4 dakwaan salah berhubung kuil yang memberi laluan kepada Masjid Madani
Dua peguam memberi penjelasan mengenai pelbagai andaian dan tuduhan terhadap Kuil Devi Sri Pathrikalliamman di kawasan Masjid India.
Terkini
Kami merujuk kepada kontroversi menyelubungi kuil Devi Sri Pathrikalliamman di Masjid India sepanjang minggu lalu.
Selepas penyelesaian perkara itu pada 25 Mac 2025, dakwaan dan dakwaan balas terus membanjiri ruang awam, termasuk melalui serangan terhadap pihak kuil. Tuduhan-tuduhan ini keseluruhannya tidak adil, berat sebelah dan jelas tidak benar.
Kami ingin memperbetulkan beberapa tuduhan utama yang memberikan gambaran salah mengenai status dan hak kuil di bawah undang-undang. Tuduhan-tuduhan ini disenaraikan dan dijawab satu-persatu seperti berikut:
1. Kuil 'haram'
a. Ini jelas tidak benar dan tidak mengambil kira keseluruhan latar belakang sejarah dan keadaan kuil di lokasi tersebut. Kuil itu dibina lama sebelum kemerdekaan dan kekal di tempat yang sama, walaupun menjalankan pembinaan semula pada 2008 atas arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi membenarkan pembinaan jalan. Pengubahsuaian besar-besaran itu dilakukan dengan pengetahuan dan persetujuan DBKL, membuktikan bahawa kuil itu tidak pernah berstatus "haram", malah sentiasa diiktiraf oleh pihak berkuasa sebagai sah.
b. Tambahan pula, dari segi sejarah, kedudukan undang-undang tidaklah semudah yang ditunjukkan. Apabila Jakel membeli tanah tersebut pada 2014, ia tertakluk kepada hak kuil yang wujud atas tanah itu. Sebab itu kami sebelum ini menuntut perjanjian jual beli antara Jakel dan DBKL didedahkan. Di bawah undang-undang, kuil telah memperolehi hak, dan wujud melalui prinsip kesaksamaan dan estoppel, di mana seseorang boleh dihalang daripada menegaskan sesuatu yang bercanggah dengan apa yang tersirat daripada perbuatan atau pernyataannya yang terdahulu.
Oleh sebab itu, adalah salah untuk mengatakan kuil itu tidak sah, atau haknya lebih sedikit berbanding pemilik tanah baru yang hanya muncul 10 tahun lalu. Sekiranya perkara itu dipanjangkan ke mahkamah, isu undang-undang itu, dan isu-isu yang timbul di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 di samping undang-undang lain, akan dibentang dan dihujahkan dengan bersungguh-sungguh bagi pihak kuil.
c. Selanjutnya, mahkamah akan meneliti perjanjian jual beli Jakel untuk menyelesaikan hak dan kepentingan yang bersaing. Penelitian sebegini dilakukan dalam kes melibatkan Taman Rimba di mana Mahkamah Persekutuan meneliti sejarah kes tersebut dan mendapati penglibatan Datuk Bandar dalam penjualan tanah kepada pihak yang membeli, dan kemudiannya meluluskan perintah pembangunan kepada pembeli, sememangnya merupakan konflik kepentingan.
Isu sama akan timbul dalam kes ini sekiranya ia melibatkan mahkamah, yang akan menunjukkan bahawa kedudukan undang-undang jauh lebih terikat daripada apa yang telah digambarkan, seterusnya menimbulkan persoalan serius.
2. "Kuil terima durian runtuh kerana nilai hartanah"
Kuil tersebut mula wujud pada 1890-an, ketika tanah itu belum didaftarkan kepada sesiapa dan mempunyai nilai ekonomi yang kecil. Adalah sesuatu yang berniat jahat sekiranya nilai tanah itu diukur pada nilai pasaran semasa untuk menyatakan kononnya kuil mendapat keuntungan yang amat tinggi. Penilaian tanah mengikut kaki persegi agak tidak bermakna memandangkan ia merupakan tempat ibadat, dan bukan pelaburan komersial. Selanjutnya, kerajaan telah menegaskan bahawa tanah baharu itu akan diwartakan sebagai tempat ibadat, yang bermaksud ia tidak boleh dijual demi keuntungan.
3. "Kuil adalah penceroboh"
Berulang kali dakwaan dibuat bahawa kuil itu merupakan "penceroboh" dan kini kesalahannya dibalas dengan ganjaran tanah.
Penceroboh ialah orang yang memasuki tanah seseorang tanpa persetujuan. Bagaimana mungkin kuil itu digelar "penceroboh" sedangkan ia mula-mula berada di tanah itu lama sebelum kedatangan pihak lain? Malah lama sebelum Malaysia ditubuhkan atau wujudnya DBKL atau Jakel.
4. "Kuil bertindak tidak wajar dengan berkeras untuk kekal di situ supaya diberikan tanah ganti yang bernilai tinggi"
Apa yang berlaku bukanlah daripada tindak tanduk kuil. Kuil sentiasa mengharapkan dapat kekal di tapak sekarang, dan mengalu-alukan masjid baharu sebagai jirannya.
Bagaimanapun, isu timbul apabila DBKL melalui surat bertarikh 21 Februari, memberikan jawatankuasa kuil tiga hari untuk berpindah ke tapak alternatif, yang jauh dari kawasan Masjid India dan komuniti penganut kuil.
Sekiranya pihak kuil menerima tapak yang tidak sesuai, ia akan menghapuskan semua kesan khazanah sejarahnya di kawasan Masjid India. Ia akan memadam secebis sejarah keagamaan dan kebudayaan Malaysia, di samping menghapuskan satu aspek penting yang mewarnai budaya Masjid India. Sebab itulah tapak lain yang ditawarkan terpaksa ditolak kerana ketidaksesuaian tersebut.
Tapak baharu kira-kira 50 meter dari lokasi sekarang diterima kuil pada 25 Mac kerana ia akan terus berbakti kepada komuniti setempat, di samping sedikit sebanyak mengekalkan etos dan sejarah kuil.
Kami berharap penjelasan ini menyelesaikan menjelaskan beberapa isu undang-undang yang timbul dalam kes seperti ini dan akan menghentikan polemik salah yang semakin bertambah mengenai isu ini.
Ambiga Sreenevasan dan N Surendran ialah aktivis hak asasi manusia dan peguam.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.