- Iklan -
Rencana

Dilabel 'merusuh', pernahkah rakyat Palestin disantuni Anwar?

Tindakan mengabaikan suara mereka adalah bukti kegagalan kita memahami nilai kemanusiaan sebenar dan merupakan pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin.

Amir Al Fateh
2 minit bacaan
Kongsi

Sehari selepas 127 warga Palestin tiba di negara ini pada 16 Ogos 2024, bagi tujuan rawatan dan perubatan akibat cedera parah dalam perang di Gaza, Anwar Ibrahim menyatakan rasa kesal kerana ada pihak yang didakwa mengkritik dan mengecamnya atas tindakan kemanusiaan itu.

Secara peribadi, saya merasakan tindakan mengecam (jika ada) perdana menteri yang menyantuni mangsa perang adalah sebagai kurang waras. Lebih-lebih lagi melibatkan rakyat Palestin. 

Pengkritiknya masih belum diketahui siapa. Manakala bahasa kecaman masih tidak difahami sepenuhnya.

Sehinggalah insiden "rusuhan" yang berlaku pada 4 Januari lalu, mendedahkan sisi lain di balik tabir kemanusiaan ini. 

Bagi warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur, selayaknya
mereka mendapat sedikit ruang kebebasan, selepas terdera sekian lama dalam penjara di bawah langit terbuka.

Insiden tersebut, mengulangi kejadian pada Oktober tahun lalu yang dipercayai atas sebab yang sama.

Kebanyakan media tempatan Malaysia melaporkannya sebagai "buat kecoh", "pelarian buat pembakaran", "rusuhan" dan "mengamuk" hingga membawa kepada kerosakan harta benda.

Semua label tersebut sebenarnya adalah luahan kekecewaan akibat derita perang yang berpanjangan dan diburukkan lagi dengan proses penghantaran semula ke Mesir yang mengambil masa yang lama. 

Persoalan utama ialah, berapa lama warga Palestin ini telah bersuara untuk dibawa pulang? Sudah tentu, hasrat tersebut telah disuarakan cukup lama. Tempoh masa yang cukup untuk mencetus label "pembuat kekecohan" yang dilemparkan oleh media - label yang sangat dekat dengan mereka jika berada di Gaza. 

Israel menggelar mereka sedemikian rupa. Tidakkah kita memahami bahasa tersebut?

Persoalan kedua, pernahkah Anwar, yang melabel dirinya sebagai suara perjuangan rakyat Palestin, menjejakkan kaki ke Wisma Transit bagi menyantuni dan mendengar suara 127 warga Palestin yang beliau sendiri bawa ke Malaysia sejak 16 Ogos tahun lalu?

Carian berkaitan dengan kunjungan Anwar ke atas mereka gagal ditemui, walaupun kunjungan ke hospital. Adakah usaha beliau benar-benar tulus? Atau ianya bahkan sekadar memancing puji-pujian antarabangsa? 

Ketika pujian berakhir, yang tinggal hanyalah rakyat Palestin yang terpinggir dan ditohmah sebagai pembuat kecoh.

Kesan tindakan ini tidak hanya melukakan warga Palestin, malah turut merosakkan imej Malaysia dalam soal melayani suara mereka yang sedia terbungkam di tanah yang dijanjikan. 

Tidakkah kita berfikir bahawa label "pembuat kecoh" ini akan membiakkan lagi persepsi negatif terhadap umat Islam? Di mana rasa tanggungjawab untuk memahami penderitaan panjang mereka? 

Atau sebenarnya kita menjadikan penderitaan itu sebagai alat propaganda? Tindakan mengabaikan suara mereka adalah bukti kegagalan kita memahami nilai kemanusiaan sebenar—ini suatu pengkhianatan.

Persoalan terakhir, adakah 127 warga Palestin itu merayu untuk diberi rawatan di Malaysia? Sudah tentu tidak. 

Adakah ahli politik sedang membuktikan tempikan hak asasi manusia yang mereka laungkan selama ini hanya sekadar sebuah pertunjukan? Mungkin ya.

Rakyat Palestin tidak memerlukan retorik; cukup bagi mereka, negara sahabat yang memahami betapa deritanya mendiami penjara di bawah langit terbuka. 

Malangnya, kita tidak mengeluarkan mereka dari belenggu itu, bahkan hanya memindahkan 127 warga Palestin itu tadi di penjara seterusnya. 

Berbalik kepada semua persoalan-persoalan tadi, saya kini benar-benar memahami mengapa Anwar dikritik.

Amir Al Fateh merupakan ahli Umno Wangsa Maju.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.