Lencongan Madani: Kuil, masjid dan lakonan yang membasahi semua
Belum sempat tapak utama ditembus tanahnya, tentera siber sibuk menaikkan video-video memuji pelakon utama.
Terkini
Isu kuil dan masjid terkait Jakel Trading, yang dikatakan berlarutan hampir 10 tahun, sebenarnya isu undang-undang tanah, kontrak dan komersial. Ia bukan isu agama.
Tetapi seminggu yang lepas, sentimen agama ditiup dan dinyala tidak lain tidak bukan oleh Madani sendiri.
Ketika pelbagai isu jauh lebih penting berlaku - pelabur asing buat minggu ke-20 berturut-turut jual pegangan mereka, skandal dakwaan rasuah wakil rakyat Sabah, harga barangan dan makanan naik (purata 9.3% ke 17%), ketidaktentuan hala tuju negara dalam geopolitik dunia (sokong Palestin di mulut tapi beli Boeing 30 buah dan biar BlackRock kukuh di MAHB), Ismail Sabri yang tiba-tiba kata Umno masih sokong PM selepas disoal SPRM enam hari berturut-turut, serangan siber di KLIA, tentangan rakyat terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar - lencongan Madani timbul.
Ia bermula bila dua puak mula bersuara. Jakel mula bersuara, masjid tetap akan dibina, pemegang amanah kuil membalas tidak akan berganjak.
Semboyan mula ditiup. Maka berhimpunlah segala tentera sitro pro-Madani. Yang berbayar, yang menulis kata tak berbayar, yang mekap menebal saban minggu jadi pakar dalam pelbagai bidang, yang pakar agamawan, yang penganalisis ikut tiupan siapa berkuasa di Putrajaya.
Naratif diatur: Elakkan perpecahan, kita majmuk, kita hormat semua agama.
Kemudian, pelakon-pelakon tambahan akan muncul dari setiap parti yang menyokong Madani. Akan ada sidang media. Maka akan dimainkan pendamaian.
Babak berubah. Pelakon utama akan sampai. Mula-mula tegas. "Teruskan masjid, jangan berani persoal hak agama."
Seperti kebiasaan, dalam skrip pelakon utama akan ada tema utama: ini salah PM dulu, ini salah kerajaan dulu.
Maka hari yang ditunggu kunjung tiba. Berhimpunlah semua, dikawal ketat, anjing pengesan dibawa pastikan negara terkawal. Ini perlu untuk reka saspen supaya semua tertumpu setiap ketika agar tidak lari tatapan kepada apa yang diwayangkan.
Maka ucapan-ucapan halwa telinga akan keluar. Ini niat kita, tanpa sokongan pelakon utama mimpi ini tidak akan jadi realiti. Kita tidak sangka akan terima kunjungan dari pelakon utama. Beliau penyelamat negara.
Kuil pula mengalah. Terima sahaja. Dapat tanah baru, dapat kemenangan.
Muzik makin tinggi, kini tiba giliran pelakon utama. Mulakan dengan amaran, akan lawan mana-mana yang ingin tiupkan isu perkauman. Jangan berani sesekali, kata pelakon utama, kerana ini cara Madani, semangat beri hak pada semua.
Belum sempat tapak utama ditembus tanahnya, video-video memuji pelakon utama berlegar tular di media sosial. Pelbagai kaedah diguna tunjuk kebijaksanaan pimpinan utama, persis isu Hajarul Aswad di Kaabah 1,400 tahun dahulu.
Pelakon utama tidak selesai, sambung pula ke lokasi sebelah. Jumpa orang-orang kuil pula, ini satu lagi photo-op, mesti kelihatan serius memujuk dan berbincang dengan golongan yang hilang kuil tapi dapat balik dalam masa seminggu.
Disela-sela perasmian, dibuat pula jualan rahmah sempena Hari Raya. Diajak rakyat diberi diskaun. Maka berkeremunlah semua. Di sepanjang program, Madani dan slogannya dimainkan berkali-kali, biar lali biar mangli, biar jadi rutin.
Maka akhirnya, tiada apa. Madani melencongkan semua.
Yang kata ini isu perkauman adalah Madani, dan yang selesaikan isu perkauman Madani sendiri.
Yang dihilangkan dari depan mata, isu-isu kritikal yang melanda negara.
'Icing' atas kes adalah penahanan penceramah bebas yang dikatakan rasis.
Tapi bagaimana rasis kalau betul kuil dapat tanah balik, bila tanah asal tidak boleh diberikan dan kemudiannya dibeli oleh orang lain, sedangkan seharusnya tidak boleh dijual pun?
Lencongan Madani, basah kuyup semua.
Rafique Rashid ialah seorang peguam.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.