Hukuman kontroversi sebatan awam oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu terhadap Mohd Afendi Awang atas tuduhan khalwat tidak boleh diterima dan bercanggah dengan ajaran Islam.
Hukuman itu dilaksanakan hari ini dan tidak mendatangkan apa-apa faedah kepada negara.
Pertamanya, hukuman sebat bagi kesalahan yang dikenali sebagai khalwat tidak terdapat dalam Islam. Berikut sebabnya.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 mentakrifkan khalwat sebagai berniat melakukan hubungan seks luar nikah. Adalah dianggap kesalahan bagi seorang lelaki dan perempuan yang belum berkahwin atau bukan muhrim, untuk ditemui di mana-mana tempat yang terselindung atau di dalam rumah atau bilik dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak.
Bagaimanapun, "niat" untuk melakukan kesalahan tidak sama dengan melakukan kesalahan itu.
Menurut Islam – niat melakukan perbuatan jahat atau kesalahan tidak diambil kira, berbeza dengan niat melakukan kebaikan.
Dalam apa jua keadaan, menurut Islam, hukuman hudud adalah khusus untuk kategori-kategori kesalahan berikut– iaitu zina (persetubuhan haram), qadhf (tuduhan palsu zina), meminum minuman keras (shurb al-khamr), mencuri (sariqa), rompakan (hiraba), murtad (riddah), dan khianat (baqhy).
Khalwat tidak termasuk dalam mana-mana kategori di atas.
Berbalik kepada rancangan menjalankan sebatan di khalayak ramai yang telah menjadi kebimbangan negara. Apakah objektif menjalankan hukuman ini secara terbuka? Mengaibkan Affendi secara terbuka?
Ia bertentangan dengan konsep yang sangat penting di dalam Islam - iaitu untuk tidak membuka aib orang lain sama seperti mana kita tidak mendedahkan aib kita sendiri, kerana Islam sangat menitikberatkan maruah manusia.
Seseorang tidak seharusnya mencari kesalahan yang dilakukan secara tertutup, malah perlu menutup mata terhadap dosa peribadi. Konsep ini berakar umbi dalam Al-Quran, yang melarang tajassus:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. "Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani." (Al-Quran, 49:12)
Rasulullah (saw) berulangkali mengabaikan aduan seorang lelaki yang menyatakan dia telah "melanggar salah satu larangan Hudud".
"Jika kamu mencari aib atau memalukan orang," Rasulullah memberi amaran, "Kamu akan merosakkan mereka."
Banyak sangat kekhilafan dilakukan dalam kes ini, termasuk hakikat bahawa perbuatan yang bukan zina dianggap sebagai zina, publisiti sensasi dan jemputan kepada orang ramai menyaksikan penghinaan Affendi. Apa kaitan semua ini dengan ajaran agama Islam yang maha adil dan penyayang?
Amat mendukacitakan apabila sekali lagi Islam dituduh sebagai kejam; padahal sebenarnya falsafah di sebalik syariah dan hudud adalah mengenai keadilan, perbuatan yang baik dan mengenai maruah manusia. Falsafah inilah yang kini dihapuskan dalam kes di Terengganu.
Terus-terang saya katakan, perkara mengenai Islam di negara ini telah menjadi perlawanan politik tidak berkesudahan untuk melihat "siapa lebih Islam daripada yang lain", melibatkan pihak dalam kerajaan mahupun pembangkang. Kedua-duanya memperalatkan Islam dalam perlawanan ini demi meraih undi Melayu Muslim, di mana yang menjadi mangsa penganiayaan adalah orang seperti Affendi.
Latheefa Koya merupakan seorang peguam dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.