi buku itu. Tapi nama-nama ini menjadi tidak akan aku lupakan.

Ada beberapa kali aku hadiri forum di mana Syed Husin menjadi ahli panel di Dewan F, dewan kuliah terbesar di Fakulti Sastera. 

Syed Husin penyampai hujah yang baik dan tertib. Ini watak sosok berilmu dan rendah diri.

Pada penggal pertama, memang banyak forum kerana peperiksaan lambat lagi. Setiap persatuan, termasuk Persatuan Bahasa Melayu, amat aktif. Begitu juga Persatuan Islam dan Kelab Sosialis yang selalu menganjur forum.

Tapi aktiviti kami yang paling kerap ialah perbincangan tertutup di mana hanya ahli Kelab yang boleh hadir.

Di sini Syed Husin menjadi "resource person". Dia mengupas politik semasa dan juga politik antarabangsa. Aku banyak belajar dari pandangan Syed Husin.

Satu perkara yang aku ingat dan tersusun yakin hingga hari ini ialah apabila Syed Husin berkata "...Tahap tertinggi sistem kapitalisme ialah imperialisme, hari ini apa yang kaum reaksioner lakukan hanyalah 'to contain' kedatangan sosalisme."

Ketika ini Syed Husin juga aktif dalam Parti Sosialis Rakyat Malaysia (PSRM). Apa jawatan dia dalam PSRM aku tidak tahu. Tahun 1971, PSRM masih ada YB: seorang di Pulau Pinang dan seorang lagi Cikgu Zul dari Pahang yang ditahan ISA. 

Parti berlogo kepala lembu ini dipimpin oleh Kassim Ahmad.

Tahun 1972, aku mendengar desas desus perbezaan dalam PSRM. Kassim membawa garis sosialisme saintifik, justeru mengubah nama Parti Rakyat untuk menjadi Parti Sosialis Rakyat Malaysia.

Syed Husin dan adiknya Syed Hamid mahu kekal nama dan garis politik nasionalis Parti Rakyat. Sebagai penganut baru dan juga bukan ahli parti, aku tidak berapa faham apakah yang menjadi perbalahan sehingga Syed Hamid digantung keahlian.

Baling 1974, Demo Baling. Pagi Selasa 3 Disember 1974 di Dataran Merdeka. Demo ini tanda bersetia kawan anak muda dan pelajar menyokong rakyat Baling yang telah keluar ke jalan raya. Mereka marah pada kerajaan. Harga getah murah dan harga bahan makanan mahal. Tambah pula musim hujan menjadikan kehidupan perit terdesak.

Warga Baling kaya dengan kemiskinan. Mereka makan ubi gadung. Jika silap cara, ubi gadung boleh membawa maut.

Pada Rabu 4 Disember, aku mengadakan forum terbuka secara spontan di Dewan Tunku Canselor. Dewan yang boleh muat tiga ribu penuh atas bawah. Antara pengucap pada hari itu yang aku ingat ialah Tengku Shamsul, Khoo Kay Kim dan Syed Husin Ali.

Aku tidak akan lupakan apa kata Syed Husin: "Nanti akan muncul Melayu Kong yang bangun menentang kerajaan.".

Melayu Kong merujuk kepada Viet Cong yang mengangkat senjata melawan Amerika di Vietnam.

Tengah malam Khamis, Syed Husin ditangkap di bawah ISA. Aku meninggalkan tanah air. Syed Husin dipenjara selama 7 tahun.

Aku melarikan diri dari kampus. Sebelum berjaya meloloskan diri ke Siam aku menyorok di beberapa tempat termasuk di Kampung Tunku, di rumah Tongkat Waran, Usman Awang.

Satu petang Tongkat pernah bercerita tentang Syed Husin. Rumah Syed Husin tidak jauh dari rumah Tongkat.

Mengikut surah Tongkat, Syed Husin berkahwin dengan Kak Sabariah, anak murid dia dan gadis ayu berasal dari Kelantan.

"Dia kahwin di rumah Abang," Tongkat membahasakan dirinya Abang.

"Dua minggu lepas kahwin, Syed datang jumpa Abang, dia menangis."

Aku menjadi hairan.

"Dalam esakan itu, Syed berkata, 'Kalau kahwin sedap macam ini, dari dulu lagi saya dah kahwin'." 

Tongkat terbarai ketawa. Aku ketawa sama.

"Syed kahwin lambat." Ini surah Tongkat dan aku menjadi perawi sahih.

Syed akhirnya dibebaskan. Tahun 1987, aku bertemunya di London, di Hyde Park.

Syed menceritakan bagaimana dia diberi pilihan oleh "King Gazh", Ghazali Shafie, menteri dalam negeri waktu itu.

Syed dikaitkan dengan Dr Mahathir Mohamad sebagai "kiri", dan disuruh mengaku jadi orang tengah penghubung Mahathir dan Parti Komunis Malaya.

"Aku tak mahu. SB paksa aku. Kalau setuju, aku akan dibebaskan. King Ghaz nak jadi PM."

Syed menerangkan rancangan Ghazali untuk menangkap Mahathir.

"Pasal kau lah Madey selamat, terus berkuasa," aku melawak. 

Kini kami sudah menggunakan aku dan kau. Tidak ada lagi tabir guru dengan murid.

Pulang dari berkelana, aku berhubung baik dengan Syed. Malah tak sampai sebulan aku di kampung, Syed jemput aku datang ke rumah dia di Kampung Tunku. Aku jadi tamu. 

Yang dijemput sama Dr Rajakumar, juga "orang kiri". Doktor ini bekas pemimpin Parti Buruh dan bekas tahanan politik. Pada malam itu kami bertiga memperkukuh perjuangan.

"I will do it all over again." Aku berkata kepada Rajakumar bila dia bertanya apa perancangan masa depan aku.

PSRM kini jadi Parti Rakyat Malaysia kembali, dan dipimpin Syed Husin.

Aku masih setia dengan garis politik kiri. Aku juga tidak akan masuk mana-mana parti. 

Tahun 1998, Anwar Ibrahim disingkir dari kerajaan dan Umno. Gerakan reformasi meledak. Awalnya aku tidak ambil pot. Aku rasa ini pertelagahan dalaman parti Umno.

Hassan Karim dan Tian Chua ajak aku terlibat sama dalam gerakan reformasi. Aku tak kenal sangat dengan Tian Chua. Tapi Hassan kenalan lama aku. Dia mahasiswa Fakulti Pertanian, dan kami bersama dalam Kelab Sosialis. 

Akhirnya dari seorang pemerhati dan perakam sejarah, aku ditangkap dan dituduh "dalang" oleh Mahathir.

Maka aku buktikan betulkah aku ini dalang.

Akhirnya 10 aktivis reformasi termasuk aku ditahan di bawah ISA. Aku dihantar ke Kamunting bersama Tian, Lokman Adam dan Ezam Nor, Pak Abu dan Badrul Amin.

Ketika dalam Kem Kamunting, aku berutus surat dengan Syed Husin. Aku menyokong kerjasama dan penyatuan Parti Keadilan Nasional (PKN), parti ditubukan penyokong Anwar, dengan PRM. 

Surat-surat aku diseludup keluar oleh peguam Latheefa Koya, Sivarasa Rasiah dan Jonson Chong. Kesemua peguam ini ahli PRM.

Aku ingat lagi seminggu satelah keluar dari tahanan dua tahun di Kamunting, aku berjumpa dengan Syed Husin di kedai Mydin di Bangsar Utama.

Syed Husin bertanya khabar. Petang itu dia menghulurkan RM200 ke dalam tangan aku. Jumlah yang lumayan untuk sosok yang baru keluar dari penjara. Lega juga aku pada ketika itu.

Penyatuan PRM dan PKN menghasilkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan dirasmikan pada 3 Ogos 2003. Aku terlibat menyusun pertunjukan di pentas Dewan Perhimpunan Cina.

"Aku ada berbincang dengan Anwar agar kau dan Hamid masuk ke dalam parti," Syed Husin bersurah setelah Anwar dibebaskan. 

Hamid ialah adiknya, Syed Hamid Ali, yang juga bekas presiden PMUM dan bekas gerila Parti Komunis Malaya.

"Anwar kata, entah nak, entah tidak Isham dan Hamid masuk."

Aku tersenyum dan merakam.

Pada PRU ke-14, kemenangan Pakatan Harapan di bawah Mahathir mengembalikan beliau ke jawatan perdana menteri sekali lagi. Anwar diberi pengampunan. Dalam kerajaan baru, Syed Husin dilantik menjadi senator Dewan Negara.

Aku memberitahu Syed Husin untuk bertanyakan soalan kepada rakan senatornya, Jins Shamsuddin.

"Syed, kau tanya Jins Shamsuddin, berapa banyak dia dapat bajet dari Kerajaan Perak untuk buat filem Pasir Salak."

Dua bulan kemudian, aku bertemu Syed Husin.

"Sham, aku dah tanya Jins Shamsuddin hal bajet Pasir Salak, dia dah jawab," kata Syed Husin.

Aku bertanya lagi: "Bila ditanya? Di mana? Aku tak baca pun berita dalam akhbar, kau tanya bila Syed?"

"Aku tanya dia di kantin Dewan," Syed Husin jawab dengan tersenyum bangga.

Aku hilang kata-kata. Lalu aku teringat cerita Tongkat tentang Syed Husin menangis pada malam pertama satelah kahwin.

Aku merasa sedih mendengar jawapan Syed Husin tentang Pasir Salak. Aku terperanjat dan sedih kerana dia bangga dan gembira.

Walaupun Syed Husin seorang pemikir dan cendekiawan Melayu yang jujur dan baik hati, bagi aku dia gagal melihat tujuan politik aku dengan kes filem Pasir Salak yang hingga hari ini masih terbengkalai.

Bila Syed Husin diberitakan sakit, aku sempat menziarahinya di Hospital Selayang, ditemani Kamarazaman Yaakob, bekas ahli kelab.

Sosok jujur ini telah meninggalkan kita untuk selama-lamanya.

Di tanah perkuburan Bukit Damansara, ramai yang hadir. Jomo, Rosli, Tian Chua, Sivarasam dan sosok-sosok dari garis kiri. Ri dan Siti Nor anak Hamid Tuah ada sama, ini kawan setia keluarga Syed Husin.

Begitu juga golongan muda seperti Jonah, Amin Jambu, Rozan, Jamaliah cucu Shamsiah Fakeh, Quratol dan gadis Tionghua anak buah Rahman Embong.

Tidak ketinggalan Che Lah dari Kota Baru, orang lama Parti Rakyat. Juga Syed Hamid Ali, adik arwah berkerusi roda. 

Kamarazaman sampai lewat kerana tersesat jalan.

Di tanah perkuburan, seorang sahabat aku menelefon. "Anwar datang tak?".

"Tak nampak, tak datang," jawabku.

Aku tidak pasti kenapa Anwar tidak kelihatan di tanah perkuburan. Syed Husin bekas timbalan presiden PKR, dan ketika Anwar dalam penjara, kubu PKR dijaganya bersama Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mungkin Anwar sibuk dengan urusan negara. Mungkin sibuk membaca dan meneliti laporan kewangan BlackRock.

Walau apa pun aku masih merasa hairan kenapa Anwar tidak hadir di tanah perkuburan. 

Setahu aku, Syed Husin percaya sepenuhnya bahawa Anwar tidak bersalah dalam pertuduhan dan sabitan liwat.

"Semua itu konspirasi," katanya dulu.

Itulah Syed Husin, dan mungkin jika Anwar tahu ini pandangan Syed Husin, pasti dia hadir di tanah perkuburan pada pagi itu.