- Iklan -
Kolum

Permainan T15

Tanpa kajian menyeluruh dan data tepat, pemansuhan subsidi yang sepatutnya kepada golongan mewah dikhuatiri menimpa mereka yang sekadar cukup makan.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Tindakan kerajaan memperkenalkan kategori “T15” kononnya untuk menghapuskan subsidi bagi golongan berpendapatan tinggi bukan sahaja mengundang persoalan tentang ketepatan polisi, tetapi turut membuka ruang kritikan terhadap kesediaan sebenar negara untuk langkah sebegini. 

Alasan bahawa negara perlu mengurangkan defisit tidak cukup sebagai justifikasi untuk memperkenalkan sesuatu yang kabur dan tidak konsisten. 

PADU – sayu sistem data yang menelan belanja besar – sepatutnya membantu menentukan siapa yang layak atau tidak layak menerima subsidi. 

Jika PADU berfungsi seperti yang dijanjikan, kenapa perlu lagi wujud kategori T15? Kenapa berulang kali perlu diubah angka kelayakan – dari RM13,000 ke RM15,000, dan mungkin RM20,000?

Di sebalik alasan kewangan, hakikatnya ialah rakyat, terutama di bandar, sudah lama menanggung kos sara hidup yang tinggi. Bagi yang tinggal di Lembah Klang, di mana harga barang lebih mahal dan sewa rumah melambung tinggi, RM15,000 sebulan bukanlah kemewahan. 

Dengan pendapatan sedemikian, banyak keluarga hanya mampu “cukup-cukup makan” tanpa lebihan. Namun, dengan pengenalan T15, mereka bakal kehilangan subsidi yang sedikit sebanyak meringankan beban harian. 

Jadi, persoalannya, adakah kerajaan benar-benar memahami realiti kehidupan rakyat, atau sekadar melihat angka pada kertas?

Dalam isu ini, kerajaan seolah-olah mahu bergerak pantas tanpa memastikan landasan yang kukuh. 

PADU dijanjikan sebagai sistem yang akan menyelamatkan subsidi daripada dibazirkan kepada mereka yang tidak layak. Tapi, ironinya, kerajaan sendiri nampaknya tidak yakin dengan data PADU, sehingga mencipta kategori baru yang dipersoalkan oleh rakyat dan pembangkang. 

Kenapa begitu tergesa-gesa? Adakah kerana desakan untuk menunjukkan “hasil cepat” mengurangkan defisit kepada pelabur luar? 

Atau, adakah ini sekadar permainan politik untuk menunjukkan bahawa mereka serius tentang reformasi ekonomi, walaupun belum ada rancangan menyeluruh?

Lebih ironis, kerajaan menyalahkan pembangkang dan suara rakyat yang mempersoalkan dasar ini, menuduh mereka “membela golongan kaya”. Hakikatnya, kritikan yang dilemparkan bukanlah untuk mempertahankan mana-mana golongan elit, tetapi untuk memastikan ketelusan dalam polisi yang memberi kesan kepada jutaan rakyat. 

Tanpa kajian menyeluruh dan data yang tepat, kita bimbang subsidi yang sepatutnya dikurangkan kepada golongan mewah akhirnya dirasakan oleh mereka yang sekadar “cukup makan”.

Kerajaan nampaknya bersandar pada ideologi yang kononnya progresif, tetapi adakah kita sudah benar-benar bersedia untuk penghapusan subsidi? Banyak negara lain telah berjaya mengurangkan subsidi melalui pelan peralihan yang komprehensif – dengan penyediaan alternatif seperti sistem pengangkutan awam yang mantap, pendidikan berkualiti, dan kesihatan percuma atau lebih murah. 

Malaysia? Kita masih bergelut dengan isu-isu asas, daripada bas awam yang tidak tiba mengikut jadual, kepada pendidikan yang membebankan poket. Bagaimana pula nasib mereka yang bekerja di sektor gig atau tidak mempunyai pendapatan tetap?

Jadi, soalan yang seharusnya dijawab oleh kerajaan: Adakah negara ini bersedia untuk hidup tanpa subsidi, atau adakah ini sekadar langkah separuh masak yang hanya akan menambah derita rakyat? 

Tindakan memperkenalkan T15 tanpa kerangka kerja yang jelas dan ketelusan data bukan sahaja mencetuskan keraguan, tetapi juga menimbulkan persoalan sama ada kerajaan benar-benar memahami perit jerih rakyat, atau sekadar bermain angka untuk kelihatan cemerlang di atas kertas ekonomi.