- Iklan -
Dunia

Agong ucap takziah, kenang pertemuan dengan Shinzo Abe

Sultan Abdullah berkata pemergian Abe adalah kehilangan besar buat Jepun dan rakyatnya.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe di Istana Negara pada 11 Mac lalu. Gambar: Facebook
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe di Istana Negara pada 11 Mac lalu. Gambar: Facebook

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Raja Permaisuri Agong mengucapkan takziah kepada keluarga bekas perdana menteri Jepun Shinzo Abe yang meninggal dunia akibat ditembak sewaktu berucap pada kempen pilihan raya pagi tadi.

Dalam kenyataan Istana Negara hari ini, Sultan Abdullah menyatakan rasa dukacita dan mengenang pertemuan dengan mendiang pada 11 Mac lalu.

“Mendiang pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” kata Sultan Abdullah sambil menambah Abe turut dianugerahkan ijazah kehormat doktor falsafah politik ekonomi sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

“Sesi mengadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan mendiang, selepas yang pertama ketika baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.”

Abe, 67, ditembak dari belakang ketika berucap sempena kempen pilihan raya parlimen di bandar Nara yang terletak di barat Jepun.

Beliau dikejarkan ke hospital namun meninggal dunia akibat pendarahan teruk berpunca dari dua tembakan yang mengenai bahagian lehernya.

Abe berkhidmat selama dua penggal sebagai perdana menteri Jepun, dan berundur pada 2020 berikutan masalah kesihatan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.