- Iklan -
Kolum

Global Ikhwan, kultus agama dan tongkat bumiputera

Di sebalik pelbagai laporan mengenai GISBH, ada beberapa persoalan yang perlu ditimbulkan.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Sebulan kebelakangan ini, hampir setiap hari kita terbaca, terdengar dan terlihat berita GISBH - Global Ikhwan Services and Business Holding. 

Ada berita GISBH dari kenyataan polis, ada berita kedai GISBH ditutup, ada berita tangkapan ahli GISBH dan ada berita tentang GISBH dari mahkamah.

Heboh GISBH ini lebih heboh dari "Jom Heboh". Sudah hampir dua bulan GISBH ini menjadi tajuk perbualan nasional terutama di kalangan Melayu Islam.

GISBH ialah konglomerat yang memegang aset dilaporkan bernilai RM325 juta. Syarikat ini ada jaringan perniagaan di 20 buah negara.

Ada perniagaan kedai runcit, ada syarikat pelancongan, ada kilang roti, kicap dan mee.

Ada restoran dan sistem pengangkutan sendiri. Hebat konglomerat ini.

GISBH beralamat di Rawang, Selangor ini ditubuhkan pada 1997, tiga tahun selepas kerajaan Malaysia mengharamkan Al-Arqam pada 1994. Al-Arqam dituduh sebagai pengamal ajaran Islam sesat.

Ketika Al-Arqam membesar berkembang dan menjadi perbualan nasional, saya masih berkelana. Sepulang dari berkelana, kumpulan Al-Arqam diharamkan. Malah ada pemimpin Al-Arqam yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Saya dimaklumkan, Al-Arqam adalah sebuah pertubuhan cult, atau kultus, berasaskan agama Islam. Bila saya mendengar maklumat ini, maka saya teringat akan Maharishi Yogi, tok guru kepada John Lennon. 

Maharishi Yogi dari India ini menjadi tok guru Hindu yang memiliki pengikut berselirat di seluruh dunia.

Di London, saya membaca temubual akhir John Lennon dengan majalah Playboy keluaran Januari 1981. John Lennon bersurah bagaimana Maharishi Yogi cuba mencabul Mia Farrow. Ketika itu bintang filem Hollywood yang cun ini sedang bermukim dengan John Lennon di Ashram di kaki pergunungan Himalaya.

Gerakan kultus ini bukan hanya ada dalam agama Islam atau Hindu. Di Jepun, ada agama baru bernama Aum Shinrikyo yang dipimpin tok guru Shoko Asahara. Kumpulan yang ditubuhkan dalam tahun 1985 ini meyakinkan para pengikut bahawa tidak lama lagi dunia akan kiamat. Justeru pada 20 Mac 1995, kumpulan Aum melepaskan gas beracun di stesen kereta api Tokyo, mengakibatkan 13 mati dan ratusan cedera. Dunia masih belum kiamat.

Di Amerika Syarikat, seorang paderi bernama Jim Jones telah menubuhkan gereja bernama Peoples Temple di Guyana, Amerika Latin. Ini kumpulan kultus Kristian yang juga yakin kiamat sudah hampir.

Pada 18 September 1978, tok guru Jim mengarahkan semua pengikut membunuh diri dengan menelan pil sianid yang beracun. Seramai 909 pengikut mati, termasuk James.

Ciri-ciri kultus agama semuanya seakan-akan sama dan memang menarik. Kalau dalam budaya muzik pop, ada seks, dadah dan rock 'n roll. Penyanyi dan kugiran menjadi tok guru. 

Dalam kultus agama pula, ada tok guru, ada seks, ada duit, tapi tidak ada rock 'n roll.

Dari apa yang saya baca, kultus GISBH ini ada tok guru, ada seks dan ada duit. Bila duit bertemu dengan seks dan dicampur pula dengan ayat suci, maka ianya menjadi kimia yang ampuh untuk menyebar luas pengaruh.

Saya juga terbaca bagaimana kedai makan GISBH menggunakan ilmu pelaris Melayu untuk menarik pelanggan. Disebarkan cerita bagaimana air basuh kaki tok guru menjadi sebahagian resipi.

Untuk saya, semua ini cerita karut lagi dongeng dan tidak masuk akal. Samalah seperti cerita restoran dan kedai makan menggunakan ganja sebagai daya pengikat pelanggan. Pelanggan menjadi gian lalu datang kembali ke restoran tersebut.

Tidak masuk akal kerana harga ganja mahal. Memasukkan ganja dalam sup ayam atau mee kari tidak membawa keuntungan. Berniaga untuk mencari untung.

Kisah-kisah dongeng ini bertujuan untuk memburuk-burukan kumpulan GISBH dan kedai makan mereka.

Saya membaca ada pula kuliah meliwat di rumah amal GISBH. Hubungan seks sesama jantina ini bukan satu keganjilan. Seks jenis ini ada di mana-mana. Tidak memerlukan kuliah. Justeru babak ini saya ketawa kerana ini betul-betul tak masuk akal.

Budak-budak Ikhwan

Saya sendiri ada pengalaman dengan GISBH ini, pengalaman yang secara tidak sengaja.

Ceritanya begini. 

Sesekali bila bosan di Kuala Lumpur, saya balik kampung. Kampung tanah pusaka saya ini terletak di Kampung Chenor, Jelebu, Negeri Sembilan.

Di kampung, ada beberapa kali saya ternampak beberapa anak lelaki berumur 10 atau 12 tahun. Mereka sekumpulan kawan melintas di sebelah rumah saya. Saya tidak tahu anak dan cucu siapa mereka ini.

Bila saya bertanya, kakak saya menerangkan mereka ini dari rumah amal di hadapan rumah kami. Rumah amal ini disewa dari waris saya juga.

Mengikut kakak saya, ada kurang lebih 15 anak-anak yang menjadi penghuni rumah amal ini. Ada juga beberapa orang dewasa. Apa yang menarik dari cerita ini ialah, sesekali anak-anak ini datang minta daun pisang dari kakak saya.

"Mereka buek nasi lomak... dijual kek pokan Klawang. Kadang-kadang budak-budak ni bagi Kak Ngah nasi lomak. Dio ambik daun pisang kito."

Saya sendiri juga ada pengalaman peribadi berurusan dengan budak-budak dari rumah amal ini. Saya terserempak dengan tiga orang mereka di pekan kecil Simpang Pertang ketika saya mahu membeli kuih.

Seorang dari Baling, Kedah; seorang dari Terengganu; dan seorang dari Seremban. Umur mereka di bawah 17 tahun.

"Sekolah lagi ke? Belajar di mana?"

"Di Kerangai."

"Woit... jauh kau datang ni."

Saya membayangkan anak sekolah dari Kedah dan Terengganu. Mereka tinggal di pondok di Kerangai, Jelebu yang agak jauh dari kampung saya.

Bila berita GISBH meledak, saya teringat wajah anak-anak yang mencari daun pisang dan berjual kuih di Simpang Pertang. Apa sedang terjadi pada mereka?

Dari apa yang saya baca, kumpulan kultus ini menggunakan tenaga anak-anak ini untuk berjual beli. Jika tenaga anak-anak tidak dibayar, saya anggap ini satu kesalahan. Jika mereka tidak bersekolah, ini menjadi satu jenayah.

Malah persoalan timbul, apakah para pekerja dewasa dan di bawah umur di jaringan perniagaan GISBH ini dibayar gaji dan mencarum di KWSP? 

Atau mereka hanya diberi makan dan tempat tinggal? 

Pekerja tanpa caruman KWSP adalah kesalahan jenayah. Kesatuan buruh wajib meneliti perkara ini. Pihak berwajib perlu bertindak.

Saya tidak akan menuduh GISBH mengamal ajaran Islam sesat. Sesat atau tidak sesat, itu bergantung pada kuasa. Kuasalah yang menentukan sama ada ajaran itu sesat atau tidak.

Di Iran mazhab Syiah tidak sesat. Di Malaysia, ia dianggap sesat. Di Pakistan, ajaran Ahmadiah dianggap sesat. Di India tidak sesat. Di Arab Saudi, aliran Wahabi menjadi ikutan. Di Malaysia, hanya Sunnah wal Jamaah yang dianggap betul, yang lain ajaran "sesat".

Jelas, sesat atau tidak sesat bergantung kepada siapa yang berkuasa. Wajib disedari bahawa agama ini muncul dari keyakinan. Agama ini bukan ilmiah. Agama wajib diyakini. Yakin ertinya tanpa was was. Tidak ada soal jawab.

Tidak mungkin ada penganut agama akan bertanya kepada paderi atau ustaz, tentang berapa besar kapal Nabi Nuh yang menyelamatkan semua binatang dalam dunia ketika bah besar berlaku.

"Ustad nak tanya sikit, masa bah tu, Nabi Nuh ada bawa tapir kita dari Pahang tak?"

Soalan seperti ini tidak mungkin dilayani kerana dalam ajaran agama, penganut wajib menerima, bukan menggeledah mencari kesahihan.

Mencari kesahihan secara ilmiah dan rasional itu bukan agama. Itu namanya ilmu yang berpandukan akal fikiran. Agama tidak ilmiah dan tidak rasional. Agama wajib diyakini tanpa soal jawab dan tanpa kaji selidik.

Justeru dalam kumpulan kultus, kesetiaan dan keyakinan kepada tok guru adalah rukun pertama. Apa kata tok guru semuanya benar. Jika dia arah cari daun pisang, maka tidak perlu soal jawab. Tidak perlu banyak bertanya.

Akur dan patuh adalah rukun iman untuk semua para pengikut kultus dalam agama apa pun.

Kenapa ada orang menjadi pengikut Maharishi Yogi, atau Paderi Jim Jones atau Ashaari Muhammad? Saya bukan pakar psikologi. Dari pemerhatian, saya yakin ada naluri manusia yang mahu menjadi pengikut.

Menjadi pengikut lebih senang dari mencari, bertanya, mengkaji dan menyelidik. Ikut saja, lebih mudah. Tak perlu fikir banyak. Tak perlu bertanya banyak.

Menjadi pengikut ini bukan hanya dalam agama. Dalam parti politik moden pun ada sikap taksub kepada pemimpin. Dalam Parti Konservatif, Parti Liberal Parti Sosialis, Parti Komunis, pun ada. 

Soalan yang perlu ditanya

Dalam heboh-heboh berita GISBH, ada satu perkara yang jangan kita lepas pandang. Untuk saya perkara ini agak penting untuk kita bersama fikirkan.

Jangan kita hanya ikut dengan taksub kenyataan polis atau terima bulat-bulat berita yang kita baca. Gunakan akal dan gunakan fikiran sendiri. Jika tidak, kita juga menjadi pengikut kultus berasakan laporan berita yang condong kepada pemilik kuasa.

Perkara ini ialah bagaimana GISBH ini boleh menjadi konglomerat yang berjaya. Perniagaan mereka bukan hanya di Malaysia malah di seluruh dunia.

Restoran mereka ada di Jakarta, Mekah, Paris, Melbourne, London, Istanbul, Bangkok. 

Bagaimana cara dan pendekatan perniagaan mereka? Bagaimana GISBH ini boleh berjaya tanpa menggunakan tongkat bumiputera?

Kita tidak pernah mendengar ada YB atau Pak Menteri merasmikan kedai roti Ikhwan. Kita tidak pernah terbaca Ikhwan minta projek atas nama Islam dan bumiputera.

Perniagaan GISBH ini saya lihat lebih berjaya dari MARA, Tekun, Pernas dan lain-lain yang sewaktu dengannya. GISBH tidak memerlukan tiket Melayu, tiket bumiputera untuk berjaya dalam perniagaan. 

Ini mengasak saya berfikir apakah ada udang di sebalik roti Ikhwan? 

Apakah ada agenda lain di sebalik heboh-heboh ajaran sesat? 

Apakah berita dan heboh-heboh GISBH ini adalah agenda untuk mengolah satu persetujuan?

Persetujuan apa?

Persetujuan untuk melakar satu hukum, satu akta atau undang-undang baharu di mana Islam hanya boleh ditafsir oleh kuasa kerajaan? Yang lain dianggap ekstremis dan sesat?

Apa yang menjadikan Ikhwan ini bahaya ialah mereka memiliki dana yang lumayan. Mereka berdikari bebas, ekonomi mereka kukuh dan mereka bebas melakar perjalanan kumpulan mereka.

Kita selalu berani bersuara dan melaungkan sokongan kita terhadap kebebasan individu. Tapi kita akan takut dan gementar bila berhadapan dengan individu yang bebas.

Kita sokong bumiputera berniaga. Tapi ada di antara kita akan gementar dengan bumiputera yang berjaya berniaga tanpa memerlukan sokongan kuasa kerajaan.