- Iklan -
Berita

Hakim tolak permohonan Amber Heard bicara semula kes saman fitnah Johnny Depp

Hakim Penny Azcarate berkata kedua-dua pihak telah melakukan pemeriksaan dan menerima semua juri pada permulaan perbicaraan.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pelakon Johhny Depp mengangkat tangan tanda kemenangan di mahkamah selepas penghujahan akhir di mahkamah Fairfaz County, Virgina pada Mei lalu. Gambar: AFP
Pelakon Johhny Depp mengangkat tangan tanda kemenangan di mahkamah selepas penghujahan akhir di mahkamah Fairfaz County, Virgina pada Mei lalu. Gambar: AFP

Pelakon "Aquaman" Amber Heard gagal dalam permohonan perbicaraan baru di mahkamah berhubung kes saman fitnah terhadap bekas suaminya, Johnny Depp selepas hakim menolak hujah peguamnya yang mendakwa salah seorang juri perbicaraannya sebelum ini diragukan.

Pada bulan Jun, Heard diperintahkan membayar ganti rugi AS$10.35 juta kepada Depp apabila juri mahkamah Fairfax County, Virginia, memutuskan beliau membuat dakwaan tidak benar terhadap bintang "Pirates of the Caribbean" itu dalam satu kenyataan akhbar.

Peguamnya menuntut supaya hakim menolak keputusan tersebut dan mengisytiharkan perbicaraan silap, dengan hujahan salah seorang juri dalam kes itu tidak layak kerana panggilan untuknya menjadi juri sebenarnya ditujukan untuk bapanya, yang mempunyai nama dan alamat tempat tinggal yang sama.

Hakim Penny Azcarate memutuskan bahawa "tiada bukti penipuan atau salah laku" oleh juri sekali gus mengekalkan keputusan juri dalam perbicaraan tersebut.

Hakim Penny juga berkata kedua-dua pihak telah melakukan pemeriksaan dan menerima semua juri pada permulaan perbicaraan.

"Proses yang wajar telah diberikan kepada semua pihak dalam litigasi ini," tulis Azcarate.

Depp, 59, menyaman Heard dan mendakwa bekas isterinya telah membuat dakwaan tidak benar berkait dirinya ketika aktres itu mengatakan beliau adalah “figura awam yang mewakili isu penderaan domestik" dalam artikel ruangan pendapat yang diterbitkan oleh The Washington Post. 

Depp menafikan beliau memukul Heard, 36, dan berkata dalam perhubungan mereka, isterinya bertukar sikap dan melakukan tindakan ganas.

Heard kemudiaannya memfailkan saman balas, mengatakan Depp memburukkan namanya apabila peguamnya suaminya itu mengatakan tuduhannya sebagai “penipuan.” 

Di akhir perbicaraan, juri memutuskan Heard hanya perlu dibayar ganti rugi sebanyak AS$2 juta atas salah satu tuntutan balasnya. 

Sementara juri memutuskan Heard perlu membayar Depp sebanyak AS$15 juta.