Sebulan selepas pilihan raya umum pada 2022, saya menulis mengenai pelantikan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Saya memetik Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang menyatakan pelantikan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu di Istana Negara.
Ia membuktikan kerajaan hari ini adalah kerajaan titah. Agong yang mewakili Raja-Raja Melayu bertitah agar didirikan kerajaan perpaduan..
Minggu ini perkara sama muncul kembali, iaitu keabsahan kerajaan pimpinan Anwar masih dipertikaikan.
Ini bukan perkara baru. Semenjak Anwar naik takhta, kedudukan kerajaan titah ini terus dipertikai.
Awalnya bagaimana Anwar naik takhta ini jadi perbualan ramai. Kemudian ianya mengenap tapi masih membara. Kini meledak sekali lagi.
Ada beberapa perkara yang menarik bersabit dengan kerajaan titah ini. Perkara-perkara ini timbul kembali untuk menjadi perbualan nasional.
Ketika kempen pilihan raya kecil Nenggiri, Muhyiddin Yassin mendakwa sebaik saja PRU15 selesai, Perikatan Nasional (PN) memiliki sokongan 115 ahli Parlimen yang membolehkan PN mendirikan kerajaan. Jumlah ini mencakupi juga parti dan gabungan parti dari Sabah dan Sarawak.
Sabar dulu. Kira punya kira, para YB dari Sabah dan Sarawak pun masih tidak mencukupi untuk PN menubuhkan kerajaan.
Dari mana Muhyiddin cekau jumlah 115 YB ini?
Siapa YB Umno?
Dari berita yang tersebar, bersama jumlah 115 YB ini, termasuk juga 10 YB dari United Malays National Organisation.
Fakta jumlah dari United Malays National Organisation ini penting. Tapi yang lebih penting untuk 30 juta warga Malaysia (tidak termasuk pendatang haram dari China Merah dan Mat Bangla), siapa nama-nama YB dari United Malays National Organisation itu?
Nama-nama YB dari United Malays National Organisation yang menyokong PN ini penting untuk diketahui kerana ianya membawa makna politik yang dalam.
Satu nama yang selalu disebut ialah Hishammuddin Hussein. Ini tidak mustahil kerana sosok ini telah digantung keahliannya. Siapa lagi?
Satu Malaysia hendak tahu kerana YB-YB yang menyokong PN ini jelas adalah sosok-sosok yang menentang kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi. Para YB bersama PN ini adalah wira parti Melayu yang berani melawan arus.
Juga para YB yang bersama PN ini membuktikan bahawa kepimpinan Zahid masih dipertikaikan. Kedudukan Zahid sebagai presiden parti goyah dan sentiasa dilawan.
Amat jelas kedudukan Zahid sebagai presiden parti ditentang dari luar dan dari dalam parti sendiri. Ini selari dengan semangat para pengundi Bagan Datuk yang menentang Zahid. Zahid hanya menang dengan kelebihan 348 undi.
Bukan sahaja para YB ini menentang Zahid malah ratusan ribu ahli United Malays National Organisation juga tidak menyokong Zahid.
Mana buktinya? Mudah sahaja. Bukti yang amat ketara ialah keputusan PRK Sungai Bakap. Berduyun-duyun ahli United Malays National Organisation tidak turun mengundi. Dan untuk menyakitkan hati Zahid, ramai pula ahli parti berpaling tadah mengundi PN.
'Bukak mulut mohong'
Kenapa ini berlaku? Mudah sahaja. Zahid dilihat dolak dalik atau "kluk klak" dalam bahasa orang Terengganu. Zahid yang bersumpah "No Anwar No DAP" kini menelan sumpah sendiri.
Zahid juga dilihat sama seperti Anwar, iaitu "bukak mulut mohong".
Wajib diakui bukan semua ahli parti United Malays National Organisation tutup mata atau terlibat dalam rasuah. Mereka juga jujur dan mahu parti mereka bergerak di landasan yang betul.
Ahli parti yang berfikir bukan pembodek telah menolak Zahid kerana Zahid terlibat dalam 47 kes rasuah dan penggubahan wang haram.
Sikap mereka sama dengan sikap majoriti rakyat Malaysia. Malah sikap ini juga dikongsi oleh ramai ahli PKR dan DAP. Mereka gelisah bagaimana seorang yang dituduh sebagai "kleptokrat" seperti Zahid boleh diambil Anwar untuk menjadi timbalan perdana menteri.
Majoriti rakyat Malaysia yang berakal dan rasional mahu 47 kes Zahid terus dibicarakan. Ini bukan bermakna mereka telah menganggap Zahid bersalah. Apa yang rakyat Malaysia mahu ialah penerusan 47 kes di mahkamah.
Sentimen majoriti rakyat Malaysia ini telah diwakili oleh Majlis Peguam yang mahu 47 kes ini diteruskan. Kes bantahan Majlis Peguam ini masih berjalan.
Wajib diberi ingatan tuntutan Majlis Peguam ini bukan kerana sentimen anti-Zahid. Majlis Peguam mahu 47 kes Zahid ini diteruskan kerana mahkamah telah membuktikan 47 kes ini ada prima facie.
Prima facie di Malaysia bermakna kes yang ditubuhkan dengan bukti yang mencukupi, dan boleh ditumbangkan hanya dengan menyangkal keterangan yang dikemukakan oleh pihak yang lain. Ertinya, perbicaraan wajib diteruskan.
Saya menimbulkan 47 kes Zahid ini kerana ianya bersangkutan dengan apa yang sedang berlaku sekarang. Anwar dengan kerajaan Madani sedang bermati-matian dan beretorik menentang rasuah. Syabas.
Tapi Zahid yang berdiri di sebelah Anwar adalah sosok yang dipertikaikan kedudukannya.
Kempen dan retorik Anwar melawan rasuah menjadi pancit meleset dan menjadi tema menganjing kerajaan Madani oleh para pahlawan siber.
Akta zaman Ratu Elizabeth masih dara
Mari kembali kepada kes Muhyiddin dan 115 YB. Dari apa yang diberitakan, isi ucapan si Muhyiddin ini adalah palsu dan menghina bekas Agong. Anak dan isteri bekas Agong pun mengadu.
Amat jarang berlaku kerabat kayangan buat komplain. Tidak pernah saya dengar Raja Charles atau Ratu Belanda buat komplain.
Raja yang dirajakan seperti Charles selalu mengadu bukan tentang parti Labour atau Conservative. Hal parti politik ini, raja-raja di negara kapir tidak campur.
Charles sering mengadu tentang pemusnahan alam sekitar.
Ratu Belanda pun mengadu, antaranya mahu jalan di kota-kota Belanda jangan berlubang-lubang dan menyusahkan rakyat berbasikal.
Dua-dua ini contoh aduan diraja di negara kapir.
Aduan dari Istana Pahang ini mengedepankan pihak polis bertindak. Biasanya pihak polis agak lambat untuk mengambil tindakan. Contoh terbaik ialah kes pemandu Grab OKU yang kena tumbuk itu.
Ketika tulisan ini digarap, si Muhyiddin telah dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan atas tuduhan jenayah menggunakan Akta Hasutan 1948.
Bila saya menulis atau bercakap tentang Akta Hasutan ini, saya pastikan angka 1948 disebut sama. Ini untuk membuktikan bahawa Akta Hasutan 1948 ini direka oleh penjajah Inggeris.
Kita wajib memperlekehkan kerajaan Anwar yang masih menggunakan akta penjajah ini. Bayangkan akta ini direka ketika Ratu Elizebeth masih belum pecah dara!
Hingga ke hari ini kerajaan yang mengaku merdeka masih menggunakan alat senjata Inggeris untuk memusnahkan musuh politik.
"Tapi saya dapat 115. Kalau ikut kiraan perlembagaan, saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi perdana menteri. Ini bukan nak mengungkit but it is a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya angkat sumpah. Siapa Yang Dipertuan Agong dulu? Pahang lah.
"Kita tak nak cerita apa-apa yang buruk ya. Tapi yang itu, bagi saya, agak luar biasa. Tapi tak apalah. Maka lepas itu terbentuklah kerajaan perpaduan. Sekarang ini kita panggil kerajaan Madanon."
Di atas adalah kata-kata yang keluar dari mulut Muhyiddin di Nenggiri.
Saya ulang: Baca balik
Sila baca sekali lagi. Saya ulang: sila baca ayat di atas sekali lagi, kemudian secara jujur tanya diri sendiri. Bagaimana ianya menghasut? Bagaimana ianya menghina?
Saya ulang: Di manakah ianya menghasut? Di manakah ayat-ayat Muhyiddin itu menghina?
Tentang Muhyiddin menyebut jumlah YB yang menyokong PN ini bukan satu perkara baru. Malah menyebut angka YB memberi sokong bukan satu jenayah.
Anwar dan angka
Si Anwar juga selalu mengaku dia ada angka. Saya ulang: Anwar selalu dakwa dia ada jumlah. Anwar dakwa dia cukup jumlah YB yang akan menobatkan dirinya untuk menjadi perdana menteri pada 16 September 2008.
Sesudah Dr Mahathir Mohamad letak jawatan pada 24 Februari 2020, sekali lagi Anwar dakwa ada jumlah.
Lebih dari empat kali Anwar dakwa dia cukup jumlah YB yang akan menyokong dirinya untuk menjadi perdana menteri.
Setiap kali Anwar buat dakwaan itu, tidak ada pun polis tangkap Anwar. Tidak ada Akta Hasutan 1948 digunakan untuk tangkap Anwar.
Ops, maaf! Ketika Anwar dakwa ada nombor, kerajaan Mahathir, kerajaan Muhyiddin dan kerajaan Ismail Sabri Yaakob telah menggantung penggunaan Akta Hasutan 1948.
Kes Muhyiddin ini ada hikmahnya. Ianya membuka kembali fakta sejarah PRU15. Satu Malaysia mahu tahu apakah betul dan sahih Anwar ada sokongan para YB untuk dia naik takhta.
Malah persoalan sama ada Anwar ini ada sokongan YB atau tidak senang diselesaikan. Tidak perlu tunjuk akuan bersumpah.
Saya ulang: tidak perlu akuan bersumpah para YB untuk membuktikan sokongan. Tidak perlu sesiapa ditangkap. Tidak perlu Akta Hasutan 1948 diguna pakai.
Caranya mudah. Saya ulang: caranya mudah. Parlimen bersidang majukan usul undi percaya kepada Anwar. Lihat dan kira jumlah undi. Khalas.
Tidak perlu diulang-ulang lagi angka 115 dari Muhyiddin. Tutup kedai dan tunggu PRU16.