- Iklan -
Dunia

Perdana menteri baru UK akan diumum 5 September depan

Sekurang-kurangnya 11 calon sedang bersaing untuk menduduki jawatan itu setakat ini.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Seekor rubah melintas bangunan kediaman perdana menteri UK di Downing Street, London. Gambar: AFP
Seekor rubah melintas bangunan kediaman perdana menteri UK di Downing Street, London. Gambar: AFP

Perdana menteri baru United Kingdom bagi menggantikan Boris Johnson akan diumumkan pada 5 September, kata Parti Konservatif di mana 11 calon bakal bersaing untuk menduduki jawatan itu.

Persaingan merebut jawatan itu tercetus selepas Johnson, 58, mengumumkan pengundurannya selepas lebih 50 pegawai pentadbirannya meletakkan jawatan sebagai tanda bantahan terhadap skandal yang terpalit sepanjang beliau menjadi perdana menteri.

Jawatankuasa pemilihan perdana menteri Parti Konservatif turut mengumumkan jadual pemilihan pada Isnin.

Pencalonan pemilihan parti akan dibuka dan ditutup secara rasmi pada Selasa, dengan perdana menteri baru akan dilantik apabila parlimen negara itu kembali bersidang pada 5 September, kata Graham Brady yang merupakan pengerusi jawatankuasa pemilihan itu.

Dalam usaha untuk mempercepatkan proses pemilihan, calon mesti mendapat sokongan sekurang-kurangnya dari 20 ahli parlimen bagi melayakkan mereka bersaing merebut jawatan itu manakala mana-mana calon yang gagal mendapat sokongan 30 ahli parlimen dalam pusingan pertama undian akan disingkirkan .

Antara yang bertanding ialah Rishi Sunak dan Sajid Javid di mana ekoran peletakan jawatannya mereka sebagai menteri kewangan dan menteri kesihatan telah mencetuskan gelombang peletakan jawatan.

Menteri Luar UK Liz Truss dan pengganti Sunak, Nadhim Zahawi juga turut mengumumkan selain Menteri Dalam Negeri Priti Patel juga turut dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menyertai saingan.

Bagaimanapun, tinjauan pendapat ahli akar umbi oleh laman web ConservativeHome  menunjukkan sokongan kuat diberikan kepada calon yang tidak berprofil tinggi, dengan bekas menteri pertahanan Penny Mordaunt mendahului diikuti Kemi Badenoch.

Johnson mengumumkan pengundurannya sebagai ketua parti itu pada Khamis lalu namun kekal memegang jawatan perdana menteri di Downing Street sehingga penggantinya diumumkan.

Javid berkata ketika Britain menghadapi krisis kos sara hidup yang melambung tinggi, selain kenaikan harga tenaga dan perang di Ukraine, terdapat keperluan yang mendesak untuk sebuah pentadbiran yang "cekap" dalam negara.

"Saya amat berharap kempen ini boleh menjadi titik perubahan yang kita perlukan," katanya pada pelancaran kempen.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.