- Iklan -
RencanaBaru Terbit

Pengumuman lucu 'promosi saman' Anthony Loke

Menteri pengangkutan bukan sahaja tidak faham undang-undang mengenai saman trafik tetapi juga mengenai bidang kuasanya.

Zulhazmi Shariff
4 minit bacaan
Kongsi

Menteri Pengangkutan Anthony Loke baru-baru ini mengumumkan kerajaan memberi tempoh enam bulan kepada pemilik kenderaan untuk menyelesaikan saman dengan tawaran khas kompaun serendah RM150. 

Kegagalan membayar akan menyebabkan pemilik kenderaan dan/atau pemegang lesen memandu tidak dibenarkan memperbaharui lesen kenderaan motor atau lesen memandu.

Lucu. Apa yang lucu?

Pertama, Seksyen 120 Akta Pengangkutan Jalan tidak memberi kuasa kepada kerajaan atau menteri untuk memberi kompaun. 

Menteri hanya boleh membuat kaedah-kaedah untuk menetapkan kesalahan yang boleh dikompaunkan serta cara dan tatacara mengenainya bukannya memberi atau mengumumkan tawaran kompaun.

Mungkin menteri akan jawab: "Ya, saya umum saja tapi yang berikan kompaun itu adalah pegawai polis atau pegawai JPJ seperti di Seksyen 120."

Isunya ialah menteri tiada kuasa pun nak umum kerana kuasa budi bicara untuk mengkompaun itu adalah kuasa pegawai yang telah ditetapkan akta. Tak boleh ke minta polis atau JPJ yang umum? 

Ini kisah ketam ajar anak berjalan lurus. Nak ajar atau kuatkuasa undang-undang tapi menteri lebih awal tidak ikut undang-undang.

Kedua, laporan menyebutkan bahawa tawaran bayaran harga runtuh saman melibatkan kesalahan melebihi had laju, tidak mematuhi peraturan lampu isyarat, notis 114 (memerlukan pesalah disoal siasat), dan notis 115 (sampan tampal) dengan kesemua saman terbabit lazimnya menelan kos RM300.

Kesalahan melebihi had laju ini hanya melibatkan kenderaan perdagangan atau kenderaan berat kerana hanya kenderaan-kenderaan ini ada had laju yang ditetapkan. 

Contohnya, bas hanya boleh dipandu maksimum kelajuan 90km sejam. Itu yang tertampal dan wajib ditampal di bahagian belakang bas. Ada pun bagi kenderaan lain, tiada had laju. Yang ada hanya had laju jalan. 

Bagi lebuh raya, had laju maksimum ialah 110km. Ini bukan had laju kenderaan tetapi had laju yang boleh dipandu di jalan berkenaan. 

Kesalahannya bukan memandu melebihi had laju tetapi gagal mematuhi papan tanda isyarat kerana di setiap jalan akan ada papan tanda menunjukkan had laju jalan berkenaan. 

Kepada menteri, dapatkan fakta yang betul sebelum bercakap.

Notis 114 bukan saman. Notis 114 ialah panggilan untuk menyiasat atas suatu kesalahan yang disyaki telah dilakukan. Kenapa perlu bayar? Ada tawaran kompaun di dalam notis.

Hello! Itu tawaran, bukan hukuman. Kalau tidak mahu terima tawaran, kena hukum? Apa hukuman? Senarai hitam! Gila dah ka? 

Contoh: Kerajaan tawarkan Najib Razak untuk tahanan di rumah sebab ada adendum, Najib kata saya tak mau, saya tolak tawaran tu. Kemudian Najib ditambah hukuman dari 12 tahun jadi penjara seumur hidup kerana tak terima tawaran tahanan rumah. Gila ka bangang?

Ketiga, apa yang menteri dan kerajaan buat sekarang tak ubah sebiji pun dari apa yang kerajaan Najib buat dulu. Masa menteri pengangkutan dari MCA dulu, dia pun umum senarai hitam sehingga aku dan kawan-kawan (masih dalam PAS waktu itu) lancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE). Kami serbu JPJ Wangsa Maju ajak orang yang nak bayar saman tertunggak supaya jangan bayar dan balik.

Ahli Parlimen DAP dari Bandar Kuching membawa kes ke mahkamah mencabar senarai hitam melalui kes Leonard Lim.

Ingatkan bila bersama BN, boleh ubah BN jadi lebih baik, rupanya kita ikut gaya BN.

Keempat, berkurun sebut saman tertunggak. Berbuih mulut kita cakap saman tidak boleh tertunggak. Saman mesti selesai. Saman ialah arahan kepada orang yang disaman supaya hadir mahkamah. Bila yang disaman hadir mahkamah, jika mengaku salah, mahkamah jatuh hukum, bayar denda, selesai saman. Tiada tertunggak. Jika tak mengaku salah, bicara, jika menang, saman batal, jika kalah, bayar. Tertunggak? Tidak.

Habis kenapa boleh tertunggak? Jawapannya kerana saman tak dibawa ke mahkamah. 

Peram buat pekasam kemudian buat kira-kira berapa helai saman, berapa nilai saman.
Susah la kalau semua nak bawa ke mahkamah. Ehhh memang itu kerja polis dan JPJ. 

Sebab itu ada Mahkamah Khas untuk kes trafik atau kes jabatan.

Puncanya ialah tak faham undang-undang, tetapi nak ajar orang ikut undang-undang.

Aku bagi contoh kes aku. Tahun 2022 aku nak perbaharui lesen kenderaan motor tapi ditolak kononnya senarai hitam. Aku dikatakan tidak bayar saman AES. Aku cakap aku takkan bayar. Sila bawa ke mahkamah. Kes dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya. Bicara, keputusannya aku disabitkan dan dihukum denda RM1,000. Aku bayar dan kemudian failkan rayuan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. 

Di Mahkamah Tinggi, apabila bicara, pihak responden (timbalan pendakwaraya mewakili JPJ) tidak membantah rayuan aku lalu mahkamah ketepikan sabitan di Mahkamah Majistret dan duit denda aku dipulangkan.

Apa yang menariknya, ada kawan wartawan beritahu pegawai JPJ Putrajaya. Pegawai JPJ itu kata bila aku bayar denda bermaksud aku mengaku salah. Aku bukan mengaku tetapi didapati bersalah. Kemudian bila Mahkamah Tinggi ketepikan perintah Mahkamah Majistret, pegawai JPJ itu kata keputusan Mahkamah Tinggi tidak membatalkan saman AES aku. Dan lagi, duit denda itu pihak JPJ tidak dapat arahan untuk pulangkan. 

Hello bro! Duit denda bayar di mahkamah, bukan JPJ. Bila diarahkan dipulangkan, yang pulangkan duit aku tu Jabatan Akauntan Negara sebab mereka yang pegang duit, bukan JPJ.

Ini contoh tak fahamnya pegawai yang diamanahkan menjaga undang-undang.
Kepada kerajaan dan menteri pengangkutan, lebih elok perbaiki kelemahan pegawai-pegawai sebelum nak hukum dan buli rakyat.

Kalau ikut aku, bagi tempoh sampai kiamat pun aku tak akan bayar. Nak duit aku? Jom ke mahkamah!

Zulhazmi Shariff ialah bekas calon DAP untuk kawasan parlimen Jerai. Tulisan ini dipetik daripada hantaran media sosial.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.