- Iklan -
Kolum

Mengalu-alukan Trump untuk menghuru-harakan dunia

Trump ini orang jahat. Kalau jahat, kenapa saya sokong dia Jawabnya mudah.

Hishamuddin Rais
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Calon Republikan pemilihan presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menewaskan Kamala Harris dari parti Demokrat, meletakkan Trump sebagai presiden AS yang ke-47. 

Parti Republikan juga menang di kedua-dua dewan Kongres – Lower dan Upper House.

Ini bermakna, parti Republikan tapau semua punca kuasa di Amerika, menjadikan Trump amat kukuh sebagai presiden kerana semua punca kuasa kini dimiliki Republikan. 

Sayugia diingatkan bahawa sosok yang bernama Donald Trump ini masih berhadapan dengan empat pertuduhan jenayah dan 34 pertuduhan penipuan dalam hal perniagaan. 

Jangan lupa fakta ini: sebelum menceburi politik, Trump adalah ahli perniagaan. Dia pernah berdepan 4,000 kes dakwaan yang bersangkutan bil yang tidak dibayar, tipu jual beli dan tipu ijazah universiti.

Hebat sosok ini. Tetapi kenapa rakyat Amerika secara beramai-ramai mahu sosok ini menjadi presiden sekali lagi? 

Malah ketika pemilihan tahun 2020, Trump enggan menerima kekalahan. Dia menuduh Biden dan Demokrat menipu undi. Hebat sosok ini.

Pandangan politikus dunia terhadap Trump pada satu ketika dulu agak mencurigakan. Justeru kita membaca tweet Perdana Menteri UK Keir Starmer, apabila penunjuk perasaan pro-Trump menyerang bangunan Capitol pada Januari 2021.

Ketika itu, Starmer menulis: "Ini bukan tunjuk perasaan - ini serangan langsung ke atas demokrasi dan penggubal undang-undang yang melaksanakan kehendak rakyat Amerika."

Yang berdemo adalah penyokong Trump. Mereka memecah masuk ke dalam Dewan Capitol, iaitu bersamaan Parlimen kita.

Pada 5 November, Starmer mengalih kemudi dan terus mengucap tahniah kepada Trump dan berharap Amerika dan UK terus bekerjasama.

Ucapan tahniah juga sampai dari Macron di Paris, dari Modi di New Delhi, dari Olf Sholf di Jerman.

Perdana Menteri Hungary Viktor Orbán menulis dalam media sosial, “Selamat pagi, Hungary! Menuju kemenangan yang indah."

Orbán sekutu haluan kanan Trump yang lama di Eropah. Dia menganggap Trump ini mati hidup kembali. Pandangan Orban ini adalah pandangan semua pemimpin parti politik haluan kanan di Eropah termasuk Meloni dari Itali.

Netanyahu yang sedang berperang di Gaza dan Lubnan menganggap kemenangan Trump sebagai "kemunculan semula terbesar dalam sejarah!". Netanyahu meramalkan "komitmen semula yang kuat" kepada pakatan Amerika-Israel.

Gendang perang juga telah dipukul oleh Mark Rutte, setiausaha agong Nato dan bekas perdana menteri Belanda: "Saya mengucapkan tahniah kepada Donald Trump atas pemilihannya sebagai Presiden Amerika Syarikat. Saya berharap dapat bekerjasama dengannya sekali lagi untuk memajukan keamanan melalui kekuatan melalui Nato.

"Saya melihat Nato menghadapi semakin banyak cabaran di peringkat global, daripada Rusia yang lebih agresif, kepada keganasan, kepada persaingan strategik dengan China, serta peningkatan penjajaran China, Rusia, Korea Utara dan Iran."

Satu ketika dulu, Nato bertelagah dengan Trump kerana Trump mahu 31 negara anggota lain turut sama mengeluarkan wang membiayai bajet Nato.

Dalam semua ucapan ini, ada satu sosok yang semakin terdesak. Sosok ini ialah Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. Dia dilapor menelefon dan mengucap tahniah pada Trump.

"Saya menghargai komitmen Presiden Trump terhadap pendekatan 'keamanan melalui kekuatan' dalam hal ehwal global," tulis presiden Ukraine itu dalam media sosial.

Sama seperti Netanyahu, Zelensky juga bergantung nafas dengan Amerika. Tanpa bantuan dolar dan peluru Amerika, perang Ukraine dan perang Gaza ini telah lama tamat.

Hakikatnya, pada ketika ini, dua sosok yang mewakili dua perang ini sedang berdebar-debar menunggu apa yang akan dilakukan oleh presiden Amerika ke 47.

Saya sendiri penyokong tegar Trump. Saya gembira apabila Trump menang. Saya penganut garis kiri akan dianggap pelik dan belot kerana menyokong Trump dari garis kanan. Apakah ini satu kontradiksi? Apakah ini satu kejulingan politik?

Tidak. Saya memiliki hujah untuk mempertahan garis politik yang saya pegang. 

Untuk saya, sistem dua parti di Amerika ini sama seperti memilih Coca Cola atau Pepsi Cola. Tidak ada beza. Kedua-dua syarikat milik syarikat kaum pemodal Zionis.

Bekas presiden Cuba, Fidel Castro (1926-2016) ditanya mengenai pilihan raya Amerika tahun 1960, calon mana yang lebih disukainya, Nixon atau Kennedy?

Castro menjawab: "Ia seperti membandingkan dua kasut yang dipakai oleh orang yang sama. Amerika hanya ditadbir oleh satu parti, iaitu Zionis, dan ia mempunyai dua sayap: Sayap Republikan mewakili kuasa Zionis yang melampau, dan sayap Demokrat mewakili kuasa Zionis yang lebih lembut. Tidak ada perbezaan dalam matlamat dan strategi. Walau bagaimanapun, cara dan alat berbeza sedikit untuk memberikan setiap presiden rasa keunikan dan ruang untuk bergerak."

Saya amat bersetuju dengan pandangan arwah Castro ini tentang parti politik Amerika. Satu pandangan yang tepat, benar dan sahih.

Untuk saya, apa yang menarik dan menonjol dalam pemilihan tahun 2024 ini ialah peranan media. Hampir semua stesen TV dan media cetak arus perdana di Amerika dan di Eropah memperlekehkan Trump.

Media liberal dari London, Paris dan Berlin semuanya menganggap Trump tidak layak menjadi presiden Amerika. Trump membawa bahaya jika menjadi sosok paling kuat dalam dunia hari ini.

Trump dianggap rasis kerana Trump mahu semua pendatang haram di Amerika dihantar pulang. Trump dianggap sexist kerana banyak kes Trump mengomol, meraba kopek dan celah kangkang wanita yang cantik jelita.

Trump telah disaman oleh beberapa wanita termasuk oleh seorang bekas pelakon filem lucah.

Malah dua hari sebelum hari mengundi, akhbar The Guardian memaparkan di muka hadapan gambar Trump bersama dengan Jeffrey Epstein.

Epstein (1953-2019) yang dilapur bunuh diri dalam penjara ialah seorang jutawan ahli perniagaan, juga bapak ayam dan pelau seks bawah umur – pedofil.

Tujuan berita ini ialah untuk memburukkan watak Trump yang berkawan baik dengan bapak ayam, membayang-bayangkankan kemungkinan Trump juga peminat gadis bawah umur.

Saya pembeli pembaca setia akhbar The Guardian ini semenjak saya bermukim di London. Di Kuala Lumpur saya membaca melalui Internet. Saya anggap akhbar ini liberal dan demokratik. Tetapi dalam hal Trump ini saya dapati The Guardian juga hampir sama garis dengan akhbar lain.

Trump, seorang penjenayah yang disabitkan kesalahan, akan berkhidmat untuk penggal kedua sebagai presiden Amerika. Ini adalah satu lagi detik yang mengejutkan bagi Amerika dan seluruh dunia.

"Bolehkah anda membantu kami mencabar autoritarianisme, berdiri untuk akhbar bebas dan mendedahkan langkah-langkah yang akan membahayakan generasi akan datang?" Ini isi surat yang saya terima dari The Guardian kelmarin.

Saya faham akan permintaan akhbar ini. Tetapi The Guardian ini tidak memahami sikap saya sebagai seorang aktivis penganut fahaman kiri dari Dunia Ketiga.

Saya bukan tidak memahami atau tidak menyedari siapa Trump. Sama seperti Castro, saya juga menganggap Amerika adalah musuh rakyat sedunia. Trump mewakili kepentingan kaum kapitalis dunia. Mempertahan dan mengembangkan industri senjata. Mengancam alam sekitar dunia. Trump bukan Lebai Sudin yang tinggal di belakang kampung saya.

Trump ini orang jahat.

Kalau dia jahat, kenapa sokong dia?

Jawabnya mudah. Saya mahu Trump yang kasar, lucah dan rasis ini akan mengharukan dunia. Saya mahu melihat dalam masa empat tahun ini Trump dalam kegilaannya memporak perandakan sistem ekonomi kapitalis yang sedia wujud. Saya mahu Trump seorang bilionair akan mengganggu gugat sistem kewangan di Wall Street. 

Saya mahu melihat Amerika bergaduh dengan China Merah.

Saya mahu melihat Trump membantu Zionis Israel menyerang Palestin.

Saya mahu melihat perang di Timur Tengah merebak ke Iran, Arab Saudi, Jordan dan Mesir. 

Saya mahu Trump menaikkan kemarahan dunia Arab dan dunia Islam yang pada ketika ini berpura-pura menyokong Palestin.

Paling penting, saya mahu melihat warga Arab di Mesir, Jordan dan Arab Saudi turun ke jalan raya menjatuhkan rejim yang ada sekarang.

Dengan kasar Trump akan menelanjangkan dasar imperialis Amerika ke mata dunia. Trump akan menunjukkan taring sistem ekonomi kapitalis. 

Tidak berlapik, tidak berselindung di bawah payung demokrasi, tidak berkhutbah tentang hak asasi manusia.

Empat tahun rejim Trump ini adalah rejim brutal dan ganas. Nanti pasti ada banyak rejim-rejim Dunia Ketiga yang ganas dan jahat akan menjabat tangan dengan Trump.

Rejim dari Asean termasuk Malaysia akan ditelanjangkan sama oleh Trump. Trump tidak berdolak dalih atau putar alam. Trump tidak berselindung di belakang akhbar seperti The Guardian.

Kontradiksi rakyat dunia dengan sistem kapitalis global akan lebih jelas.

Apa yang wajib kita semua lakukan ketika menyambut Trump ialah bersedia untuk menghumbankan rejim yang pura-pura demokratik walhal zalim dan ganas.

Pada 8 Disember, 2023, agensi berita AP melaporkan yang Trump telah berkata jika berkuasa sekali lagi dia akan menjadi diktator pada hari pertama.

Warga dunia sedang menunggu kedatangan diktator ini. Saya juga mengalu-alukan Trump dengan ucapan selamat menghuru harakan dunia.